Isnin, 12 Oktober 2009

RENUNG-RENUNGKAN LAH

Sekadar ingin berkongsi 2 orang tokoh ini pada 07/03/1998 yang diterbitkan di Utusan Malaysia.

Datuk Rais Yatim berpendapat bahawa bukan rahsia lagi dalam UMNO ''kedudukan ketua bahagian ibarat kunci kepada banyak pintu - jawatan, kedudukan, habuan, bintang kebesaran di samping menjadi broker kuasa yang berpengaruh di peringkat nasional.''

Menurut beliau selagi keadaan itu berlaku selagi itulah apa yang beliau sifatkan sebagai ''politik menahan lukah di sungai yang sempit'' akan berterusan.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas menteri kabinet di dalam kerajaan Persekutuan berpendapat kedudukan ketua bahagian sepatutnya dinyahpolitikkan (depoliticize).

Beliau mencadangkan amalan bahawa menjadi ketua bahagian bermakna seseorang itu akan mendapat semua ganjaran dan jawatan haruslah dihentikan secara berperingkat-peringkat.

Beliau mencadangkan juga mereka yang tidak mempunyai sebarang jawatan tetapi berpotensi harus diberi kesempatan ''pergi jauh di pentas nasional.''

''UMNO memerlukan otak-otak terbaik untuk mengurus negara di peringkat nasional dan antarabangsa,'' kata beliau.

Datuk Zainuddin Maidin berpendapat bahawa politik UMNO ialah politik naungan dan hakikatnya ialah pemimpin bahagian juga turut mencorakkan kepimpinan nasional.

Beliau bersetuju bahawa UMNO sukar untuk melarikan diri dari amalan yang biasa kecuali Presiden parti bersedia ''melakukan perubahan struktur besar-besaran dalam parti.''

Beliau menunjukkan contoh di Singapura bagaimana pemimpin parti ditentukan oleh sekelompok kecil elit PAP.

''Soalnya, mungkinkah hal itu dilakukan di sini?'' tanya beliau.