Jumaat, 27 Ogos 2010

KE ARAH PEMANTAPAN MASYARAKAT KEBANGSAAN


01:Syukur Alhamdulillah dengan limpah rahmat dan izin Allah SWT maka pada pagi yang harmoni ini, kita diberinya kesempatan untuk untuk berhimpun didalam suasan yang penuh tenteram dan kelapangan, dengan fikiran yang jernih dan segar, dengan jasmani dan rohani yang sihat dan sejahtera, semoga di bawah naungan bagunan UMNO ini, kehadiran saudara-saudara Perwakilan dengan penuh iktibar dan hikmah akan melengkapkan Barisan Pemuda sebagai pelopor yang memikul tanggungjawab kepada parti, bangsa, agama dan negara.

02: Bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO Kebangsaan juga, saya mengucapkan selamat datang kepada saudara-saudara perwakilan, yang telah bersusah payah meninggalkan kampung halaman melangkau negeri dan sempadan, untuk bersama-sama mencurah fikiran dan tekad perjuangan pada pagi ini, ke arah yang lebih afdhal dan hakiki. Tidak lupa, para jemputan khas, wakil-wakil daripada Majlis Tertinggi Parti, wakil-wakil daripada media massa dan para pemerhati yang sama-sama menaruh harapan kepada idealism dan aspirasi perjuangan Pemuda UMNO.

03: Kehadiran YAB Encik Abdul Ghafar Baba merasmikan perjumpaan kita sebentar tadi bukan sahaja membawa seri dan semarak kepada perhimpunan ini, tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah bahawa kehadiran beliau telah memberi nilai sejarah yang tersendiri kepada kita bersama. YAB Encik Ghafar Baba adalah seoran nasionalis veteran, seorang pejuang kemerdekaan yang telah berkecimpung di dalam UMNO sepanjang sejarah parti kita.

04: Selain itu, saya juga ingin menegaskan bahawa jika ada seseorang mendakwa diri memahami dan menghayati semangat UMNO 46 itu maka orang yang paling sahih dan paling layak, maka tidak lain dan tidak bukan adalah YAB Encik Ghafar sendiri, sebaliknya individu-individu yang lain, yang mendakwa dan melaung-laungkan perjuangan mereka sebagai pendokong semangat 46, adalah kumpulan generasi kedua yang masih perlu belajar dari keveteranan Encik Ghafar.

Saudara-saudara sekelian,

05: Sebagai satu bangsa yang menjujung tinggi nilai-nilai sopan santun serta adab tertib, kita mestilah tahu mengenang budi dan mengiktiraf sumbangan ahli-ahli atau tokoh-tokoh yang telah berjasa. Dan sebagai satu generasi yang hidup di zaman moden, kita messtilah mempunyai keupayaan membuat penilaian yang objektif dan rasional terhadap jasa bakti seseorang tokoh itu. Dengan semangat dan kesedaran yang sedemikianlah kita menyatakan sanjungan dan melafazkan terima kkasih kepada YAB Encik Ghafar Baba tadi. Dan dengan semangat serta kesedaran yang demikian pulalah kita wajar dan wajib mengiktiraf sumbangan dan jasa bakti pemimpin tertinggi kita, YAB Dato’ Seri Dr.Mahathir Mohamad.

06: Selama lebih 40 tahun, semenjak beliau muda remaja semasa berada di bangku sekolah, Dato’ Seri Dr. Mahathir telah membuktikan dirinya seorang patriot sejati, sebagai seorang pejuang yang gigih, sebagai seorang pemikir masalah-masalah bangsa dan tanah air, sebagai seorang pemimpin negara yang tegas dan imajinatif. Karya beliau yang controversial, iaitu buku “The Malay Dilemma” sehingga sekarang masih merupakan satu-satunya pengungkapan fikiran serta analisa yang jitu dan tegas mengenai masalah bangsa Melayu. Dari segi mengartikulasikan atau menyuarakan serta merumuskan dan mengemukakan penyelesaian terhadap masalah-masalah sosial, politik dan ekonomi bangsa Melayu, buku “The Malay Dilemma” karya Dr.Mahathir itu hingga masa kini masih sukar ditandingi.

07: Sangat sedikit, malah boleh dikatakan hampir tidak ada, seorang tokoh politik di peringkat kebangsaan yang mempuyai keupayaan membuat satu analisa yang tajam dan berani seperti yang diungkapkan dalam buku “The Malay Dilemma” itu.Analisanya bukan saja sekadar tajam dan berani, malah , malah juga sangat “perceptive” dan “penetrating”. Keberaniannya mengemukakan pandangan dan pendapat yang menimbulkan kontroversi, adalah satu perkara yang mengkagumkan. Ahli-ahli generasi muda seperti kita, patut benar mengambil contoh teladan dan iktibar daripada semuanya ini.

08: Kita sedar bahawa semenjak akhir-akhir ini, pemimpin tertinggi kita ini telah menjadi seorang tokoh yang semakin kontroversial, baik di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat antarabangsa. Pada pendapat kita, antara lain ini adalah disebabkan oleh kerana fikiran-fikirannya yang original dan juga oleh kerana pandangannya yang jauh ke hadapan. Dan bagi bangsa Melayu yang sedang bertungkus lumus membaiki kehidupan sosial dan ekonominya, bagi bangsa Melayu yang sedang mengembalikan
dan meningkatkan martabat dan maruahnya, pemimpin tertinggi seperti inilah yang kita perlukan sekarang. Daripada rekod perjuangannya di bidang politik dan sosial semenjak lebih empat puluh tahun yang lalu, tidak syak lagi bangsa Melayu masih memerlukan kepimpinan YAB Dato’Sri Dr. Mahathir, terutama dalam saat-saat yang penuh cabaran seperti sekarang. Jika orang bercakap mengenai semangat 46, jika orang bercakap mengenai martabat dan maruah bangsa dan jika orang bercakap
mengenai perpaduan ummat Melayu, maka disini kita ingin menegaskan bahawa untuk mencapai semua itu, kita masih memerlukan dan akan terus memerlukan kepimpinan YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

09: Pendeknya, sempena perjumpaan kita pagi ini, sekali lagi kita ingin menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda menjujung tinggi dan menyokong penuh kepimpinan YAB Dato’ Seri Dr.Mahathir Mohamad dan YAB En. Ghafar Baba di peringkat parti dan negara.

Saudara saudara sekalian,
10: Pada zahirnya, perjumpaan kita pagi ini bolehlah dianggap sebagai perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO (Baru) yang pertama. Kerana ini pertama kalinya kita mengadakan perhimpunan semenjak nama parti kita di tambah dengan sepatah perkataan, iaitu (Baru). Dan sebagaimana kita semua sedia maklum, serentak dengan tambahan perkataa(Baru) pada akronim namanya itu, parti kita juga telah mempunyaai satu perlembagaan atau undang-undang tubuh yang baru. Jadi dari segi nama dan dari segi perlembagaan yang mengalami sedikit perubahan itu, boleh dikatakan bahawa perjumpaan ini sebagai perhimpunan kita yang pertama.

11. Tetapi pada hakikatnya, atau pada batinnya perhimpunan ini tidak boleh dikatakan sebagai perhimpunan yang pertama, kerana sesungguhnya perhimpunan ini lanjutan daripada berpulu-puluh perhimpunan semenjak Pergerakan Pemuda UMNO ditubuhkan pada tahun 1949, iaitu kira-kira 3 tahun selepas badan induk kita, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNOditubuhkan pada 11 haribulan Mei, 1946. Ertinya, walaupun dari segi undang-undang, UMNO yang ditubuhkan untuk menyatupadukan bangsa Melayu dalam tahun 1946 itu telah diishytiharkan sebagai tidak sah oleh Mahkamah pada bulan February, 1988 yang lalu, dan oleh kerana itu ada yang berkata bahawa UMNO yang asal itu telah mati, namun dari segi semangat dan cita-cita, dari segi falsafah dan ideologi serta dari segi harapan dan aspirasi, UMNO yang telah berumur 42 tahun itu tidak pernah mati dan tidak pernah masuh.

12: Sebaliknya, semangat dan cita-cita UMNO yang telah berumur lebih 42 tahun itu tetap menyala dalam dada dan senantiasa berkobar-kobar dalam hati sanubari kita. Falsafah dan ideologi UMNO yang ditubuhkan di bawah pimpinan tokoh agung Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar itu tetap menjadi pedoman dan panduan bagi kita berfikir dan bertindak. Harapan dan aspirasi UMNO yang selama lebih 42 tahun terus menerus membawa rahmat dan kejayaan serta kegemilangan kepada Melayu itu tetap kita junjung di atas jemala dan kita dakap di riba dada.

13: Pendeknya, perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO yang kita hadiri ini, dan badan induk UMNO semuanya adalah lanjutan daripada semangat dan perjuangan yang telah dirintis oleh beberapa generasi sebelum kita semenjak tahun 1946 yang lalu, walaupun UMNO telah melalui masa-masa gerhana akibat gelora politik yang sangat hebat semenjak setahun dua yang lalu, namun bagi kita UMNO tetap satu, dan oleh kerana itu kita akan tetap bersatupadu dibawah panji-panji UMNO, dan kerana itu kita ingin menyeru supaya seluruh pemuda Melayu, seluruh bangsa Melayu, agar tetap bersatu bersama UMNO, kerana kita yakin bahawa hanya UMNO lah satu-satunya parti politik yang akan dapat mengekalkan persatuan dikalangan bangsa Melayu.

14: Kerana itu tepat benarlah ungkapan yang mengatakan bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Dan saya ingin menambah bahawa UMNO lama itu adalah UMNO baru dan UMNO baru itu adalah UMNO lama. Ertinya, kita tetap satu dari segi semangat sama ada dipanggil lama atau di panggil baru, kita tetap satu dari segi semangat dan cita-cita, kita tetap satu dari segi falsafah dan ideologi, kita tetap satu dari segi tekad dan perjuangan. Selaras dengan keputusan mahkamah yang telah membenarkan media massa mengunakan nama UMNO tanpa perkataan “Baru” maka kita seterusnya akan hanya merujuk parti kita dengan panggilan UMNO sahaja. Sesungguhnya kita adalah UMNO tulen.

Saudara-saudara sekalian,
15: Dengan kesedaran dan keinsafan bahawa perhimpunan Pergerakan Pemuda ini adalah lanjutan daripada puluhan perhimpunan kita semenjak tahun 1949 dahulu, dan dengan kesedaran bahawa kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang suci dan mulia untuk meneruskan perjuangan angkatan-angkatan terdahulu daripada kita, marilah sama-sama kita merenung ke dalam diri masing masing sambil mengingatkan diri kita tentang peranan, tugas dan tanggungjawab yang wajib kita laksanakan.

16: Di masa-masa yang lalu, dengan mengunakan perkataan atau ungkapan yang bersifat sloganistic atai cogan-kata, Pergerakan Pemuda antara lain telah dikenal sebagai pelopor atau “vanguard” sebagai pendukung “conscience” hati nurani rakyat, sebagai “kumpulan halia” atau “ginger group” sebagai telinga kepada Kerajaan” dan sebagai “lidah kepada rakyat”.

17: Walau panggilan atau gelaran terhadap Pergerakan Pemuda UMNO itu berbeza dari semasa ke semasa, namun inti atau semangat dari pelbagai panggilan dan gelaran itu pada hakikat-nya adalah sama. Sesuai dengan semangat atau peranan kita sebagai pelopor, Pergerakan Pemuda telah merintis pelbagai pembaharuan dalam sejarah perjuangan UMNO. Umpamanya, Pergerakan Pemuda lah yang telah merintis perubahan slogan atau cogan kata UMNO daripada “Hidup Melayu” kepada “Merdeka”, iaitu sesuai dengan semakin bergeloranya semangat kemerdekaan dalam tahun 1950-an dahulu. Sesuai dengan peranan kita sebagai “ lidah kepada rakyat” dan sesuai pula dengan kepekaan kita terhadap pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat jelata Melayu, kita telah menyuarakan dengan cara yang lebih lantang dan lebih tegas pelbagai masalah yang dihadapi oleh bangsa Melayu itu.

18: Adakalanya kerana kelantangan dan ketegasannya itu, Pergerakan Pemuda telah ditohmah dengan pelbagai tuduhan. Tetapi dalam hal ini kita tidak semestinya merasa bersalah akibat pelbagai tuduhan itu. Sebaliknya, dengan penuh keyakinan dan semangat berpantang undur, kita mestilah terus tegas dan lantang mempertahankan dan meningkatkan martabat dan maruah bangsa Melayu. Dengan sikap yang tegas dan lantang itu jugalah saya mengajak Pergerakan Pemuda merintis atau meneruskan dengan segala kegagahan dan kegigihan usaha-usaha pembentukan satu masyarakat kebangsaan Malaysia yang berteraskan Melayu sebagai masyarakat induk. Saya mengajak saudara-saudara sekalian agar mengembling segala sumber yang ada pada kita - termasuk sumber masa dan tenaga serta sumber intelek dan daya imajinasi - untuk memantapkan pebentukan satu masyarakat kebangsaan Malaysia.

Saudara-saudara sekalian,
19: Mungkin ada orang yang merasa pelik dan bertanya: Kenapakah setelah merdeka lebih 30 tahun kita masih lagi bercakap mengenai pembentukan satu masyarakat nasional? Bukankah masyarakat itu sudah wujud; atau belum wujudkan masyarakat itu lagi? Jawapan kita ialah: Memang pelik dan mengherankan bahawa setelah sedemikian lama merdeka, Malaysia masih belum lagi mempunyai satu masyarakat nasional yang sebenarnya walaupun asas untuk pembentukan masyarakat tersebut sudah sedia wujud semenjak hampir lima ratus tahun yang lalu. Yang sebenarnya pembentukan satu masyarakat nasional yang tulen itu, selama ini telah tergendala akibat sikap dan kecenderungan setengah pihak yang telah terseleweng - atau sengaja menyelewengkan diri mereka - dengan pemikiran atau konsep apa yang disebut sebagai masyarakat majmuk atau masyarakat pelbagai kaum atau “multi-racial society”.

20: Kita mestilah ingat dan waspada bahawa selagi kita berfikir dalam rangka pelbagai kaum atau rangka masyarakat majmuk atau konsep “multi - racial society” itu, selagi itulah pembentukan satu masyarakat nasional tulen itu akan tergendala. Ini adalah kerana konsep masyarakat majmuk itu bercanggah dan bertentangan dengan konsep masyarakat nasional yang sebenar. Selagi orang terseleweng - atau menyeleweng - dengan pemikiran masyarakat majmuk itu, selagi itu masalah pembentukan satu masyarakat nasional yang sejati akan menghadapi masalah. Dan kita patutlah sedar bahawa kewujudan satu masyarakat nasional sejati itu amatlah penting untuk kesejahteraan dan kesentosaan hidup setiap individu, untuk perkembangan dan kemajuan ilmu pengetahuan serta untuk ketinggian dan kemuliaan tamadun di negara kita ini.

21: Oleh kerana itulah kita - Pergerakan Pemuda UMNO mestilah melipatgandakan usaha serta menggembeling seluruh sumber untuk pembentukan dan pemantapan masyarakat nasional yang dicita-cita itu. Bila saya katakan menggembelingkan segala sumber, maka ini termasuklah sumber intelek dan ilmu pengetahuan, sumber masa dan tenaga serta sumber ekonomi dan kekayaan.

22: Dalam penggembelingan sumber intelektuan, Pergerakan Pemuda mestilah merumuskan dan dari semasa ke semasa menjelaskan wawasan atau “vision”nya tentang masyarakat nasional sejati itu. Sumber dan tenaga intelektual kita hendaklah digembeling untuk merumuskan dan menjelaskan asas falsafah, rasional sejarah serta rangka dan pedoman bertindak ke arah pembentukan dan pemantapan masyarakat nasional sejati itu.

Saudara - saudara sekelian,
23:Munkin ada yang bertanya, apakah perlunya kita melihat kebelakang meninjau rasional sejarah dan falsafah perjuangan kita?. Bukankah lebih bermakna kita merenung hari muka yang penuh cabaran itu?. Hari muka yang akan menentukan nasib anak-anak bangsa kita? Dalam hal seumpama ini, eloklah rasanya saya mengambil kesempatan mengingatkan saudara-saudara bahawa di Malaysia ini dan di Tanah Melayu khasnya, sejarahlah yang menjadi asas utama membezakan hak dan tuntutan bangsa Melayu berbanding dengan kaum-kaum lain. Oleh kerana itulah, tanpa memahami sejarah dan kesinambugan lunas-lunas utama perjuangan bangsa, kita tidak mungkin dapat melihat arah dan vision hari muka apa tah lagi menilai sejauh mana setiap tahap perubahan dan perancangan yang kita lalui menepati hasrat dan cita-cita perjuangan kita itu.

24: Dalam konteks ini, izinkan saya memetik kata-kata hikmat bangsa Inggeris, iaitu satu bangsa yang pernah menjajah dan menakluk sebahagian besar dunia Asia ini. Kata-kata ini berbunyi, “bahawa hanya mereka yang dapat memahami nasib hari yang silam boleh menguasai hari-hari muka - “ those who understand the past, control the future”.

25: Dalam hal ini, salah satu iktibar yang dapat diambil dari sejarah UMNO yang kita kasihi ini, ialah rangka kebangsaannya yang menjadi wadah perjuangan kita hingga kini. Penubuhan UMNO dalam tahun 1946 adalah manifestasi dari keseluruhan perjuangan bangsa Melayu sepanjang abad. Ianya telah didokong oleh 41 pertubuhan Melayu dari seluruh pelusuk negeri termasuklah kaum ibu, persatuan Anak-anak Boyan, hatta termasuk juga persatuan orang-orang Asli. Ia telah mendapat sokongan moral dan material dari peringkat rakyat biasa hingga kepada raja-raja Melayu.

26:UMNO sebagai cetusan dan kebulatan tikad kesedaran umat Melayu melambangkan perjuangan yang amat luas, merangkumi semua peringkat, semua puak dan semua golongan. 1946 di Ipoh, secara simbolik melambangkan inti dari perjuangan Melayu itu. Dan bendera ini masih kita warisi hingga sekarang - masih lagi melambangkan “pesaka” dan kedaulatan Melayu, masih lagi menkibarkan ketinggian martabat Agama suci kita.

Saudara-saudara sekelian,
27: Orang-orang mungkin bertanya, bahawa UMNO tidak punya ideologi, tidak punya satu pegangan yang jelas dalam memperjuangkan aspirasi bangsanya. Mereka mengatakankan inilah kelemahan UMNO. Tetapi sebaliknya, UMNO menganggapnya bukan satu kelemahan tetapi satu kekuatan. Landasan perjuangan UMNO yang kita warisi jauh lebih besar, lebih merangkumi, lebih bererti, bermartabat dan lebih sucu dari sekadar menegakkan suatu ideologi ciptaan manusia. Tanpa ikatan ideologi yang sempit, UMNO dapat berkembang dengan lebih dinamik sesuai dengan kedinamikkan masyarakatnya.

28: Sesungguhnya, kesempitan dalam memahami wadah perjuangan UMNO inilah juga yang telah melahirkan kekeliruan tentang asas perjuangan UMNO. Ada golongan yang cuba secara sedar atau tidak, mengeksploit dan menimbulkan kekeliruan bahawa perjuangan kebangsaan Melayu ini terlalu terhad, terlalu sempit dan akan menjerumuskan kita kepada fahaman asabiah yang boleh menzalimi golongan lain. Tentunya ini akan bercanggah dengan nilai Agama suci kita yang sejagat, yang tidak mengira bangsa atau asal keturunan. Dan seterusnya tidakkah ini bererti pengadaian Agama atas nama kepentingan kebangsaan?
.
29: Kepada golongan ini, izinkan saya menegaskan bahawa semangat kebangsaan Melayu adalah suatu yang unik, sesuai dengan keunikan keperibadian dan sejarah umat Melayu. Semangat kebangsaan Melayu, sekali-kali tidak boleh disamakan dengan fahaman nasionalisme di Barat yang sekular dan terpisah dari landasan keagamaan mereka. Tetapi semangat kebangsaan Melayu semangat yang kita warisi ini adalah berbeza. Semangat kebangsaan kita tidak pernah sekali-kali terpisah apatah lagi terputus dari landasan keagamaan kita yang suci. Bahkan perjuangan kebangsaan Melayu adalah satu panduan yang total- antara kebudayaan dan agamanya.

30: Islam adalah landasan utama yang menjadi wadah pemupukan semangat kebangsaan kita. Manifestasi dari peng”integrasian” Islam dalam semangat Kebangsaan ini terpancar dalam bentuknya yang amat unggul, dan kita abadikan dalam perlembagaan kita. Kita bukan saja menjadikan Islam sebagai agama rasmi, tetapi kita telah mentakrifkan diri kita, mentakrifkan istilah Melayu itu sendiri dalam rangka Islam. Atas landasan Islam, kita telah mengkorbankan segala prasangka dan sanggup menerima siapa saja dari yang berkulit hitam kepada yang berkulit putih menjadi ahli dalam satu kesatuan umat Melayu menjadi ahli keluarga kita.

31: Tentunya ini merupakan “pendakwahan” yang amat tinggi dan berhikmah. Namun demikian, sebagai satu bangsa yang beradap, kita masih memelihara personaliti kita yang unik, lambang dari kekayaan khazanah ciptaan Illahi yang mengakui kewujudan makhluknya sebagai manusia yang berbangsa-bangsa. Dalam rangka ini, saya ingin menegaskan bahawa Pemuda UMNO sekali-kali tidak menizinkan Islam yang menjadi sumber landasan perjuangan, sumber kekuatan tikad kita untuk berkembang dan maju, diekspolit dan disalah tafsir hingga menjadi sumber kebingungan dan kekeliruan, menjadi sumber perpecahan dan kelemahan.

32: Pemuda UMNO sekali-kali tidak akan mengizinkan Islam dijadikan alat untuk menumpaskan tikad perjuangan bangsa dan menumpaskan semangat kecintaan dan patriotisma. Haruslah diingat bahawa sifat hikmah dan kebijaksanaan dalam perjuangan memerlukan keupayaan menentukan priority kita. Kecintaan untuk membela nasib bangsa sendiri adalah asas kepada kecintaan membela nasib manusia sejagat itu sendiri.

Saudara-saudara yang dihormati sekalian,
33: Saya ingin menegaskan disini bahawa usaha-usaha untuk mengelirukan dan menumpaskan tikad perjuangan bangsa Melayu itu lebih ketara datangnya dari luar masyarakat kita sendiri. Namun demikian, melalui kebolehan artikulasi dan berhujjah, mereka boleh memperangkap pemikiran kita hingga kita boleh terjerumus dan melupakan wadah perjuangan kita yang telah diteroka dan dimantapkan oleh bapa-bapa pejuang kita dahulu. Pelopor-pelopor perjuangan bangsa Melayu itu tidak pernah melupakan hakikat bahawa di tanah Melayu khasnya dan di Malaysia amnya, umat Melayu bukanlah sekadar satu kaum atau sekadar satu komponen dari kepelbagaian kaum dan komponen masyarakat Malaysia.

34: Pejuang-pejuang kita yang awal seperti Dato’Onn dan Dr.Burhanuddin amat peka dengan hakikat bahawa di negara kita, di bumi alam Melayu ini, hanya Melayu sahaja yang merupakan satu masyarakat kebangsaan yang lengkap, dari peringkat Raja membawalah kepada rakyat jelata dan meliputi segala kepelbagaian puak-puak Melayu. Melayu sekali-kali bukan sekadar satu masyarakat serpihan yang terpelanting dari masyarakat induknya di negeri-negeri asal mereka. Kerana itulah Allahyarham Pendita Za’ba (Pengerusi Jawatankuasa Penubuhan UMNO) telah menambahkan perkataan “Kebangsaan” atau National sebagai rujukan kepada pertubuhan yang pada mula hanya dikenali sebagai U.M.U iaitu “United Malays Organization” UMNO bererti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan bukan satu Persatuan atau satu Kongres seperti parti-parti lain. Sifat kebangsaan atau keindukan masyarakat Melayu ini tidak pernah dilupakan oleh pejuang-pejuang bangsa kita yang lampau. Mereka sedar dan yakin bahawa sifat kebangsaan Melayu inilah yang dapat dijadikan framework nasional dalam pembentukan masyarakat kebangsaan Malaysia.

35: Kongres kebudayaan kita yang pertama telah mengungkapkan dengan jelas prinsip-pringsip utama dalam pembinaan keperibadian kita sebagai bangsa yang merdeka, iaitu prinsip tradisi Melayu sebagai wadah dan Islam sebagai faktor penentu yang utama. Kita terhutang budi kepada mereka kerana mewarisi lunas-lunas perjuangan kita yang keramat ini.

Saudara-saudara sekalian,
36: Pada hemat saya, iktibar yang jelas dari penggaluran di atas ialah hakikat bahawa di Malaysia, tradisi kedudukan masyarakat Melayu sebagai masyarakat induk, masyarakat ibu atau masyarakat teras tidak pernah terputus. Maka adalah tanggungjawab kita sebagai pewaris perjuangan bangsa memastikan bahawa kesinambungan tradisi ini tidak diganggu gugat. Lebih dari itu, kita wajib memastikan bahawa kedudukan kita sebagai masyarakat induk atau masyarakat teras ini akan diterjemahkan bukan saja dalam bidang politik tetapi dalam bidang sosial dan ekonomi. Pemuda UMNO bukan memperjuangkan kedudukan “dominance” yang palsu, tetapi menuntut haknya yang sah, sebagai masyarakat ibu di bumi kelahirannya sendiri.

37: Saya percaya, tuntutan Pemuda UMNO ini bukanlah suatu tuntutan politik yang bersifat melampau atau cauvanist, sebaliknya satu penyataan sejarah dan kebenaran mutlak. Tidak ada golongan atau pihak di negara ini yang memahami kebenaran sejarah akan cuba mempertikaikan tuntutan pemuda ini. Sebaliknya, mereka akan menawarkan sumbangan yang positif dan rasional demi kepentingan cita-cita nasional bersama. Tanda-tanda kearah kerjasama dan kesefahaman ini telah ditunjuk oleh sekumpulan individu di dalam MCA sendiri, dengan inisiatif mereka memperkenalkan tarian-tarian Cina yang membawa unsur-unsur dan nilai serta identiti keMalaysiaan. Pergerakan Pemuda UMNO mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha-usaha ini dan berharap semangat keMalaysiaan tulin akan terus berkembang dikalangan rakyat kita.

Saudara-saudara,
38: Perjuangan ke arah pemantapan masyarakat national perlu juga diterjemahkan dalam bidang ekonomi negara di mana bangsa Melayu masih tertinggal akibata kesan dasar penjajah selama lebih 100 tahun. Walaupun dasar Ekonomi Baru sudah berjalan selama 18 tahun, tetapi tempoh ini belum lagi mencukupi untuk menjelaskan Timbunan Hutang Negara kepada Bangsa Melayu atau “The National Accumulated Dept to the Malays”

39: Justeru itu dalam merangka gagasan Dasar Baru selepas 1990, pemuda ingin menyuarakan bahawa semangat inti dan prinsip yang terkandung dalam DEB itu diteruskan bagi membolehkan Bangsa Melayu menuntut haknya yang telah dinafikan oleh penjajah dahulu. Pendekatan mungkin berbeza, keutamaan boleh dipersesuaikan selepas 1990, tetapi prinsip pokok bahawa orang Melayu berhak mendapat bahagiannya yang adil sejajar dengan kedudukannya sebagai masyarakat pribumi dan masyarakat teras kebangsaan tidak boleh diketepikan dan hendaklah terus diperjuangkan.

40:Pemuda ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada kerajaan kerana telah berjaya memulihkan ekonomi negara dari kadar pertumbuhan (-1.0%) pada tahun 1985 kepada 4.7% pada tahun ini. Kejayaan ini adalah satu penapian terhadap segala kritik yang telah dilemparkan terhadap pucuk pimpinan hari ini yang didakwa bertanggungjawab memudharatkan ekonomi negara. Yang anehnya, pada masa ekonomi negara meleset YAB Dato’ Sri Dr.Mahathir dikatakan bersalah tetapi bila ekonomi berkembang dan mendapat pujian masyarakat antarabangsa, tiada sebarang pengiktirafan daripada pengkritik-pengkritik yang sama. Malah di sebaliknya, ada yang membuat kenyataan di Hong Kong yang tidak berasas yang bertujuan untuk menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara.

41: Langkah memulihkan ekonomi negara telah dilaksanakan dengan mengambil beberapa tindakan seperti mengurangkan Defeisit Kewangan Kerajaan, mengendurkan syarat - syarat untuk pelabur-pelabur asing, mengurangkan kadar faedah bank, menaikkan had equiti di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian kepada RM2.5m dan lain-lain usaha telah mendorongkan proses pemulihan ekonomi negara sehingga Malaysia boleh memandang ke hadapan dengan perasaan keyakinan yang lebih kental bahawa ekonomi negara sudah berada di atas landasan yang lebih kukuh.

42: Dalam mengakui kejayaan yang telah dicapai, masih ada beberapa masalah ekonomi yang menunggu penyelesaian. Pengangguran dikalangan generasi muda memerlukan tindakan untuk mengurangkan tekanannya termasuk masalah pengganguran dikalangan siswazah dan pemegang diploma. Program-program-program tambahan untuk memberi pengalaman dan kemahiran kerja perlu diperhebatkan supaya mereka boleh menyesuaikan diri bagi memenuhi permintaan pasaran.

43: Pemuda amat insaf dan peka terhadap masalah kemiskinan yang masih wujud terutama di kawasan luar bandar. Mengikut bancian kerajaan, masih terdapat 215,570 isi rumah yang bependapatan kurang dari RM175.00 sebulan pada tahun 1984, iaitu separuh daripada pendapatan kurang daripada RM350.00 sebulan sekeluarga, iaitu taraf paras kemiskinan. Mereka ini tidak dapat menampung keperluan asas dari segi makanan, pakaiaan dan tempat tinggal.

44: Di atas hakikat ini, maka Pemuda mendesak supaya masalah kemiskinan akan terus mendapat pembelaan dalam kajian semula DEB. Pemuda juga ingin mengingatkan pihak yang cuba menggemparkan perihal kedhaifan Kampung Baru Cina, bahawa jangan menggembar-gemburkan isu ini tanpa mengambilkira siapa dia yang benar-benar masih miskin dalam negara ini. Pemuda tidak menentang peruntukan untuk Kampung Baru Cina tetapi biarlah diberikan mengikut perbandingan kampung-kampung tradisional yang lebih ketara masalah kemiskinannya.

45: Terdapat beberapa kekurangan, terutama di dalam segi pencapaian ekuiti badan-badan korporat. Tetapi Pemuda lebih mengambil berat terhadap kekurangan di dalam pencapaian ke atas sasaran penyusunan semula pekerjaan. Pemuda berharap masalah ini mestilah diambil perhatian dan dibawa ke pertimbangan di dalam membuat formula bagi Dasar Ekonomi selepas 1990.

46: Pemuda dapat menerima langkah-langkah bagi menjamin supaya bentuk pekerjaan selaras dengan pengangihan kaum bagi keseluruhan rakyat. Pada hemat Pemuda, ini adalah langkah yang adil.
Bagaimana pun didalam beberapa sektor terutama bidang-bidang profesional dan pengurus-pengurus tinggi, golongan bumiputra pada masa ini adalah jauh berkurangan daripada sasaran, umpamanya bagi golongan Akitek, kaum Bumiputra bagi tahun 1987, merupakan 19.6% daripada kumpulan ini, 8.5% bagi Akauntan, 21.3% bagi Doktor dan 28.3% bagi kumpulan Jurutera. Walaupun peningkatan telah dicapai sejak DEB dilaksanakan, namun proses penyusunan semula tenaga mahir perlu diteruskan dalam tempoh selepas 1990.

47: Justeru itu, Pemuda mendesak supaya segala usaha yang dibuat mestilah membaiki keadaan yang tidak seimbang ini. Dasar ekonomi selepas 1990 perlulah diambilkira tuntutan ini sebagai faktor yang amat mustahak dan penting diselesaikan. Pusat-pusat pengajian tinggi mestilah menyusun program mereka dengan cara yang lebih berkesan dengan mengambil lebih ramai pelajar-pelajar bumiputra di dalam bidang-bidang keprofesionalan. Sekiranya ini tidak dapat dilakukan, Pemuda bimbang golongan profesional bumiputra tidak akan dapat bersaing dengan kejayaan kaum yang lain di dalam bidang profesional dan juga gunatenaga terlatih.

48: Perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO hari ini juga sentiasa disesuaikan dengan perjuangan bangsa kita dahulu lagi di atas perkara-perkara yang mencerminkan kedaulatan bangsa kita, seperti dalam perkara mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan kita, yang dapat berfungsi dalam semua bidang kegunaan. Setelah berlangsungnya Kongres Bahasa Melayu ke-2 di Johor Baru dalam tahun 1956 dan menjadi pencentus kelahiran Dewan Bahasa dan Perpustakaan, kita melihat kemajuan pengembangan dan kegunaan Bahasa Malaysia berjalan dalam proses pembangunan yang menyakinkan, tetapi masih perli dipergiatkan lagi.

49: Dalam hubungan ini, Pergerakan Pemuda UMNO sedang memberi perhatian yang serius ke atas pengunaan Bahasa Malaysia di makamah-makamah dan juga di bidang-bidang profesional yang lain.Pada hemat Pemuda, masanya telah tiba bagi Bahasa malaysia digunakan dengan sepenuh-sepenuhnya. Objektif ini mestilah dikuatkuasakan oleh Kerajaan dengan mengukuhkan lagi Akta Bahasa Kebangsaan. Selaras dengan desakan ini, Pemuda juga ingin merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 152(4), dan 152(5) yang membenarkan pengunaan Bahasa Inggeris, dikaji dan disemak semula dan dipinda bagi membuka jalan kepada pengunaan Bahasa Malaysia di makamah. Kita tidak lagi boleh berselindung di sebalik peruntukan perlembagaan ini kerana kita percaya selagi peruntukan yang memihak kepada Bahasa Inggeris diguna dimakamah, maka selagi itulah proses pengunaan Bahasa Malaysia atau bahasa Kebangsaan di dalam profesion perundangan kita akan terus tergendala.

Saudara-saudara sekalian,
50: Tidak syak lagi masyarakat generasi baru yang terwakil didalam angkatan Pergerakan Pemuda UMNO, hari ini sedang memikul tanggungjawab serta amanat yang sudah dilepaskan oleh generasi tua kita. Proses “passing the torch” atau penyerahan amanat daripada generasi tua kepada generasi muda sedang berjalan dengan amat abstrak tetapi objektifnya adalah nyata kepada kita. Didalam proses ini, Pergerakan Pemuda UMNO seharusnya menjadi amat responsif, sesuai dengan azam dan cita-cita murni kita untuk memantapkan kewujudan masyarakat kebangsaan yang berindukkan Melayu itu.

51: Suka saya tegaskan, bagi Pergerakan Pemuda UMNO, yang mempunyai idelaisme ini, menyambut amanat murni bangsa tidaklah memadai hanya dengan bermodalkan lidah dan semangat semata-mata. Kita haruslah bersikap realistik dengan perkembangan semasa yang sudah jauh berubah dan mencabar ini. Sekiranya kita benar-benar jujur kepada idealisme kita sebagai barisan pemuda yang menjadi pewari tanggungjawab negara dan bangsa ini, maka segala bentuk persediaan, kajian, kelengkapan, peralatan dan disiplin, mestilah ada pada diri kita, menjadikan kita kumpulan pemuda yang benar-benar waja dan kebal didalam merempuh arus dan cabaran zaman.

52: Sehubungan dengan ini, saya ingin menekankan betapa pentingnya Pergerakan Pemuda mengarah kepada cita-cita membina kecemerlangan atau peka dengan “quest for excellence” dalam semua lapangan yang telah saya tegaskan tadi sebagai ciri-ciri yang memantapkan masyarakat kebangsaan itu.

53: Mengisi cita-cita memburu kecemerlangan di dalam Pergerakan Pemuda bermakna, setiap lapisan Pergerakan Pemuda, iaitu diri kita masing-masing, telah siap sedia menghadapi cabaran-cabaran untuk menjadi Melayu yang dinamik, Melayu yang mempunyai pemikiran yang positif dan kreatif, tekun dan tidak mengaku kalah dalam mengharungi sesuatu bidang kerja. “Quest for excellence” bagi Pemuda bermakna kita mempunyai kesedaran yang tinggi dan serius dengan perkembangan dunia.

54: Pengarang Alvin Tofler sudahpun mengenal pasti perubahan masyarakat dunia dengan menyebut bentuk-bentuk perubahan itu sebagai gelombang ketiga ataupun “The Third Wave”, iaitu satu zaman silicon chip, zaman komputer atau zaman manusia berfikir sesuatu yang tidak terfikirkan atau “to think the unthinkable”.

55: Hasrat Pergerakan Pemuda ailah untuk membentuk satu generasi Melayu baru yang kuat, dinamik, yang membawa pengertian tidak mudah mengaku kalah. Generasi baru yang mempunyai pemikiran positif, ertinya tidak melihat masalah sebagai bebanan tetapi sebagai peluang atau “opportunity”. Berdisiplin, dalam ertikata, mampu mengurus diri sendiri sendiri dengan cekap dan mampu mengawal perasaan diri. Kreatif dalam ertikata melihat kemungkinan-kemungkinan yang terbuka bagi mengatasi sesuatu keadaan. Berfikiran tinggi, berhimah, berilmu yang bererti berani berfikir sehingga menjangkau ke puncak kejayaan.

56: Semua ini dapat kita wujudkan melalui budaya kerja, atau dengan menanamkan sifat mencintai kerja yang menjadi tanggugjawab kita. Dengan ethika kerja ini bermakna kita mempunyai sifat kerajinan tidak menangguh kerja, tidak curi tulang di samping mempunyai semangat memburu “quality” pengurusan atau mutu kerja yang tinggi. Pendek kata, Pemuda UMNO hari ini harus merupakan barisan yang mencerminkan ciri-ciri masyarakat Melayu yang dinamik dan berdaya maju.

Saudara-saudara sekalian,
57: Ciri-ciri positif ini adalah intipati kepada vision atau wawasan YAB Perdana Menteri kita sendiri. YAB Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamad, yang telah menekankan di dalam kursus-kursus Waja I, II, dan III yang telah kita anjurkan di Kem Bina Semangat, Port Dickson, sedikit masa dahulu. Pemuda mestilah menyematkan vision ini di hati sanubari mereka kerana ia akan membantu Pergerakan kita memahami tuntutan sebenar jangka panjang perjuangan bangsa kita. Ini akan membolehkan kita memahami, misalnya, mengapa bangsa Malaysia membuat kereta sendiri, memahami mengapa Melayu dicabar untuk menjadi angkasawan dengan mengelilingi dunia atau menjelajah sehingga ke Antartika. Semua ini adalah cetusan pemikiran pucuk pimpinan kita untuk membina sebuah bangsa Melayu yang bermaruah, mulia dan disegani oleh dunia antarabangsa.

58: Sekiranya kita gagal menggilap nilai-nilai murni dan ideal ini ke dalam diri kita atau ke dalam pergerakan kita, maka segala impian kita menjadi pewaris bangsa yang dinamik, berdisplin dan progresif, yang boleh diharapkan, tidak akan tercapai. Sebaliknya, kegagalan ini hanya akan menghantar kembali kebesaran bangsa kita hari ini ke satu tempat yang penuh dengan kekecewaan, kembali menjadi masyarakat yang terjajah dari segi fikiran, terkurung di dalam kegelapan dan kehinaan.

59: Keputusan Kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai Semangat 46 menolak rundingan yang ditawarkan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO, sesungguhnya mengharukan pergerakan Pemuda, yang sentiasa berharap kita kembali ke akar perpaduan, demi masa depan negara dan orang Melayu. Sesungguhnya, pada hemat Pergerakan Pemuda UMNO, keputusan itu bukan sahaja melebarkan lagi jurang perpisahan di kalangan orang-orang Melayu yang dulunya bahu membahu, berganding kata membelah laut perjuangan tetapi jelas membawa tanda kita sudah sedia untuk berkerat rotan berpatah arang. Pergerakan Pemuda UMNO sekali-kali tidak meretui dan tidak rela nasib masa depan orang Melayu akan binasa disebabkan ada pihak yang sudah dikuasai oleh politik nafsu nafsi yang melampau batasan.

60: Pergerakan Pemuda UMNO berharap, kumpulan tersebut jangan mempertikaikan keiklasan Majlis Kerja Tertinggi, khususnya keikhlasan YAB. Datuk Seri Dr. Mahathir dan Encik Ghafar, dalam melamar pihak tersebut ke meja perundingan. Pada hemat Pemuda, adalah bijak bagi semua pihak yang terlibat, duduk berbincang dulu, tanpa sebarang syarat dan jangan memikir terlalu negatif terhadap hasil perbincangan tersebut. Suka Pemuda tegaskan, kalau pun di dalam rundingan itu tidak memungkinkan penyelesaian sepenuhnya, tetapi ia mungkin membantu mengendurkan suasana yang tegang hari ini, dan yang paling penting ialah supaya kita semua menyedari hakikat mengekalkan kuasa politik di tangan orang Melayu dan jangan sekali-kali terlepas ke tangan pihak lain.

Saudara-saudara sekalian,
61: Maruah dan keutuhan bangsa kita akan terpelihara hanya dengan terdapat kesedaran dan keinsafan bahawa kita adalah satu dari segi tekad dan perjuangan. Selagi kita berpegang kepada ini, tidak ada kuasa dalam dunia yang dapat menggoncangkan kita. Kita akan menjadi satu benteng yang kuat menghadapi sebarang tekanan atau serangan daripada musuh-musuh. Dalam hubungan ini, Pergerakan Pemuda mengalu-alaukan dan menyanjungi tinggi pelawaan oleh YAB Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO kepada semua orang-orang Melayu, termasuk Kumpulan 11 dan pendokong-pendokong mereka, untuk menyertai UMNO yang ada sekarang. Pelawaan ini lahir dari hasrat yang murni untuk melihat perpaduan di kalangan orang-orang Melayu yang kebelakangan ini dirundung oleh unsur-unsur perpecahan, dengan segala implikasinya keatas nasib dan masa hadapan mereka.

62: Pergerakan Pemuda ingin menyeru kepada seluruh orang Melayu, supaya menyambut baik pelawaan ini, dan kepada mereka yang masih ragu-ragu, janganlah menganggap pelawaan ini sebagai jerat politik yang bertujuan memerangkapkan sesiapa; kerana kita lebih berfikir dari sudut perpaduan yang kekal. Jika mereka ini ikhlas terhadap perjuangan bangsa, tentulah telah merasa amat lega dan menyahut secara positif terhadap pelawaan itu. Tidak sebaliknya menunggu yang mati dihidupkan semula, sehingga berdolak-dalik atau melambat-lambatkan proses mengembalikan perpaduan yang sedang dinanti-nantikan oleh setiap lapisan orang Melayu.

63: Kepada elemen-elemen tertentu dalam kumpulan yang menentang kita, Pemuda ingin menggigatkan mereka supaya jangat terlalu berjinak-jinak dengan DAP- saudara kembar Parti PAP Singapura yang pernah memperjuangkan konsep Malaysian-Malaysia yang menafikan kewujudan hak bangsa peribumi. Dan DAPlah parti yang pernah dikutuk oleh kumpulan Semangat 46 sewaktu berada di dalam UMNO. Adakah mereka sudah berubah warna dan pendirian sehingga sanggup tidur sekelambu dengan parti yang mempersoalkan seluruh asas pembinaan negara ini dan orang Melayu sebagai bangsa induk. Dalam keghairahan mereka ini untuk berkuasa, mereka sedia mengenepikan perjuangan asal yang telah menyuburkan hidup bangsa kita dan membuka jalan kepada perkembangan satu corak politik yang merupakan antithesis kepada tradisi politik kita selama ini.

64: Sedarkah mereka ini jika mereka berjaya menubuhkan kerajaan sekali pun, mereka sebenarnya tidak berkuasa. Yang akan berkuasa ialah “Kamcing-kamcing” mereka dari parti DAP tadi yang telah membantu dari belakang dengan tujuan-tujuan atau muslihat yang tertentu. Perkembangan ini akan merobah sama sekali equation politik negara dimana buat pertama kalinya kedudukan orang-orang Melayu sebagai teras negara ini akan terhapus mustahil dapat ditegakkan semula. Di kala itu, kita semua akan menitis air mata. Memandang kemungkinan ini, Pemuda UMNO menolak sama sekali sistem dua parti yang telah disarankan oleh seorang tokoh parti tertentu yang kini mendapat simpati elemen-elemen yang telah terpedaya dengan gagasan-gagasan Pembangkang.

65: Jika mereka yang menentang kita sudah hampir terperangkap dengan equation politik yang baru itu, Pergerakan Pemuda ingin memberitahu mereka, masa belum terlewat bagi mereka untuk pulang ke pangkal jalan. Janganlah kerana ingin memenuhi cita-cita peribadi atau kumpulan untuk berkuasa, kita lupa asas-asas politik yang telah memberi makna dan sumbangan yang tidak ternilai kepada tamadun bangsa. Janganlah kerana ghairah untuk menumbangkan UMNO dan kerajaan, kuasa tercampak ketangan orang lain. Seperti kata seorang negarawan asing, “Sesiapa yang menunggang belakang harimau akan berakhir didalam perutnya”.

66: Kepada Pemuda-pemuda sebagai pendokong cita-cita rakyat dan pewaris perjuangan bangsa, saya ingin bertanya adakah saudara-saudara akan berputih mata melihat malapetaka ini berlaku di hadapan saudara-saudara? Daripada berputih mata, kami dalam Pergerakan Pemuda akan berputih tulang, kerana tidak rela bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung ini dicerobohi oleh sebarang pihak yang mempuyai cita-cita dan aspirasi di luar landasan dan pengenalan politik kita.

67: Kemenengan kita di Parit Raja jelas menidak dan menafikan kewajaran politik berkongsi kuasa dengan mereka yang cuba menghancurkan politik bangsa kita. Inilah kenyataan bahawa konsep perpaduan seluruh bangsa Melayu di bawah panji-panji UMNO yang diperjuangkan oleh kita sudah diterima oleh rakyat. Serentak dengan kejayaan kita dalam pilihanraya itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh ahli-ahli Pemuda yang telah menyising lengan dan membanting tulang untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional walaupun terpaksa tidur bergelimpang di balai raya, sanggup menahan lapar dan setengahnya pula uniform putih mereka menjadi kelabu.

68: Jika dengan semangat yang ditunjukkan oleh Pemuda, saya yakin pemuda hari ini merupakan satu “forse yang tidak boleh disangkal lagi dan tetap berada dibarisan hadapan bagi menyahut panggilan parti dan sebagai perisai dan pelopor dalam perjuangan memantapkan pembentukan masyarakat kebangsaan.