Ahad, 30 Ogos 2009

DETIK 31 OGOS


Oleh:Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris

Sejarah peradapan manusia
Tidak pernah seperti air danau meriak tenang
Tidak semerdu siulan unggas menari di hujung dahan
Tidak selunak tiupan angin di nyiur malambai
Tidak sesegar hembusan bayu dingin di fajar menyising

Demikian pulalah peradapan bangsa Melayu
Merakamkan detik-detik perjuangan anak peribumi
Meniti keagungan di puncak jaya
Meratap meraong sedih hanyut gelombang sejarah

Zaman lampau bukan lagi untuk di tangisi
Air mata tidak perlu mengukir sumpah untuk merelakan
Rebah bangun dengan keyakinan
Jatuh runtuh bersama perjuangan
Kegemilangan zaman lampau bukan lagi untuk diagungkan semata
Hidup bukan lagi kerana doa
Mati bukan lagi kerana sumpah

Sekadar untuk mengingatkan
Betapa gemilangnya zaman lampau dan zaman bahari
Bangsa Melayu telah mengukir sejarah keagungannya
Abad ketiga telah-tegak, megah, Kerajaan Melayu Seri Wijaya
Dari Pelembang hingga ke Kemboja
Telah bangkit Langkasuka dengan Merung Mahawangsanya
Kerajaan Majapahit dalam abad Ketigabelas
Muncul menyinar Kerajaan Islam Pasai
Dan lahirlah pula kerajaan Melayu Melaka
Dengan segala keagungannya-dalam abad ke 15

Melaka telah mengembalikan semua
Sejarah kegemilangan Seri Wijaya-dengan Perameswaranya
Melaka telah mengibarkan panji-panji kemegahan bangsa Melayu
Dari benua Rom di barat, hingga ke Benua Cina di timur
Merakamkan sengketa pilu Tun Perak dan Tun Ali
Merakamkan pertikaman sedih Tuah dan Jebat
Merakamkan pembunuhan Seri Maharaja Tun Mutahir
Merakamkan peminangan Puteri Gunung Ledang

24 Ogos 1511 awan mendong, menitiskan hujan darah
Membasahi bumi Melaka
Padamlah ubur suci kebebasan
Panji-panji kebesaran tidak berkibar lagi
Melaka telah diperkosa oleh penjajah barat
Dan pengkianatan dari dalam
Maka berakhirlah satu era keagungan
Kerajaan Melayu yang tiada tolok bandingan

Tangisan tidak bererti lagi
Titisan air mata bukan lagi untuk mengalir kepiluan
Hangat air mata akan membakar sejarah perjuangan
Kita tidak menangisi sejarah lagi
Biarlah mengisi perjuangan anak peribumi

Sejarah perjuangan bangsa Melayu, tidak akan berakhir
Selagi denyut nadi masih bergerak
Selagi hangat nafas tetap semarak
Selagi getar jantung berdetak segar
Kita akan melahirkan ramai lagi
Bahaman-Mat Kilau-Tok Gajah-Maharajalela-Dol Said-
Siamang Gagap-Tok Janggut- dan banyak lagi pahlawan-pahlawan berjasa

Kita akan melahirkan lebih banyak lagi
Syed Sheikh Al Hadi- Sheikh Tahir Jalaluddin
Syed Muhammad bin Akil-Zaaba
Ibunda akan melahirkan lagi Dr.Rizal
Sukarno-Hatta-Datuk Onn Jaafar-Ibrahim Yaakob
Dr.Burhanuddin Al Helmi-Tunku Abdul Rahman Putera-
Tun Abdul Razak-Dr.Ismail-Sardon Jubir
Malah ratusan dan ribuan lagi pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair

Nah! anak-anak muda
Terimalah ini pesaka warisan
Mengukir sejarah mu
Lalu tiupkan seruling rindu cinta
Dendangkan senandung anak pejuangan
Petiklah buah ranumnya
Bajailah perdunya
Agar terus rimbun subur di jembangan
Segar bugar sepanjang zaman

Rama-Rama Sikumbang Jati
Khatib Indah Pulang Berkuda
Patah Tumbuh Hilang Berganti
Pesaka Bergilir Pada Yang Muda

Sabtu, 29 Ogos 2009

TANGGAL 31 OGOS 2009

Tanggal 31 Ogos 2009, genap 52 tahun Malaysia.
Sejarah pembinaan sebuah negara Malaysia pusaka bangsa.

Dalam meniti kemakmuran dan kedamaian, ranjau duri dan berbagai cabaran dilalui.

Walau pun kemerdekaan dimiliki tanpa pertumpahan darah namun sebenarnya banyak halangan dilalui.

Asas pembinaan negara ianya terbentuk di atas kerjasama seluruh rakyat Malaysia, ianya terbentuk dengan jayanya di atas kesepakatan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Kesepakatan ini tidak boleh berhenti setakat ini sahaja, ianya harus diteruskan tanpa ganggu gugat di masa depan.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


Selasa, 25 Ogos 2009

UMNO TETAP UMNO



Petikan sebahagian Ucapan Tun Mahathir Mohamad selaku Presiden UMNO.
Diperhimpunan Agung UMNO pada 28 hb. Oktober 1988.

UMNO adalah parti politik. Tetapi wujudnya UMNO bukan kerana hendak berpolitik semata-mata.UMNO ditubuhkan kerana kita tahu bahawa melauli politik kita boleh mempertahankan hak dan memperbaiki nasib oerang-orang Melayu, agama Islam dan negara kita Malaysia. UMNO dan perjuangan politiknya adalah sebagai instrumen dan jentera untuk mencapai matlamat yang kita rancangkan itu.

Kita perlu kepada kuasa politik, kerana kuasa politik boleh menentukan pencapaian matalamat kita. Lebih kuat kuasa politik kita, lebih mudah kita mencapai matalamat yang kita tentukan. Sekiranya kuasa politik kita lemah, maka sukarlah kita mencapai matlamat kita. Jika kuasa politik kita lumpuh, maka segala cita-cita orang Melayu akan menjadi angan-angan semata-mata.

Dalam negara kita yang berasaskan demokrasi kuasa datang daripada rakyat. Lebih ramai sokongan rakyat, lebih teguhlah kuasa kita dan lebih mampulah kita melaksanakan rancangan murni kita untuk rakyat, untuk agama dan untuk negara.

Orang Melayu masih menjadi kaum yang ketinggalan di negara berbilang kaum ini. Kita bernasib baik tidak menjadi kaum yang tertindas atau oppressed race seperti kulit hitam di Afrika Selatan. Kita telah dikejutkan oleh British dengan rancangan Malayan Union mereka. Dalam ketakutan, kita telah bersatu dan memberanikan diri menentang British. Kita berjaya. Dengan itu orang-orang Melayu mendapat tempat yang tinggi, sama seperti orang-orang yang pernah menjajah kita. Dan dengan itu juga bermulalah rebutan tempat dan kedudukan oleh yang berkepentingan diri.

Hari ini kita sudah sampai kepada satu tahap yang bahaya. Matlamat perjuangan orang-orang Melayu belum tercapai. Tetapi kerana perpecahan dikalangan orang-orang Melayu, orang-orang lain sudah berpeluang menangguk di air yang keruh ini.

Kepimpinan UMNO sekarang tidak mahu perpecahan diteruskan. UMNO tidak mahu orang-orang Melayu menjadi lemah. UMNO tidak mahu orang-orang Melayu diperalatkan untuk menggagalkan orang-orang Melayu sendiri. UMNO mahu orang-orang Melayu bersatu.

Kita percaya, bahkan kita yakin, perpaduan dan kekuatan politik orang-orang Melayu adalah penting untuk menstabilkan negara dan menjayakannya. Nasib orang-orang bukan Melayu juga bergantung kepada kekuatan politik orang-orang Melayu. Jika kita bertanggungjawab kepada negara dan semua penduduknya, segala usaha kita mestilah dibuat untuk mengukuhkan lagi kuasa politik orang-orang Melayu.

Justeru itu, UMNO sedia menerima sesiapa sahaja yang ingin menjadi ahli UMNO, sama ada ianya bekas ahli UMNO, atau pun bukan. UMNO sedia berunding dengan sesiapa sahaja bagi menyatupadukan orang Melayu. UMNO sedia menerima ahli-ahli PSRM atau ahli-ahli PAS atau ahli-ahli DAP dan sesiapa juga yang terdiri daripada orang-orang Melayu sekiranya mereka memohon dan bersedia menghayati dasar dan perjuangan UMNO.

Semua orang yang menyertai UMNO akan mempuyai hak yang sama mengikut Perlembagaan UMNO. Tetapi hak ini mestilah disertai dengan perasaan penuh tanggungjawab. Hanya yang kita minta, yang kita rayu, ialah hentikanlah pecah-belah yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu sekarang ini.

Orang-orang Melayu belum lagi terselamat dari bahaya. Kita belum lagi mencapai kemajuan yang memuaskan. Kita masih menghadapi perjuangan yang besar untuk menjadikan orang-orang Melayu satu bangsa yang terhormat dan dihormati di dunia yang penuh pancaroba ini.

Allah berfirman dalam Surah A-li'Imraan Ayat 103:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai"

Ahad, 23 Ogos 2009

PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN



Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baru
Pengisytiharaan Kemerdekaan
di Bandar Hilir,Melaka pada 20 February 1956

Di padang Bandar Hilir Tuanku Abdul Rahman melafazkan perisytiharaan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu yang disediakan oleh Pejabat Setiausaha Agung UMNO :-

"Bahawa di dalam perjalanan sejarah manusia tidak ada suatu bangsa pun yang boleh menyelamatkan dirinya jikalau bangsa itu berdiam diri memeluk tubuh selama-lamanya. Sudah semestinya bangsa itu harus memilih suatu antara dua arah maju atau undur. Ini terserah kepada kesungguhan dan kesedaran bangsa itu menghadapi perubahan-perubahan dan perkembangan-perkembangan.

Manakala rakyat itu di dalam keadaan berpuas hati dengan taraf dan kedudukannya yang ada maka sentiasalah mereka merasa bimbang atas sebarang perkara yang harus membawa perubahan. Mereka akan merasa curiga terhadap sebarang langkah atau seseorang yang membawa fikiran dan pendapat baru.

Tetapi kerana sejarah manusia adalah sejarah perubahan-perubahan dan kemajuan untuk mencintakan sesuatu yang lebih baik dan sempurna, bangsa yang merasa kepuasan tadi akan tinggal semakin jauh ke belakang dan akhirnya hilang lenyap dan hanya akan timbul kembali oleh ahli-ahli sejarah yang akan datang.

Kita adalah suatu bangsa yang pernah menikmati kebesaran dan mempuyai pusaka kebangsaan yang gilang gemilang. Sesungguhnya perjalanan sejarah telah menukarkan nasib kita daripada suatu bangsa yang merdeka dan agung kapada bangsa yang hina dan terjajah namun kita masih tetap dapat mempertahankan anugerah-anugerah Tuhan yang berupa kebesaran jiwa, rasa kemuliaan, keadilan dan semangat yang tidak dapat dipatahkan, sementara kita tertakluk di bawah penjajahan lebih dari 400 tahun lamanya.Ketahuilah bahawa kita rakyat Malaya adalah bersatu padu dalam maksud kita mencapai kemerdekaan secara perlembagaan dan pada hari ini maksud kita telah kita capaikan.

Dengan itu dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya atas nama rakyat Malaya mengisytiharkan bahawa kemerdekaan penuh Persekutuan Tanah Melayu menurut perjanjian yang telah dicapai di London akan dilaksanakan pada 31 haribulan Ogos 1957. Pohon Allah izinkan."

Sumber Ibu Pejabat UMNO Malaysia



Jumaat, 21 Ogos 2009

62 TAHUN LALU


62 tahun yang lalu, setelah sekian lama ditidas,
Bangsa Melayu telah bangkit
dengan satu suara
mempertahankan hak hak mereka
sebagai bangsa yang berdaulat
di tanah air tercinta ini.

Meski pun tanpa sebarang pertumpahan darah
namun jalan menuju kebebasan
penuh dengan liku ancaman dan cabaran.

Tanpa perjuangan ini
Bangsa Melayu pastinya sekadar menjadi bangsa kelas ketiga
dibumi sendiri.

Dalam menyusuri rentetan perjuangan bangsa
keinsafan dipanjatkan
agar Melayu tidak lupa pada cabaran semalam serta keringat
datuk dan nenek
yang berjuang demi meletakan
anak cucunya pada kedudukan hari ini.

Selagi bumi ini berputar
Cabaran sentiasa ada dalam berbagai bentuk dan rupa
dan ia pasti menghancurkan bangsa yang mudah leka….

Petikan dari buku :
Rentetan Perjuangan Bangsa
UMNO Malaysia

Isnin, 17 Ogos 2009

RESOLUSI BPN


Oleh itu Resolusi kita ialah :

1. BPN bersepakat mengutuk Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat agama.

2. BPN sedar segala kecaman yang melampau batas terhadap institusi Raja dan agama Islam sejak kebelakangan ini adalah berpunca dari tindakan beliau yang membuka pintu kepada penghinaan tersebut samada nyata atau rahsia.

3. BPN mendesak agar si pengkhianat ini yang terus mengajak ke arah ketidakstabilan dan mengancam keselamatan awam agar ditahan dengan segera atau diusir dari Malaysia jika kita tidak ingin melihat negara kita akan terjerumus ke kancah peperangan saudara atau berlainan etnik agama dan fahaman politik mereka.

4. BPN juga meminta kerajaan turut mengusir sesiapa sahaja yang berkeras ingin menyentuh perkara sensitif seperti Raja dan Agama Islam agar turut diusir keluar dari negara kita tidak kira dari apa jua bangsa atau agama mereka.

5. BPN akan terus berkempen agar rakyat menolak si pengkhianat ini dan juga sesiapa sahaja yang menyokong idealisme perjuangan songsang beliau dari terus diberikan ruang di tanah Malaysia.

6. BPN menyeru rakyat Malaysia membantu usaha menolak tokoh pengkhianat moden ini yang terang terangan telah banyak melanggar undang-undang negara kita dan sibuk mencari idea untuk menjatuhkan pemimpin negara walaupun telah menyebabkan urusan kebajikan rakyat sudah tidak lagi terbela di negeri yang mereka telah diberi kuasa.



Yang benar,


Panglima Perang Cyber,
Ydp Blogger Pembela Negara
Ahad 11.03 malam
15 Ogos 2009

Jumaat, 14 Ogos 2009

SELANGOR NADI NEGARA




09/08/2009 1:01pm

KUALA SELANGOR 9 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau mahu Selangor di kembalikan semula ke tangan Barisan Nasional (BN) kerana negeri ini penting sebagai nadi negara.
"Peluang untuk BN berkuasa semula di Selangor tetap ada tetapi dengan syarat parti-parti komponen yang diterajui UMNO sudah insaf dan menyedari kekurangan diri dan sanggup berubah," kata beliau yang juga Presiden UMNO semasa berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.
Selain daripada itu, beliau berkata, UMNO tidak boleh mempunyai perasaan benci kepada orang lain dalam keluarga BN dan perlu berjuang bersama-sama dalam satu keluarga besar berganding bahu berjuang secara seia sekata dan sehaluan.
“Ini harapan saya ... pesanan saya kalau hendak menang buat cara nak menang, jangan kita kata nak menang tapi perbuatan kita menempah kekalahan,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Najib berkata, perancangan itu yang dipanggil sebagai “Formula Pekan” telah membawa beliau ke persada yang lebih tinggi di dalam politik negara sehingga menjadi Perdana Menteri dan presiden parti.
......................................................................................................................................................
YAB DS Presiden UMNO Malaysia:-
1.Harapan :
Selangor haruslah di kembalikan semula ke tangan Barisan Nasional
2.Peluang :
Selangor di kembalikan ke tangan Barisan Nasiaonal tetap ada.
3.Syarat :
Pemimpin UMNO khasnya yang menjadi peneraju kepada Barisan Nasional haruslah insaf, menyedari kekurangan diri, sanggup berubah, jangan ada perasaan benci, berjuang bersama-sama sebagai satu keluarga, berganding bahu saia sekata dan sehaluan.
4.Amaran :
KALAU HENDAK MENANG BUAT CARA HENDAK MENANG, JANGAN KITA KATA HENDAK MENANG TAPI PERBUATAN KITA MENEMPAH KEKALAHAN.

Pemimpin UMNO khasnya Ketua Bahagian sebagai peneraju Barisan Nasional haruslah mengambil tanggung jawab ini, kekuatan jentera haruslah diperkuatkan yang paling utama sikap pemimpin disemua peringkat yang menjadi isu utama pada PRU yang lepas harus di perbetulkan.

Pemimpin pemimpin yang telah di nobat kan di peringkat bahagian baru-baru ini diharapkan janganlah berseronok mendapat jawatan tetapi tidak seronok dengan tanggong jawab.

Ahli-ahli di peringkat akar umbi tahu ada yang mendapat jawatan secara tidak sehat berlaku pada pemilihan bahagian yang lepas ianya bukanlah menjadi isu besar jika pemimpin yang dimaksudkan berkerja bersungguh-sunguh untuk parti.

Ketua bahagian yang telah diamanahkan oleh ahli-ahli untuk meneraju kepimpinan bahagian hendaklah bersikap telus, beramanah dan beretika dalam melaksana kan tanggung jawab yang berlandaskan perlembagaan untuk memperkuatkan parti.

Kunci utama kepada kekuatan parti iaitu "BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT" hendaklah diterjemah kepada semua pemimpin dan ahli-ahli supaya ianya tidak sekadar slogan untuk hiasan saja.

Akhirnya kepada pemimpin yang sudah bosan dengan kerenah rakyat,tidak lagi suka bertemu rakyat, terlalu sebok dengan aktiviti sendiri yang suka keluar negeri tu berundur lah jangan kita memeningkan kepala DS Presiden dengan sikap kita itu.







Jumaat, 7 Ogos 2009

KETUANAN MELAYU


Cabaran paling getir dalam konteks ketuanan Melayu adalah wujud masyarakat majmuk yang telah diterima sebagai warganegara sejak sekian lama. Lanjutan daripada itu, timbul pula masalah politik dan kebudayaan yang sering tidak selari. Melayu,Cina,India dan lain-lain yang memang sudah terpisah dalam berbagai sektor-sektor kehidupan semakin terpisah akibat kegiatan politik kepartian dan cara hidup yang berbeza.

Laungan demi laungan istilah bumiputera, hak istimewa orang Melayu, kuota-kuota tertentu untuk orang Melayu ditentang dan di persoalkan oleh orang bukan Melayu semakin keras.

Soalnya, kenapakah persaolan-persaolan seumpama ini terus ditimbulkan dari masa ke masa? Jawapan paling asas ialah berkaitan sejarah.Kurang kesedaran sejarah di kalangan generasi muda mungkin menyebabkan isu ini terus diperbesarkan, selain dari itu, sikap tidak mahu bertolak ansur dan sentiasa ingin menjadi jago kaum masing-masing juga menjadi puncanya.

Tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang sanggup bertolak ansur seperti orang Melayu. Tidak ada satu pendatang pun yang diberi taraf warganegara begitu mudah semata-mata kerana ingin mencapai kemerdekaan. Orang Melayu tidak faham kenapa orang bukan Melayu enggan mengakui hakikat ini.

Usaha memelihara dan mempertahan kan ketuanan Melayu mesti di teruskan demi survival umat Melayu pada masa depan. Sebarang perpecahan bangsa Melayu, walau apa pun sebabnya akan hanya menyukarkan dan membantut usaha tersebut.

Sekiranya perpecahan Melayu terus berlaku, kuasa politik Melayu akan terus tercabar.

UMNO, khususnya para pemimpinnya harus berjiwa besar bagi menentukan ketuanan Melayu tidak diganggu gugat, mereka harus berani tampil ke hadapan mengakui kelemahan dan kesilapan mereka demi survival Melayu. Sikap degil,ego, angkuh, mementing diri sendiri dan puak hanya akan merosakkan perjuangan ini.

Rabu, 5 Ogos 2009

BILA KACANG LUPAKAN KULIT

Tulisan Dr.Mohd Ridhuan Tee selepas beliau menulis Nasib Melayu di bumi Melayu, beliau telah dituduh rasis oleh bangsanya sendiri, kita berharap beliau tabah dan berani dalam melontarkan tulisan yang bernas. Salam Perjuangan buat beliau.
ARKIB : 02/08/2009 Utusan Malaysia
BILA KACANG LUPAKAN KULIT
(orang yang lupa akan asal usulnya)
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

SAYA dikecam hebat, apabila salah satu laman blog menyiarkan semula artikel saya minggu lalu dalam Mingguan Malaysia, bertajuk Nasib Melayu di Bumi Melayu. Saya dituduh penulis upahan UMNO, lupa asal usul diri, lebih Melayu daripada Melayu, Cina tidak sedar diri, rasis dan berbagai kecaman dilemparkan oleh golongan ultra kiasu ini.

Saya mengucapkan terima kasih atas yang respons. Saya tidak berhasrat memberikan respons, kerana malas melayan idea-idea picisan yang menyerang peribadi dan tidak langsung menampakkan mereka ini profesional. Orang sebegini tidak layak dilayan, biarlah mereka terjun dengan labu-labunya. Lagipun saya tidak pasti sama ada mereka faham atau tidak, artikel yang saya tulis dalam bahasa Melayu, atau mungkin juga mereka lebih memahami bahasa Inggeris atau bahasa ibunda, daripada memahami bahasa kebangsaan itu sendiri sehingga mereka tidak faham apa yang saya maksudkan.

Begitu juga dengan akhbar Cina, China Press dan Nanyang Siang Pau berniat jahat dengan secara sengaja memaparkan sebahagian kecil artikel saya berkaitan Beng Hock, mengenai anak luar nikah yang dikandung oleh teman wanitanya. Sedangkan simpati dan pembelaan saya terhadap mendiang tidak disiarkan langsung. Ini menunjukkan betapa rasisnya akhbar Cina.
Saya dituntut oleh keluarga mendiang untuk meminta maaf. Terus terang, saya tidak perlu meminta maaf kerana saya berkata benar. Bersekedudukan sebelum nikah adalah haram di sisi agama apa sekalipun. Kenapa agama Islam sahaja yang dipersoalkan, adakah agama lain menghalalkan perbuatan sedemikian?

Sebelum memeluk Islam, saya dahulunya pernah menganut agama Buddha dan Kristian. Kedua-dua ini mengharamkan sama sekali bersekedudukan sebelum nikah. Apakah kita mahu menghalalkan perkara ini sehingga menjadi budaya masyarakat kita? Apakah kita mahu ia turut berlaku kepada anak atau adik-beradik kita? Justeru, bila saya menulis, saya selalu meletakkan diri saya sebagai rakyat Malaysia atau bangsa Malaysia, bukannya orang Cina. Ini bertujuan supaya pandangan saya tidak berat sebelah atau bias. Jika orang Islam melakukan kesalahan saya akan tegur, begitu juga yang lain. Adakah kerana hanya saya berbangsa Cina, maka saya patut selindungkan sesuatu keburukan yang berlaku pada bangsa saya? Sudah tentu tidak kerana saya perlu berkata benar.

Selasa, 4 Ogos 2009

Nasib Melayu Di Bumi Melayu

Sangat terharu saorang berbangsa Cina menulis tentang bangsa Melayu,beliau adalah Dr.Mohd Ridhuan Tee.
Dimana Bumi Dipijak Disitu Langit Dijunjung.

ARKIB : 26/07/2009 Utusan Malaysia

Nasib Melayu di bumi Melayu

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.
Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.
Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.
Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.
Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.
Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.
Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.
Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.
Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.
Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.
Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.
Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.
Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?
Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.
Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.
Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.
Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.
Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?
Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.
Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.
Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?
Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.
Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.
Logik
Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.
Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?
Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.
Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.
Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.
Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.
Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.
Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.
Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.
Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.

SUMPAH ANAK PERIBUMI


Buat Pasukan Askar Melayu

i

Burung musim telah mengepakkan sayapnya

melangkau ke segenap benua

dengan lagu anak peribuminya

antara bunga-bunga mengharum

& batu batu krikil menikam dada

diatas sebuah tugu yang sinis berdiri.


Hanya daun-daun sejarah yang gugur

bersama air mata dan debu cinta

menyirami pasir duka

anak peribumi yang terbangun dari lina mimpi:

rebah bangunnya mengusung sumpah

hidup matinya mengunjung maruah

disetiap tanah & merah darah.


Lalu kembangkan payung kemanusiaan

di atas bunga-bunga dan batu-batu

yang menaburkan debu rindu.


ii

Siapa tidak merasakan kebanggaannya

melihat kepahlawanan mu, Tuah

wira yang menjanjikan kata-katanya

'Melayu takkan hilang didunia'

siapa tidak menitiskan air mata keharuan

atas pengorbanan mu, Jebat

seorang lelaki yang berani membusungkan dada

demi cinta luhurnya

menjunjung kebenaran!

Ah, musim demi musim telah ku lalui

dengan tabah hati dan duka nestapa

satu demi satu anak-anak yang kau lahirkan

di bumi tercinta ini:

siangnya dibakar matahari

malamnyan diganggang api

telah merelakan hidup matinya di sini

meroboh runtuhkan setiap belenggu melinkari diri.


iii

Ini Mac satu, 1933 tiba

ku lihat panji-panji semakin gagah

berkibar di atas bayang ku yang rebah.


Kami tidak pernah menaburkan janji

kerana taat setianya

kami tidak mernah merelakan diri

kerana sumpah yakinnya

kami tidak pernah menuntut balasan budi

kerana jasa baktinya....


Mari, berdiri bersama kami

bangun dan melangkahlah

kegunung ke lurah tak terbatas

ke kerikil ke onak tajam yang ganas

tanpa bimbang tanpa ragu

hingga berakhir segala sedu.


iv

Ummi, kini telah kau lahirkan anak-anak mu

di bumi merdeka:-

anak-anak yang merelakan:

kegunung sama didaki ke lurah sama dituruni

ke laut menampan ombaknya

ke muara menyongsong arusnya

hingga tulang temulang gugur bertabur

darah merah menjadi saksi

kasih sayang ini tidak akan luntur lagi!


Biarlah, darah merah ini membasahi tubuh mu

satu demi satu, ummi

kami tidak rela kau diganggu lagi

-ini perwira akan bangun menyumbang bakti

ketengah ribut kencang

ke alun ombak dan gelombang

yang melanda mengganyang persada mu

tanpa belas tanpa kasihan

dan lembu-lembu liar ganas menerkam.....


A.Samad Idris

1hb.Mac,1983

Teratak Desa

Lorong Gurney,

Kuala Lumpur.

Sabtu, 1 Ogos 2009

DEMONSTRASI BUKAN BUDAYA MELAYU






Meninjau kepada sikap segelitir orang Melayu, menjadikan hati dan perasaan semakin berceramuk. Apa sebenarnya yang dimahukan oleh orang Melayu.

Demonstrasi menuntut keadilan kononnya dilakukan dengan begitu rakus dan berani, tanpa mengambil kira tentang hak undang-undang. Pelbagai perlakuan yang keterlauan telah dilakukan, hanya semata-mata mahu menunjukkan protes yang kononya sistem undang-undang yang tidak adil.

Maka banjirlah ribuan orang Melayu dijalanan sambil bertakbir dan melaongkan slogan anti kerajaan tanpa mahu menhormati sistem undang-undang sedia ada. Kononya apa yang dilakukan adalah menuntut keadilan. tetapi apa yang menghairankan, keadilan bagaimana lagi yang mereka tuntut? Apakah kerana ISA itu, mereka sanggup bertindak liar dan di luar batasan, tanpa mengambil kira perbuatan itu sebenarnya telah menjatuhkan maruah orang Melayu dan yang diprotes serta dikutuk itu adalah orang Melayu juga?

Kalau diamati demonstrasi sebenarnya bukanlah budaya Melayu. Melayu tidak pernah mengamalkan budaya liar, kasar dan biadap seperti ini. Banyak cara lain yang lebih sopan boleh dilakukan, jika benar-benar mahu menuntut keadilan.

Tetapi disebabkan terlalu fanatik, maka tanpa sedar, orang Melayu sendiri juga telah cuba membunuh Melayu. Apa yang dibimbangi satu hari nanti orang luar melihat kita sebagai bangsa yang kasar dan rakus berbeza dengan apa yang didengar atau pernah lihat sebelum ini.

Pernahkah kita terfikir, bahawa tindakan keras kita itu bukannya dapat memenuhi apa yang kita tuntut malahan akan lebih merugikan kita, bangsa kita dan agama kita.

Banyak contoh luar yang boleh kita jadikan iktibar jika demonstrasi menjadi pilihan untuk memprotes. Apa jadi pada negara jiran kita.

Tidakkah juga terfikir di benak orang-orang yang terlibat, betapa sebenarnya jika negara menjadi huru hara, siapa pula yang akan terpaksa menanggung akibatnya, tidakkah anak isteri dan seluruh keluarga kita. Apakah kita terpaksa mempertaruhkan mereka hanya semata-mata kerana sikap dan tingkah laku kita yang kononnya memperjuangkan keadilan, sedangkan keadilan sebenarnya tidak perlu diperjuangkan sampai begitu caranya.

Ingatlah demonstrasi bukan caranya untuk menghapuskan sesuatu sistem itu malahan ianya lebih kepada kerosakan dan kesusahan sahaja.

Semoga orang Melayu akan terus dihormati di tanah Melayu sendiri.

Budak Melayu
foto by Nan Emril