Khamis, 9 Julai 2009

JANGAN KECILKAN HATI RAKYAT

Ibarat menatang minyak yang penuh, minyak jangan sampai tumpah. Begitulah kehalusan serta ketelitian yang mesti dilakukan oleh pemerintah, terhadap apa juga perkara yang hendak di laksanakan. Paling utama, kepentingan rakyat mesti dan mesti di titik beratkan.

Bukan kerana projek mega yang di jadikan isu, tetapi perkara-perkara kecil yang remeh, yang melibatkan rakyat jelata, semestinya dipertimbangkan dengan begitu teliti sebelum di laksanakan.

Kalau di fikir atau dikaji kepada isu-isu yang di bangkitkan pembangkang, memang ada terdapat isu- isu yang sememangnya boleh diterima. Pihak pemerintah tidak seharusnya berpuas hati dengan hanya menjawab kritikan yang dilemparkan semata-mata, tetapi sebaliknya, mereka harus juga mengambil iktibar kritikan itu, supaya lebih berhati-hati di masa akan datang.

Meninjau senario politik semasa, ternyata, kali ini pemerintah sedang menerima satu tamparan hebat dari orang Melayu sendiri. Banyak perkara remeh yang telah dijadikan isu oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah di laksanakan, terutama yang melibatkan perbelajaan ratusan juta ringgit.

Bukan orang Melayu hendak menyisihkan pembangunan. Orang Melayu juga punya perasaan dan keinginan. Ternyata orang Melayu begitu bangga dan besar hati apabila Malaysia kini amat dikenali dan disegani di mata dunia. Kalau dulu ramai rakyat negara luar, menganggap penduduk Malaysia tinggal di atas pokok, tetapi kini mereka menjadi malu sendiri, apabila melihat dan mendengar khabar tentang pembangunannya. Rakyat mana yang tidak bangga. Dan seharusnya lah golongan rakyat ini berterima kasih kepada pemerintah yang telah berjaya melaksana kan tanggung jawabnya dengan begitu berkesan.

Tetapi di sebalik pembangunan dan kemegahan itu, masih banyak lagi perkara-perkara remeh yang tidak sepatutnya diabaikan oleh pemerintah. Masih banyak perkampungan di pendalaman yang terus tersisih dari pembangunan. Jalan-jalan raya yang berlekuk-lekik serta masalah-masalah sosial yang berpanjangan, menjadikan sebahagian rakyat terasa seolah-olah tidak mendapat perhatian serius dari pemerintah.

Golongan miskin yang memerlukan bantuan dan perhatian dari kerajaan. Tanah-tanah rakyat yang terpaksa diserahkan pemerintah atas tiket pembangunan, serta banyak lagi perkara yang kini telah dijadikan sebahagian dari isu pembangkang. Kenapa perkara ini terus terjadi, sedangkan ianya telah berbangkit sejak berpuluh tahun dahulu lagi.

Begitu juga dengan kegagalan segolongan wakil rakyat melaksana kan tanggung jawab mereka terhadap rakyat yang diwakilinya. Sebelum pilihan raya, pelbagai janji dibuat. Tetapi setelah menang, janji tetap tinggal janji. Yang paling peritnya, kalau setakat tak mahu jenguk kawasan tu, mungkin boleh diterima, tetapi kalau nak jumpa untuk mengadu masalah pun begitu liat, wakil rakyat apa namanya itu.

Kalau kita perhatikan secara sepintas lalu tentang sikap serta lagak mereka yang menjadi wakil rakyat dalam parti kerajaan, memang ianya agak berbeza dengan lain-lain wakil rakyat dari pembangkang. Jelas kelihatan kepada kita kemewahan mereka. Kalau lah dengan hanya elaun wakil rakyat semata-mata, adalah mustahil untuk mereka memiliki kemewahan seperti yang ditunjukkan.

Ini kerana rakyat tahu menilai dan menghitung, kalau betul, kenapa wakil rakyat dari pembangkang tidak mampu menonjol seperti mereka, sedangkan jumlah elaun yang diterima sama?

Kadang-kadang, apabila menonton fenomena begini, teringat kita kepada kata-kata hikmat orang-orang lama. Orang Melayu tidak boleh senang. Kalau senang, pasti mereka tidak dapat menahan nafsu kebendaan, kalau boleh mereka mahu semua orang tahu yang mereka kaya. Senang lenang. Mula lah berjalan buka dada sambil angkat muka untuk menunjukkan hidung yang tinggi.

Lepas itu mula lah tak pandai cakap Melayu, kalau bercakap pun pelat-pelat Mat Salleh. Ada setengahnya itu, campur adukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Status kononnya. Tak ada kelas lah.

Kalau belum pilihan raya, sanggup datang kerumah-rumah untuk menyebar pengaruh, biarpun di pendalaman. Kalau ada yang minta tolong, belum habis bercakap sudah buat kesanggupan.

Tapi telah Berjaya , jangan kata nak tolong signkan borang biasiswa, nak jumpa pun ikut protokol. Kena buat temu janji dengan setiausaha, kalau tidak jangan harap lah nak dapat berjumpa. Ada saja alas an untuk mengelak dari berjumpa pengundi.

Ini amat berbeza dengan wakil rakyat pembangkang. Senang dijumpai. Tak cukup dengan itu, buat jadual lawatan ketempat-tempat pengundi. Bena pondok khas untuk memudahkan pengundi bertemu dan meminta bantuan. Tapi yang sayangnya tu, sebab mereka ni pembangkang, setakat mana lah pengaruh mereka. Biasanya setiap masalah akan hanya terus tinggal masaalahlah jawabnya.

Di sinilah perbezaan ketara yang terdapat di dalam sistem pemerintah kita hari ini. Dan perkara inilah yang harus diberikan perhatian serius oleh pemerintah jika mahu terus mendapat kepercayaan jitu dari rakyat, terutamanya orang Melayu sendiri. Sistem pemerintah begini mesti dihapuskan segera.

Setiap pemimpin yang bakal menjadi wakil rakyat hendaklah diberi motivasi khas supaya mereka yang akan menjadi wakil rakyat benar benar berkhidmat untuk rakyat. Setiap peruntukan yang diluluskan mesti ditentukan perlaksanaannya.Dan jumlah peruntukan yang diperlukan bagi setiap projek biarlah yang sesuai dengan piawaian projek tersebut.

Janganlah harga projek berjuta-juta, tetapi standardnya hanya setakat ratusan ribu sahaja. Kita harus ingat dan mesti ingat. rakyat sekarang adalah rakyat yang educated. Yang sudah tahu menilai sesuatu barang hanya dengan melihatnya sahaja.

Mungkin pihak atasan dalam kerajaan tidak nampak atau tidak tahu perkara ini. Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana bukan itu yang mesti mereka titik beratkan. Tetapi wakil-wakil rakyat itu sendiri yang seharus berpegang kepada prinsip amanah yang diberikan. Jangan pentingkan diri sendiri hingga sanggup menindas orang lain.

Akibatnya, kalau untuk pilihan raya seterusnya tidak terpilih mula lah rasa kecewa dan malu. Untuk menutup malu, masuk pembangkang dan hentam pula kerajaan. Mula lah dedah rahsia kerajaan. Bolehkah orang Melayu sebegini disimpan untuk menjadi idola bangsa Melayu kini dan masa depan?

Dan biasanya orang Melayu inilah yang menjadi duri dalam daging orang Melayu sendiri. Akibat kecewa kerana kekayaannya tergugat dek sikapnya sendiri, mereka dengan rakus menghentam dan mercerca orang lain kononnya tidak adil dan tidak betul. Sedangkan semasa didalam kerajaan, dia sendiri tidak betul. Secara tidak langsung, cara itu bukan saja akan menutup kesilapannya terhadap pengundi-pengundinya, tetapi ianya juga akan dapat menonjolkan dirinya dengan lebih jelas lagi, berbeza ketika dia menjadi wakil rakyat kerajaan dahulu.

Pun begitu, sebagai rakyat, kita tidaklah seharusnya terus menghentam dan mengkritik kerajaan dengan sewenang-wenangnya, hanya kerana rasa tidak puas hati kita terhadap sesuatu perkara yang di laksanakan, tidak mengikut apa yang kita mahukan.

Tidakkah kita pernah terfikir, apakah faedah yang kita akan dapat jika kita terlalu fanatik kepada fahaman politik kita, hingga sanggup mengadaikan maruah bangsa, sedangkan segala yang kita lakukan itu hanyalah semata-mata untuk kepentingan pihak yang lebih berkuasa dalam parti berkenaan.

Tak kira pemerintah atau pembangkang, perjuangan politik mereka sama saja. Sebagai pengikut kita janganlah terlalu fanatik. Cukuplah sekadar kesetiaan kita kepada kefahaman mereka. Yang lain-lain tu, biarlah pemimpin dalam parti-parti berkenaan saja yang melaksana kan. Jangan kerana terlalu fanatik, kita terpaksa berperang sesama kita. Apa faedahnya. Sampai bila bangsa kita nak maju. Sanggupkah kita akan terus ditutup dengan tempurung hingga bangsa tidak tahu apa yang berlaku di dunia luar, di sebalik tempurung kita?

Sebenarnya memang ada pro dan kontra di dalam kancah politik, di mana-mana negara sekali pun. Selagi ianya bernama politik, selagi itulah tidak dapat lari dari fenomena itu. Jadi, janganlah kita terlalu fanatik hingga sanggup mengorbankan maruah bangsa kita sendiri.

Renungkan lah. Demi masa depan anak cucu dan cicit kita, apakah langkah terbaik yang harus kita lakukan di dalam menyepadukan bangsa Melayu. Dan sampai bilakah orang Melayu harus bertegang urat menegakkan benang basah dengan orang Melayu sendiri. Apakah kita masih belum sedar, bahawa di sebalik itu, pelbagai bangsa sedang memerhati dan mentertawakan kita?

Oleh:Budak Melayu.