Rabu, 20 Februari 2013

Selasa, 5 Februari 2013


42. Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua peringkat ahli-ahli Umno perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan Umno. Kita tidak boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan 'esprit de corps.'

43. Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih ahli menjadi pemimpin yang mulia. Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli dan pimpinan.

44. Keduanya, kita mesti mengubah cara Umno menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung Umno hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli Umno di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan Umno dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan Umno dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat.

45. Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi. Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah Umno akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat. Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.

Saudara dan saudari,

46. Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh Umno juga sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar. Sehubungan dengan perkembangan ini, Umno bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian.


47. Berdasarkan itu, bahagian-bahagian Umno di bandar perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengetengahkan rintihan golongan Melayu bandar yang berpendapatan rendah. Nyatanya pun, terbukti sejak sekian lama rekod kepimpinan Umno telah hampir berjaya membasmi kemiskinan tegar luar bandar melalui pelbagai rancangan. Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa. Lantas, Umno sebagai parti tonggak pemerintahan akan memastikan agenda ini diberi keutamaan oleh kerajaan.