Khamis, 10 September 2009

Pas oh Pas


Pakar
pencipta fitnah PAS, Mahfuz nampaknya telah dapat modal baru untuk dihebahkan kepada pengundi-pengundi di DUN Bagan Pinang pada PRK akan datang.

Mahfuz mendakwa, tindakan Dato’ Sri Najib mempercepatkan drama siasatan kes skandal PKFZ dari terus mendapat perhatian rakyat Malaysia kerana hendak menyelamatkan banyak lagi jerung besar Umno dan BN dari terdedah. Klik (
greenboc.blogspot.com)

Inilah sikap PAS dari dulu lagi.

ARKIB : 22/06/2002
Menentang politik kebencian
Oleh Zulkiflee Bakar
(Wartawan Utusan)

Dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad `mendedahkan' bagaimana politik kebencian yang diamalkan oleh Pas menghalang perpaduan di kalangan orang Melayu.

Sememangnya sejak dulu lagi parti pembangkang, Pas tidak pernah mempu-nyai hasrat untuk bersatu dengan UMNO dalam memperjuangkan hak orang Melayu di negara ini.

Bagi Pas, apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO semua tidak benar, apa yang diputuskan oleh UMNO tidak sah dan apa saja tindakan UMNO adalah zalim atau haram.

Begitulah sikap Pas, mereka sampai bilapun tidak akan memikirkan dan menerima hakikat bahawa perjuangan UMNO adalah demi kepentingan Melayu.

Apa yang penting bagi Pas ialah mereka ingin merebut kerusi dalam pilihan raya, merampas kuasa memerintah negara ini dan melaksanakan pemerintahan Islam mengikut tafsiran songsang mereka.

Walaupun di kalangan pemimpin dan ahli menyedari bahawa selama ini hasil daripada perjuangan UMNO, mereka turut menikmati keistimewaan sebagai orang Melayu dalam semua bidang, namun mereka tidak pernah mahu mengakuinya.

Bagi Pas, mereka lebih rela berpeluk-peluk dengan Dap yang tidak pernah memperjuangkan orang Melayu tetapi merasa janggal untuk bersalaman dengan orang UMNO.

Semua ini terjadi kerana minda dan pandangan pemimpin dan orang Pas terhadap UMNO sudah terkongkong dan tertutup.

Dalam berhadapan dengan UMNO, Pas bukanlah lagi berpolitik tetapi berusaha untuk menanam kebencian di kalangan orang Melayu supaya memusuhi UMNO.

Tahap kebencian Pas terhadap UMNO telah menyebabkan mereka rela mengeluarkan fatwa-fatwa songsang dan memperalatkan agama dengan tujuan untuk memastikan bahawa orang Melayu tidak menyokong UMNO.

Walaupun mereka menyedari bahawa perbuatan itu salah dan tidak benar dari segi Islam, namun demi kepentingan politik sempit mereka, ia tidak dipedulikan.

Pas lebih rela untuk bersekongkol dengan puak-puak yang menentang UMNO demi untuk memastikan parti yang telah banyak berjasa kepada orang Melayu itu dapat dikalahkan.

Bagi Pas, mereka tidak peduli apa kesannya kepada orang Melayu jika UMNO tidak berkuasa atau tidak kuat lagi.

Apa yang penting bagi mereka ialah UMNO harus disingkirkan dengan apa cara sekalipun, walaupun Pas menyedari bahawa mereka tidak mempunyai kemampuan sama sekali untuk membela orang Melayu dan tidak pernah berhasrat berbuat demikian.

Sikap politik kebencian yang diamalkan oleh Pas ini sudah tentu bukan sahaja tidak akan menguntungkan orang Melayu malah boleh membahayakan kaum berkenaan.

Ini kerana jika sikap itu dibiarkan dan terus menular di kalangan orang Melayu sampai bila pun harapan untuk melihat orang bersatu tidak akan kesampaian.

Apa yang mengecewakan, walaupun Pas menyedari bahawa UMNO merupakan satu-satu harapan orang Melayu untuk mempertahankan hak-hak mereka namun mereka tidak mahu menerimanya.

Mereka sama sekali tidak berhasrat untuk berdiri sebaris atau berganding bahu untuk sama-sama mempertahankan orang Melayu.

Apa yang ada dalam fikiran orang Pas ialah politik untuk merebut kuasa sahaja! Mereka menganggap kononnya jika mereka bekerjasama dengan UMNO demi untuk kepentingan Melayu ia akan `menjejaskan saham' mereka dalam usaha menarik sokongan Melayu.

Malah lebih mengelirukan mereka menganggap bekerjasama dengan UMNO adalah tidak wajar kerana melalui fatwa songsang mereka, parti itu telah menganggap orang UMNO adalah kafir.

Atas sebab itulah, Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor dikritik oleh penyokong parti itu apabila beliau menghadiri Forum Perdana mengenai Palestin baru-baru ini.

Malah mereka juga seolah-olah sama sekali tidak berasa bangga apabila Malaysia dipuji oleh negara luar kerana dianggap negara Islam contoh.

Mengikut perspektif Pas, Malaysia bukan negara Islam selagi tidak mengamalkan undang-undang hudud ciptaan mereka.

Semua ini terjadi kerana sejak dari dulu orang Pas telah ditanam pemikiran mereka bahawa UMNO harus ditolak dan ditentang dengan apa cara sekalipun.

Tetapi apa yang anehnya, mereka sanggup berada satu pentas dengan pembangkang yang bukan Islam semata-mata untuk meraih sokongan politik.

Sememangnya cara berpolitik yang taksub dan jumud amalan Pas itu amat berbahaya dan boleh menjejaskan masa depan politik dan perjuangan orang Melayu.

Oleh itu, dalam keadaan Melayu yang dianggap masih belum selamat dalam semua perkara sekarang, Pas harus cepat sedar bahawa apa yang sedang mereka lakukan dalam berpolitik menentang UMNO adalah satu kesilapan.

Mereka harus bermuhasabah dan merenung bagi memikirkan apakah yang mereka lakukan sekarang terhadap UMNO adalah benar.

Renunglah bulan, cuba fikirkan tentang orang Melayu, jangan fikirkan soal UMNO tetapi soal perjuangan dan survival politik orang Melayu.

Pas tidak harus selama-lamanya menganggap UMNO adalah musuh kekal mereka, ini kerana dalam politik bukan ketaksuban yang diperlukan tetapi kemata-ngan.

Jika Pas terus dengan budaya politik membenci mereka sampai bila pun mereka tidak akan dapat melihat kebenaran melalui hasil perjuangan UMNO untuk orang Melayu.

Sebagai parti yang kononnya memperjuangkan Islam dan memahami erti yang benar itu benar yang batil itu batil, Pas harus belajar untuk berpolitik secara matang dengan UMNO.

Tidak kisahlah mereka ingin meletakkan calon menentang calon UMNO di semua kawasan pilihan raya, tidak pedulilah berapa kerusi pun yang mereka cita-cita ingin kuasai dan tidak apalah kalau mereka ingin terus berkhayal untuk berkuasa.

Tetapi apa yang penting mereka harus mengubah sikap dalam soal memperjuangkan orang Melayu bersama UMNO.

Pas harus sedar bahawa jika perpecahan di kalangan orang Melayu terutama dari segi politik berleluasa sudah pasti ia boleh menggugat orang Melayu.

Orang Melayu sudah tentu akan menjadi lemah dan tidak mempunyai kekuatan untuk mempertahankan apa juga yang mereka miliki.

Justeru masanya sudah tiba untuk pemimpin dan ahli Pas belajar untuk merenung bulan bukan sahaja kerana lambang parti itu tetapi demi memikirkan masa depan orang Melayu.
Percayalah, jika sikap politik kebencian terus kekal dan diamalkan oleh Pas sudah pasti orang Melayu tidak akan selamat.