Ahad, 23 Ogos 2009

PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN



Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baru
Pengisytiharaan Kemerdekaan
di Bandar Hilir,Melaka pada 20 February 1956

Di padang Bandar Hilir Tuanku Abdul Rahman melafazkan perisytiharaan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu yang disediakan oleh Pejabat Setiausaha Agung UMNO :-

"Bahawa di dalam perjalanan sejarah manusia tidak ada suatu bangsa pun yang boleh menyelamatkan dirinya jikalau bangsa itu berdiam diri memeluk tubuh selama-lamanya. Sudah semestinya bangsa itu harus memilih suatu antara dua arah maju atau undur. Ini terserah kepada kesungguhan dan kesedaran bangsa itu menghadapi perubahan-perubahan dan perkembangan-perkembangan.

Manakala rakyat itu di dalam keadaan berpuas hati dengan taraf dan kedudukannya yang ada maka sentiasalah mereka merasa bimbang atas sebarang perkara yang harus membawa perubahan. Mereka akan merasa curiga terhadap sebarang langkah atau seseorang yang membawa fikiran dan pendapat baru.

Tetapi kerana sejarah manusia adalah sejarah perubahan-perubahan dan kemajuan untuk mencintakan sesuatu yang lebih baik dan sempurna, bangsa yang merasa kepuasan tadi akan tinggal semakin jauh ke belakang dan akhirnya hilang lenyap dan hanya akan timbul kembali oleh ahli-ahli sejarah yang akan datang.

Kita adalah suatu bangsa yang pernah menikmati kebesaran dan mempuyai pusaka kebangsaan yang gilang gemilang. Sesungguhnya perjalanan sejarah telah menukarkan nasib kita daripada suatu bangsa yang merdeka dan agung kapada bangsa yang hina dan terjajah namun kita masih tetap dapat mempertahankan anugerah-anugerah Tuhan yang berupa kebesaran jiwa, rasa kemuliaan, keadilan dan semangat yang tidak dapat dipatahkan, sementara kita tertakluk di bawah penjajahan lebih dari 400 tahun lamanya.Ketahuilah bahawa kita rakyat Malaya adalah bersatu padu dalam maksud kita mencapai kemerdekaan secara perlembagaan dan pada hari ini maksud kita telah kita capaikan.

Dengan itu dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya atas nama rakyat Malaya mengisytiharkan bahawa kemerdekaan penuh Persekutuan Tanah Melayu menurut perjanjian yang telah dicapai di London akan dilaksanakan pada 31 haribulan Ogos 1957. Pohon Allah izinkan."

Sumber Ibu Pejabat UMNO Malaysia