Ahad, 6 September 2009

Arkib 07 September 2002 U.Malaysia




Apa kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib minta semua ahli UMNO akur syarat pemilihan jawatan

KUALA PAHANG 7 Sept. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua ahli UMNO di setiap peringkat termasuk Puteri UMNO akur dengan syarat-syarat pemilihan jawatan yang ditetapkan oleh parti itu.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub mengenai perkara itu kelmarin adalah satu nasihat yang baik dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Penyelaras Peti Undi Kuala Pahang dan Kampung Marhum di sini hari ini.

Najib mengulas gesaan Megat Junid kelmarin yang meminta Ketua Penaja Puteri, Azalina Othman Said menghentikan segera perjumpaan dengan para pemimpin parti bagi mengelak sebarang tuduhan atau tersingkir daripada persaingan pemilihan jika didapati menyalahi tataetika.

Susulan itu, Utusan hari ini melaporkan, bekas Ketua Penerangan Penaja Puteri, Mastina Abdul Hamid akan membuat laporan kepada Lembaga Disiplin terhadap Azalina yang didakwa melanggar peraturan pemilihan UMNO.

Beliau dilaporkan berkata, program kunjungan mesra yang dianjurkan Azalina itu bercanggah dengan Perkara 4.2 Tataetika pemilihan.

Menurut Najib lagi, UMNO mempunyai saluran untuk membuat aduan dan ini seharusnya digunakan oleh semua ahli.

Sementara itu di Kuantan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Khalil Yaakob berkata Jawatankuasa Penaja Puteri UMNO dinasihatkan menangguhkan program lawatan berjumpa pemimpin parti di seluruh negara sehingga proses pemilihan parti itu selesai.

``Sungguhpun program berkenaan sudah dirancang sejak sekian lama, namun pada ketika ini adalah lebih sesuai ia tidak diadakan,'' katanya di sini hari ini.

Azalina, 38, dan ahli jawatankuasa penajanya minggu ini membuat kunjungan ke atas Naib-Naib Presiden UMNO iaitu Najib, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khalil berkata, beliau akan berjumpa sendiri dengan Azalina selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk memberikan nasihat.

Ditanya sama ada tindakan jawatankuasa itu melanggar peraturan, beliau berkata, ia perlu dirujuk dahulu kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk dinilai.

Kejayaan Malaysia bina imej Islam

Oleh:ISMAIL DAUD
PULAU PANGKOR 7 Sept. - Kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana, dinamik dan bergerak maju seiring dengan perkembangan dunia amat penting dalam membantu memberikan imej sebenar agama tersebut kepada masyarakat dunia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada ketika ini isu tentang Islam sedang diperdebatkan di serata dunia, mengakibatkan pandangan dunia terhadap Islam terpecah kepada dua iaitu satu pihak melihat Islam sebagai musuh dan satu lagi sebaliknya.

Menurutnya, keadaan itu yang diburukkan dengan emosi telah mewujudkan kumpulan-kumpulan ekstremis dan seterusnya menjurus kepada berlakunya keganasan sehingga mengakibatkan imej baik dan sederhana dalam Islam tercemar.

Katanya, Malaysia turut berdepan dengan kumpulan ekstremis seperti itu tetapi kerajaan bertindak tegas dan tidak bertolak ansur dengan kumpulan yang cuba menggunakan Islam untuk mencapai cita-cita mereka termasuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

``Kita percaya bahawa tiada pertentangan antara orang Islam dengan pemodenan, malah orang Islam sentiasa digalakkan mencapai kecemerlangan, kemakmuran ekonomi, menambah pengetahuan dan memiliki teknologi.

``Saya juga mahu membuangkan segala rasa bimbang terhadap pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam,'' katanya dalam ucaptamanya bertajuk `Malaysia: Membina Negara Berbilang Kaum yang Moden dan Stabil' di Forum Kepimpinan Global Asia di Pangkor Laut Resort di sini hari ini.

Najib berkata, sebarang usaha menangani ekstremis dalam Islam perlu dilakukan dengan pendekatan intelektual supaya imej Islam tidak tercemar kerana imej yang rosak memerlukan masa yang panjang untuk diperbaiki.

Selain memberikan gambaran sebenar tentang Islam kepada dunia, beliau berkata, kejayaan membangunkan Islam tanpa mengganggu gugat kebebasan mengamalkan agama yang lain adalah teras kepada kestabilan dan harmoni dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Katanya, kejayaan itu kini menjadi tambahan kepada lima prinsip asas yang digunakan oleh pemimpin negara sejak sekian lama bagi mencapai kemajuan negara dalam negara yang berbilang kaum ini.

Selain itu, Najib berkata, satu lagi faktor kestabilan negara ini ialah kebijaksanaan pemimpin-pemimpinnya dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga ke zaman Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam menentukan hala tuju negara.

``Malaysia amat bertuah kerana mempunyai pemimpin yang cemerlang tepat pada masanya,'' katanya.
Katanya, kejayaan paling cemerlang tentunya di zaman Dr. Mahathir yang telah berjaya memecahkan segala halangan mental rakyat Malaysia kepada membina keyakinan untuk mencapai apa sahaja.

Kejayaan cemerlang Dr. Mahathir itu katanya, akan menyediakan asas kepada penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi meneruskan lagi kemakmuran dan kemajuan negara.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menggariskan lima prinsip asas yang menjadikan faktor kepada kejayaan membangunkan negara ini dengan pembahagian kekayaan negara yang adil sebagai faktor utama.

Katanya, asas yang digunakan ialah dengan memastikan kek ekonomi terus berkembang dan kekayaan dimiliki secara bersama oleh semua rakyat, bukan kumpulan kecil sahaja.

Kedua, menurut beliau, ialah penekanan kepada pendidikan supaya seiring dengan pembangunan negara dan ini jelas dapat dilihat dengan peruntukan besar yang disediakan untuk pendidikan dalam setiap kali belanjawan dibentangkan.

``Ketiga ialah dengan menekankan aspek kesederhanaan dan menolak pelampau dengan menjadikan peristiwa berdarah 13 Mei sebagai ingatan kepada seluruh rakyat,'' ujarnya.
Najib menambah, dua asas terakhir ialah mengamalkan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum dan formula politik yang dinamik.

Apa kata Awang Selamat

PELAMPAU CINA, SEDARLAH

BAHASA apa lagi yang hendak digunakan supaya pelampau Cina dan penyokong-penyokong mereka faham bahawa Malaysia bukan China, bukan Taiwan.
Oleh kerana masih ada yang bermati-matian hendak mempertahankan apa yang mereka sifatkan sebagai ciri-ciri kecinaan, Perdana Menteri sendiri terpaksa mengingatkan bahawa sekolah Cina di Malaysia tidak boleh dan tidak akan sama dengan sekolah Cina di Tanah Besar China.
Awang mendapat tahu Perdana Menteri menegaskan demikian kerana ada pihak yang mewakili masyarakat Cina meminta supaya sekolah jenis kebangsaan Cina dikecualikan daripada mengguna bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik.
Besarnya kepala mereka!
Kepada puak tersebut, Awang ingin bertanya, bagaimana jika sekolah kebangsaan dan sekolah Tamil juga minta dikecualikan?
Persoalan lebih besar, apa akan jadi jika sekolah Cina enggan melaksanakan dasar kerajaan itu atau melaksanakannya secara acuh tak acuh? Dasar sebaik mana pun jika tidak dilaksanakan sepenuh hati, tidak akan mencapai kejayaan.
Dalam hal ini Awang ingin mengucapkan syabas kepada NUTP di atas daya usahanya membuat satu tinjauan di kalangan murid dan guru sekolah serta guru besar dan ibu bapa tentang penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik.
Hasilnya mengukuhkan kepercayaan Awang selama ini bahawa yang menentang dan menimbulkan masalah cuma segelintir pelampau kaum, bukan pelajar dan bukan ibu bapa.
Tinjauan NUTP itu menunjukkan bahawa majoriti pelajar menyokong penggunaan bahasa Inggeris, diikuti oleh ibu bapa dan guru. Bagaimanapun majoriti guru besar tidak menyokong. Ini membimbangkan kerana merekalah yang akan melaksanakannya.
Awang khuatir jika pihak pelaksana, terutama sekali di sekolah Cina, enggan melaksanakan dasar kerajaan itu dengan sepenuh hati, kita akan menghadapi satu masalah lain pula yang mungkin lebih besar dan lebih rumit.
Inilah masalahnya bila masih ada di kalangan rakyat Malaysia, setelah 45 tahun merdeka, masih enggan menerima hakikat bahawa Malaysia bukan China, Malaysia bukan Taiwan.
Puak pelampau Cina hendaklah sedar bahawa jika mereka terus mengambil sikap itu, orang Melayu akan mengambil sikap yang lebih keras daripada mereka. Apa kesudahannya?
Baru-baru ini Awang bertemu seorang rakyat Indonesia keturunan Cina. Namanya tidak lagi nama Cina. Dia membahasakan dirinya Ibu Rini, menyanyi lagu tempatan dan bertutur bahasa Indonesia dengan fasih.
Pun begitu, kecinaannya terpancar pada wajahnya. Kita serta merta tahu dia bukan Jawa, bukan Batak, tetapi Cina. Pemikirannya terbuka, ciri kecinaan bukan perkara pokok baginya.
Kenapa Cina Malaysia tidak boleh jadi sepertinya?

BILA NEGARA MISKIN

PRESIDEN Filipina, Gloria Arroyo Macapagal menghantar sepucuk surat yang keras nadanya kepada Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, berhubung dakwaan kononnya seorang gadis 13 tahun rakyat negara itu dirogol oleh seorang anggota polis Malaysia di sebuah kem tahanan pendatang tanpa izin.
Marahnya mereka hingga ada yang hendak membawa perkara ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ada yang mahu Manila menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah dan memanggil pulang duta mereka di Kuala Lumpur.
Ada yang membakar Jalur Gemilang manakala media Filipina meniupkan api kemarahan terhadap Malaysia dengan laporan karut.
Merogol, tidak kira dilakukan ke atas siapa, adalah satu perbuatan kejam yang tidak boleh dilindungi. Malaysia sudah pun memberi jaminan akan menyiasat perkara ini. Filipina tidak perlu melatah berlebihan.
Jika kerana satu dakwaan yang belum tentu kebenarannya sudah mahu merosakkan hubungan, rosakkanlah. Awang yakin kita tidak akan mati kelaparan tanpa Filipina.
Apa yang Arroyo dan rakyat Filipina nampak hanyalah beberapa kejadian menyedihkan yang berlaku semasa pendatang tanpa izin dari negara mereka dalam perjalanan pulang. Mereka tidak pernah ambil peduli perbuatan-perbuatan jahat rakyat mereka semasa mencari makan di Malaysia. Begitu juga Indonesia.
Kebanyakan jenayah berat di Sabah dilakukan oleh rakyat Filipina. Mereka menggunakan senjata api, merompak dan membunuh. Di Lembah Klang, sudah berapa banyak kejadian rogol, samun, rompak dan bunuh dilakukan oleh orang Indonesia, tanpa belas kasihan. Mereka membunuh dan mencederakan mangsa walaupun dia tidak melawan.
Kerana keganasan mereka, penduduk Lembah Klang hidup dalam ketakutan. Arroyo dan Ibu Megawati sedarkah?
Ingatkah Arroyo dan Megawati bagaimana pendatang tanpa izin merusuh di kem tahanan Semenyih dan membunuh dengan kejam se-orang anggota polis Malaysia?
Mereka hendaklah sedar bahawa masalah yang dihadapi hari ini berpunca daripada negara mereka sendiri. Pemerintah Filipina dan Indonesia gagal membangunkan negara mereka dengan sempurna. Pemimpin asyik bercakaran dalam politik, pentadbiran penuh dengan rasuah, negara tidak stabil, ekonomi sakit.
Rakyat menganggur atau sekadar mempunyai kerja separuh masa kerana pemerintah gagal mewujudkan peluang pekerjaan. Akhirnya mereka terpaksa mencari sesuap nasi di negara orang dengan menyusup masuk secara haram.
Mereka sanggup menggadai nyawa mencari pekerjaan yang tidak seberapa upahnya. Ini menunjukkan betapa buruknya keadaan di negara sendiri.
Rakyat Malaysia berhak untuk tidur nyenyak pada waktu malam. Kerajaan bertanggungjawab memastikan hak ini tidak dirampas oleh pendatang tanpa izin.

Rencana Pilihan

Pengeji manusia berhati jahat

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim

Islam melarang umatnya bersikap fanatik melulu. Sebab itulah Islam mewajibkan umatnya supaya menuntut ilmu yang secukupnya sehingga proses menuntut ilmu itu telah dijadikan proses sepanjang hayat, dan ayat pertama yang diturunkan pun merupakan pembukaan satu lembaran ilmu yang cukup tinggi pengertiannya.

Ilmu dapat mencegah seseorang itu menjadi orang taksub melulu, atau yang hanya menjadi pak turut. Kita tidak boleh menjadi orang yang bertaklid buta. Kita seharusnya rajin membaca dan mencari ilmu, sama ada secara merujuk kepada buku atau orang-orang yang benar ikhlas memberikan ilmunya kepada kita.

Tetapi yang menjadi masalah pada segelintir umat Islam, atau segolongan mereka, ialah orang yang mempunyai ilmu, tetapi dalam menjaga beberapa kepentingan yang tertentu, sering juga bersikap menentang ilmu mereka dan tidak lagi jujur kepada pengetahuan mereka. Percakapan atau tindakan mereka kadang-kadang bertentangan dengan ajaran agama yang mereka pelajari oleh sebab-sebab tertentu.

Allah subhanahu wa taala memberi amaran kepada ahli kitab yang bertindak secara melulu dan melampau dalam agama mereka sehingga melakukan sesuatu yang menyeleweng daripada ajaran agama yang sebenarnya. Sikap mereka adalah sikap pelampau dan ekstrem, sehingga sanggup mengubah ajaran agama seperti yang dikehendaki Allah.

Ayat 171 Surah Al-Nisa' dengan panjang lebar menjelaskan perkara ini, iaitu dengan firmannya yang bermaksud:

Wahai ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar, sesungguhnya Al-Masih ibn Maryam itu hanya seorang Pesuruh Allah dan Kalimah-Nya yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripada-Nya.

Pengajaran yang dapat diambil daripada ayat ini ialah tentang sikap melampau dan melebihi sempadan yang dilakukan oleh ahli kitab Nasara yang bertindak mengamalkan ajaran agamanya melampaui had ketentuan Allah tentang kedudukan Nabi Isa, iaitu dengan mengambilnya sebagai Tuhan.

Perbuatan ini merupakan satu amalan menokok tambah ajaran agama seperti yang diturunkan oleh Allah tanpa menghiraukan ajaran sebenarnya. Maka ternyata bahawa perbuatan mereka itu adalah satu amalan yang menyeleweng daripada seruan Al-Masih yang menyeru mereka supaya menyembah Allah yang Esa dan tidak mempersekutukannya dengan sesuatu yang lain.

Ayat 77 dalam surah Al-Maidah pula menjelaskan tentang hal yang sama, iaitu firman Allah yang bermaksud:

Katakanlah Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu satu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga sekarang mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.

Ayat ini sekali lagi memberi amaran kepada umat manusia bahawa sikap melampau dalam beragama kadang-kadang membawa kepada amalan dosa yang besar seperti yang dilakukan oleh ahli kitab itu. Malah dari satu segi yang lain ahli kitab golongan al-Yahud telah mengambil sikap melampau menghina dan kufur kepada Nabi Isa, maka sikap mereka juga termasuk dalam sikap melampau dan bercanggah dengan ajaran Allah.

Beragama haruslah lurus dan tepat dengan ajaran Allah. Agama tidak seharusnya ditambah atau dikurangkan dasar dan prinsipnya mengikut sesuka hati sendiri kerana sesuatu kepentingan yang tersembunyi. Demikianlah juga dalam amalan umat kita terhadap agama kita, Islam. Kita seharusnya mengamalkan agama kita menurut ilmu pengetahuan yang luas tentang agama kita.

Seandainya kita benar-benar mengikut ajaran Allah dalam beragama, maka kita akan terselamat daripada sifat taksub melulu, kerana sifat ini akan sering membawa kepada tindakan radikal dan melampau, atau bersikap tertutup terhadap pandangan orang lain.

Dalam dunia Islam pada hari ini sikap radikal dan melampau telah lahir di sana sini, sehingga keadaan ini menjadikan imej umat Islam sering diburuk-burukkan oleh dunia umumnya. Sememangnya dalam beberapa keadaan kita dapat mempertahankan umat kita apabila mereka melakukan kekerasan dan keganasan seperti yang dilakukan oleh umat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis umpamanya. Tetapi sampai ke manakah hal itu dapat kita pertahankan, terutamanya apabila perbuatan ganas itu kelihatan telah melampaui batas perjuangan yang sepatutnya.

Kekejaman Zionis yang menindas rakyat Palestin juga merupakan satu amalan melampaui batas yang diterangkan oleh Allah di dalam firmannya di atas. Alasan mereka juga sebenarnya mungkin berdasarkan amalan agama yang melulu iaitu menganggap golongan mereka sebagai golongan terpilih di atas umat-umat yang lain.

Demikian juga dalam beberapa kejadian lain yang berlaku di dalam dunia pada hari ini ketika golongan-golongan agama bertentangan dan berbunuh-bunuhan atas nama agama seperti yang dapat kita saksikan di beberapa buah negara di dalam dan diluar dunia Islam pada masa ini. Ada kalanya mereka berbunuhan atas nama agama, sedangkan membunuh bukanlah daripada ajaran agama yang sebenarnya jika tidak terdapat sesuatu alasan yang benar dari segi agama.

Bagaimanapun, dalam mengamalkan agama kita seharusnya mengetahui had dan sempadannya. Had dan sempadan itu bukan hanya dalam tindakan yang melibatkan tindakan jasmani dan fizikal, malah juga melibatkan percakapan dan pengucapan.

Tindakan umat Islam mencerca sesama sendiri merupakan satu gambaran yang lain bagaimana orang Islam telah mengambil sikap melampau dalam ajaran agamanya. Bagi orang yang berilmu, maka pengucapan kesat terhadap orang lain, atas alasan apa sekali pun, adalah satu tindakan yang melampaui ajaran agamanya.

Perbuatan mencela sesama saudara seagama akan membawa kepada permusuhan, dan akan menghilangkan satu sifat yang digalakkan oleh Allah, iaitu sifat bantu-membantu dan tolong-menolong untuk kebaikan dan ketakwaan. Apabila hilang sifat dan amalan tolong-menolong serta bantu-membantu untuk kebaikan, maka akan hilanglah kekuatan umat Islam itu sendiri dan akan berpecahlah mereka.

Kita sering membaca ayat al-Quran dan hadis dengan begitu banyak sekali tentang sifat-sifat buruk manusia, dan sebaliknya menerangkan pula tentang sifat-sifat yang baik bagi umat Islam sesama sendiri.

Saya ingin perturunkan lagi satu hadis yang sering dipetik oleh ramai para pendakwah, khatib, penceramah agama dan sebagainya, yang hampir-hampir menjadi hafalan orang Islam. Tetapi hadis ini dengan segala keindahan makna dan konsepnya sering menjadi permainan bibir dan perencah ceramah semata-mata, tanpa membawa kesan yang mendalam dan menjadi amalan umat Islam dalam kehidupan mereka.

Hadis tersebut berbunyi:
Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain. Ia tidak akan mengkhianatinya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Semua (yang ada) pada seorang Islam itu haram ke atas yang lain, iaitu kehormatannya, hartanya dan darahnya. Cukuplah seorang itu tergolong sebagai orang jahat apabila dia menghina saudara Islamnya yang lain.

Sekiranya kita renungi dan fahami hadis ini dengan rapi, kita tentunya akan melihat sebuah masyarakat Islam yang bersih dan berpadu, bermoral dan bertamadun.

Malah dalam Islam, menghina dan mencela bukan hanya bagi sesama Islam, tetapi juga terhadap bukan Islam. Rasulullah s.a.w. pernah melarang umat Islam mencela orang musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dari Aisyah:

Hai Aisyah, jika yang mengeji itu seorang lelaki, maka ia adalah lelaki jahat.
Rasulullah juga menegaskan bahawa orang Islam itu bukanlah pengutuk sama ada pengutuk terhadap manusia, haiwan atau makhluk yang lain.

Jadi, bagaimanakah pandangan kita terhadap umat kita yang terlalu banyak mengutuk sekarang ini? Hanya Allah dan Rasul-Nya yang dapat menghukumnya.
Datuk Dr. ismail ibrahim ialah Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan

Foto Arkib
Meneroka dimensi baru dunia tiga dimensi - Pusat Realiti Maya MSC

PUSAT realiti maya boleh juga digunakan untuk meninjau kawasan-kawasan yang tidak boleh didiami manusia seperti dalam Ekspedisi Planet Marikh, baru-baru ini.

Senario seperti itu mungkin hanya dapat anda saksikan di dalam filem atau dokumentari, tetapi kini dengan kemudahan Pusat Realiti Maya (VRC) yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Cyberjaya Jumaat lepas, semua aktiviti sedemikian boleh dilakukan di negara ini.
Pusat realiti maya yang dikenali sebagai Pusat Pembangunan Aplikasi Kreatif (CADC) bernilai RM21 juta ditubuhkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) dengan kerjasama syarikat pembekal teknologi realiti maya terkenal, Silicon Graphics (SGI) .
Pusat ini merupakan VRC kedua di dunia yang mempunyai kemudahan mengendalikan aplikasi realiti maya pelbagai industri, selain yang terdapat di makmal R&D SGI di California, Amerika Syarikat.
``Kebanyakan makmal VRC yang terdapat di dunia adalah dikhususkan untuk satu-satu industri sahaja,'' kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SGI, Bob Bishop.