Selasa, 8 Januari 2013

Sultan Selangor Kesal


SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meminta agar kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu. 

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohd Misri Idris dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata berikutan gesaan itu, Sultan Selangor telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa anggota Mais, Mufti Selangor serta pegawai tertinggi Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 6 Januari lalu. 

"Baginda telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam lain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010. 


"Malah baginda pernah mengeluarkan titah yang sama berkaitan penggunaan kalimah Allah tiga tahun lepas apabila isu ini pertama kali dibangkitkan. Namun, tuanku amat kesal kerana titah baginda itu telah dipandang ringan oleh sesetengah pihak sehingga isu yang sama dibangkitkan semula," katanya. 

Baru-baru ini, Guan Eng dilaporkan membangkitkan semula isu kalimah Allah melalui laman blognya dengan menggesa kerajaan pusat membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu. 

Mohd Misri berkata, berikutan kenyataan itu juga, Sultan Selangor menitahkan Mais dan Jais untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan Islam atau di kalangan orang Islam sekalipun yang masih mempersoal atau memperlekeh fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di Selangor. 

Beliau berkata di Selangor terdapat undang-undang yang digubal Dewan Undangan Negeri pada April 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 berkaitan pengawalan penggunaan kalimah Allah iaitu, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang telah diwujudkan selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. 

Mohd Misri berkata, Seksyen 9 Enakmen berkenaan dengan jelas melarang kalimah Allah daripada digunakan orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka dan tuduhan serta hukuman boleh dijatuhkan bagi mereka yang melanggar peruntukan ini. 

"Baginda juga menitahkan agar orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam bagi mengelakkan permusuhan dan salah faham di kalangan kaum di negara ini. 

"Selanjutnya, tuanku menitahkan bahawa mana-mana pihak adalah ditegah dan dilarang sama sekali daripada menggunakan atau memperalatkan agama Islam sebagai modal politik mereka kerana ianya akan mengakibatkan kemusnahan kepada keamanan yang dikecapi oleh rakyat pelbagai agama di negara ini," katanya. 


SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?"
Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.


COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI