Ahad, 20 September 2009

ARKIB BERITA DAN RENCANA 21.9.1999

Marilah kita berkongsi apa kata pemimpin kita 10 tahun lalu,paparan ini dihidangkan buat kita sama-sama menilai cerita-cerita 10 tahun dahulu.


DR. MAHATHIR Muhamad melambaikan tangan kepada penuntut-penuntut Maktab Perguruan Kangar, Perlis selepas merasmikan maktab tersebut semalam.

Apa kata Tun Dr. Mahathir.

ARKIB : 22/09/1999
PM: Laksana dasar kerja dengan jujur

KANGAR 21 Sept. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, para pegawai dan kakitangan kerajaan perlu bersikap profesional dengan memastikan semua dasar kerajaan dilaksanakan secara jujur demi faedah rakyat.

Perdana Menteri berkata, mereka tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak sama ada parti politik atau pemimpin serta bekas pemimpin tertentu ketika melaksanakan amanah rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, secara profesional kakitangan awam perlu setia kepada kerajaan yang memerintah, yang merancang segala dasar pembangunan negara.

Kerajaan dipilih oleh rakyat untuk melaksanakan pelbagai dasar tetapi tanpa usaha pegawai dan kakitangan awam, ia tidak mungkin dapat dijayakan secara berkesan, katanya ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama kakitangan sektor awam dan para pemimpin masyarakat di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini hari ini.

Dr. Mahathir menambah apabila kesetiaan kakitangan awam hanya kepada kerajaan, kerajaan yang memerintah akan dapat membuat dasar dan merealisasikannya.

''Cara itu kita dapat menentukan walaupun jika ada pertukaran kerajaan di negara kita ini, siapa juga yang menjadi kerajaan dapat membentuk dasar dan membuat rancangan pembangunan, dengan kepercayaan bahawa dasar dan rancangan itu akan dilaksanakan oleh para pegawai dan kakitangan kerajaan secara profesional.

''Kita tidak ada kesetiaan kepada mana-mana anggota kerajaan, pemimpin dalam kerajaan. Kita tidak perlu setia kepada mana-mana pemimpin tertentu dalam kerajaan. Kesetiaan kita ialah kepada kerajaan yang dipilih.

''Kalau seseorang itu tidak lagi menjadi pemimpin, kita tidak perlu mengikutinya walaupun ia pernah begitu baik sekali menolong kita. Kita tidak boleh setia kepadanya tetapi perlu setia kepada kerajaan yang ada,'' jelas beliau lagi.

Katanya, pentadbiran negara akan menjadi kucar-kacir jika kesetiaan wujud kepada orang-orang tertentu dan mangsanya adalah rakyat.

Mengenai kakitangan awam yang tidak profesional, Perdana Menteri berkata, tidak ramai di kalangan mereka yang 'lari daripada sistem pentadbiran.'

''Sebahagian besar memberi taat setia kepada kerajaan yang ada tanpa mempersoalkan siapa yang perlu menjadi pemimpin kerajaan,'' tegasnya.

Di kediaman rasmi Menteri Besar juga, Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani dua perjanjian dan dua memorandum persefahaman (MoU).

Perjanjian itu ialah antara FERMPRO Sdn.Bhd. dengan Mardec-Yokohama Fertiliser Sdn. Bhd. dan GEA Wiegand GmbM of Germany; dan antara H&R Supplies Sdn. Bhd. dengan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis. MoU terbabit pula ialah antara Alfra Commercial Infrastructure Sdn. Bhd. dan Kerajaan Negeri Perlis; dan ANCOM Bhd. dengan Padiberas Nasional Bhd. dan Bio-Organic & Services Sdn. Bhd.

Semasa melancarkan Projek Rumah Pangsa Awam Kangar di sini pula, Dr. Mahathir mengingatkan mereka yang berkemampuan jangan mengambil kesempatan membeli rumah kos rendah kerana ia hanya menafikan hak mereka yang berpendapatan rendah untuk memilikinya.

Beliau mendedahkan terdapatnya pemilik rumah kos rendah yang memiliki kereta Mercedes serta mengubahsuai rumah melibatkan kos hampir dua kali ganda daripada harga asal rumah.

Semuanya menunjukkan mereka sebenarnya golongan berkemampuan, tambahnya.

Terdahulu, ketika merasmikan Maktab Perguruan Kangar di Behor Pulai di sini, Dr. Mahathir berkata, para pensyarah dan guru mesti bertanggungjawab dan mempunyai cita-cita untuk menyediakan generasi masa depan yang cemerlang.

Beliau tidak mahu mereka merosakkan pelajar dengan memperalatkannya semata-mata untuk kepentingan politik dan peribadi sebaliknya memikirkan kepentingan aspirasi negara.

''Saya sedih ada kalangan pensyarah dan guru mengambil masa di sekolah yang sepatutnya menyampaikan pelajaran sebaliknya tetapi lebih menumpukan kepada politik dan membangkitkan perasaan membenci pihak yang pernah menolong mereka sendiri,'' katanya.

Beliau menambah tiada gunanya bercakap mengenai kecemerlangan Islam pada masa lampau bila keadaan sebenarnya sudah banyak berubah.

Dr. Mahathir meminta supaya generasi akan datang mampu menguasai dalam semua bidang dan menegaskan kepada mereka bahawa dengan mempelajari bidang agama semata-mata sebenarnya mengkhianati Islam sendiri.
Oleh: OTHMAN MOHAMAD dan ABDULLAH HAMID

10 tahun dulu apa kata Tun Abdullah tentang PAS.
ARKIB : 22/09/1999
Pas bukan agama - Abdullah
KUALA LUMPUR 21 Sept. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Pas tidak boleh disamakan dengan agama sebaliknya ia hanya sebuah parti politik yang memanipulasikan Islam semata-mata.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, tiada orang yang berfikiran waras dapat menerima ''Pas itu Islam dan Islam itu adalah Pas.''

''Pas bukan Islam... Islam adalah agama dan dianuti kita semua. Mana boleh disamakan Pas sebagai agama Islam,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar antarabangsa Hak-hak Orang Islam Di Negara Majoriti Bukan Islam di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Beliau memberikan contoh apa yang dimaksudkan Pas hanya sekadar parti politik dengan merujuk tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mengharamkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi umat Islam jika beliau dilantik menjadi Mufti Kelantan.

''Itu sudah melambangkan sikapnya yang tidak toleran. Semua nak haram, suratkhabar nak tutup, televisyen nak tutup... parti nak diharamkan,'' katanya.

Berbeza dengan UMNO, kata Abdullah, parti pejuang kemerdekaan negara itu lebih bertoleransi dan ini terbukti dengan keupayaannya meningkatkan syiar Islam di negara ini serta dicontohi oleh negara-negara lain.

Dalam ceramah politik di Kampung Semariang, Kuching kelmarin, Nik Abdul Aziz berkata, fatwa mengisytiharkan pengharaman UMNO dan BN akan dikeluarkannya pada hari pertama beliau memasuki pejabat selaku mufti.
Oleh: ZULKIFLI JALIL


Rencana pilihan untuk dikongsikan bersama hasil tulisan Marzuki Yusoff dari arkib Utusan Malaysia.

ARKIB : 22/09/1999
Rusuhan tinggalkan kesan negatif
Oleh: MARZUKI YUSOFF

IBU negara sekali lagi mencatatkan detik hitam apabila ribuan penyokong parti-parti pembangkang yang diterajui oleh Parti Keadilan Nasional (Keadilan) melakukan demonstrasi besar-besaran Ahad lalu sehingga tercetusnya rusuhan yang mengakibatkan tiga anggota polis cedera.

Terlalu menyedihkan kerana peristiwa ini berlaku pada ketika ekonomi negara baru menampakkan tanda-tanda pemulihan daripada kegawatan sejak dua tahun lalu. Rusuhan terbaru itu dapat dielakkan sekiranya pihak-pihak terbabit bersikap rasional dalam isu keracunan arsenik seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ada di antara rakyat negara ini yang seolah-olah sudah membuat kesimpulan awal dari sudut politik bahawa keracunan yang dialami oleh Anwar itu memang telah dirancang oleh kerajaan dalam satu konspirasi untuk membunuh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dari sudut politik pula, jika benar kerajaan menyimpan hasrat itu, apakah pucuk pimpinan negara tidak pernah menimbang mengenai risiko besar terutama nama baik negara tercemar pada mata masyarakat antarabangsa sekiranya terjadi sesuatu yang tidak di-ingini terhadap Anwar dalam tempoh penahanannya di penjara.

Sekarang ini pun, kerajaan berada dalam kedudukan amat sukar untuk memastikan bekas pemimpin nombor dua negara itu mendapat layanan yang sewajarnya dalam penjara atau untuk memastikan Anwar tidak diapa-apakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri berulang kali menegaskan bahawa Anwar mendapat layanan berbeza berbanding banduan-banduan lain di penjara, namun, kenyataan Abdullah itu nampaknya tidak mampu untuk meyakinkan para penyokong Anwar.

Begitu juga dengan kenyataan Abdullah untuk menubuhkan pasukan penyiasat yang disambut dingin oleh pihak pembangkang. Mereka menggunakan isu pemukulan Anwar di lokap polis sebagai alasan bahawa Anwar tidak akan mendapat keadilan sewajarnya jika ditangani oleh polis.

Bagi pihak pembangkang, mereka akan mengambil kesempatan sebaik mungkin daripada isu Anwar itu untuk meraih simpati dan sokongan rakyat jelata dan dalam hal ini, mereka akan terus mempolitikkan isu Anwar untuk perjuangan politik mereka.

Sulit untuk memastikan apakah motif di sebalik tindakan para pemimpin pembangkang mengumpul ribuan penyokongnya untuk melakukan perarakan besar-besaran hanya untuk menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dengan jumlah penyokong yang ramai itu, segala kemungkinan boleh berlaku terutama jika ada anggota pasukan keselamatan hilang pertimbangan setelah dimakihamun dan akhirnya mengambil cara kekerasan sehingga ada perusuh yang jatuh korban.

Sekiranya ini terjadi, mungkinkah ada pihak tertentu yang mengharapkan peristiwa berdarah kematian empat mahasiswa Universiti Kristian Trisakti di Jakarta - yang menjadi pencetus kepada gerakan rakyat menggulingkan Presiden Suharto pada tahun lalu - akan berlaku pula di Malaysia.

Walaupun para pemimpin dan penyokong parti pembangkang akan tetap mempertahankan tindakan mereka, namun, kesan daripada rusuhan Ahad lalu dan beberapa siri rusuhan sebelumnya akan meninggalkan kesan buruk di kalangan rakyat - sama ada untuk jangka pendek dan jangka panjang.

Generasi yang telah ditanam dengan bibit-bibit kebencian terhadap polis dan kerajaan, dibimbangi akan terus-menerus melakukan tindakan kekerasan yang sama sekiranya parti-parti yang mendokong tunjuk perasaan dan rusuhan masa ini, ditakdirkan oleh Allah s.w.t memerintah negara ini.

Demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di Malaysia sebenarnya telah menjadi 'perangkap' tersendiri yang mungkin tidak disedari oleh gabungan parti pembangkang sekiranya mereka ditakdirkan berkuasa kelak.

Persoalan akan timbul mengenai tindakan yang bakal diambil oleh para pemimpin kerajaan yang berasal daripada parti-parti pembangkang sekiranya era pemerintahan mereka dipenuhi dengan tunjuk perasaan yang dulunya tindakan seumpama itu mereka sendiri restui.

Apa pula yang akan terjadi kepada imej negara tercinta ini pada pandangan masyarakat antarabangsa sekiranya rakyat yang sudah diajar cara kekerasan dalam menangani sesuatu masalah, akan menggunakan saluran kekerasan untuk memenuhi semua hasrat mereka.

Para pemimpin kerajaan (pada masa itu) sudah pasti akan berada dalam kedudukan 'amat serba salah' sama ada untuk terus membenarkan rakyat berdemonstrasi secara sesuka hati dan memberontak apabila kehendak mereka tidak dipenuhi.

Mungkinkah para pemimpin Pas, DAP dan Keadilan akan membiarkan demonstrasi melibatkan puluhan ribu rakyat mewarnai pemerintahan mereka kelak sehingga rakyat lain sentiasa hidup dalam kebimbangan, ketegangan dan ketakutan serta ekonomi negara terumbang-ambing kerana rusuhan sering terjadi.

Atau mungkin, apabila situasi sudah tidak dapat dikawal, para pemimpin daripada barisan alternatif itu tidak mempunyai pilihan lain kecuali bersikap lebih keras daripada cara Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan pasukan polis yang dulu dimakihamun dan dibenci mereka, untuk menumpas habis-habisan segala tunjuk perasaan.

Golongan ini seharusnya sedar tunjuk perasaan di jalanan - walau berjalan aman sekalipun - tetap meninggalkan kesan negatif sama ada kepada rakyat tempatan mahupun pelabur dan pelancong asing apalagi sehingga melibatkan ratusan atau ribuan orang berkumpul dan berarak di jalan raya.

Selama ini, adakah kerajaan BN atau pihak berkuasa negara ini menghalang ceramah-ceramah politik pembangkang di sesuatu kawasan yang kadangkala didengar oleh puluhan ribu penyokong mereka.

Tidakkah ada kesedaran di kalangan para pemimpin pembangkang bahawa kesan daripada tindak tanduk mereka itu boleh mencetuskan kekacauan lebih besar sekiranya para pendukung parti saingan mereka hilang pertimbangan sehingga meletus perang saudara sesama orang Melayu.

Kejadian yang tidak diingini itu kemungkinan besar akan terjadi sekiranya para pemimpin pembangkang terus membakar api kebencian terhadap kerajaan, pasukan keselamatan dan mencabar sistem perundangan sedia ada.

Apabila undang-undang negara berani diinjak-injak dan dicabar sehingga ke tahap paling rendah, satu hari nanti ada pemimpin lain yang memiliki pengikut yang ramai akan mengambil tindakan serupa.

Jika sampai terjadi keadaan sebegini, Malaysia tidak ada bezanya dengan sesetengah negara di Afrika atau Amerika Latin yang rakyatnya memilih jalan kekerasan dan pembunuhan sesama bangsa bagi memenuhi kehendak satu golongan.

Sejarah Indonesia boleh menjadi contoh bagaimana sejarah boleh berulang walaupun manusia selalu lupa.

Sekiranya bekas presiden pertama Indonesia, Sukarno dijatuhkan melalui tunjuk perasaan para mahasiswa - yang menurut dakwaan Sukarno - didalangi oleh Jeneral Suharto, akhirnya Suharto juga digulingkan melalui cara yang sama iaitu oleh demonstrasi mahasiswa.

Kita tidak mahu kemenangan golongan proreformasi nanti dalam perjuangan membela Anwar, berkesudahan dengan nasib bangsa ini dan generasi akan datang berpecah-belah dan dipandang hina akibat kesilapan sesetengah daripada kita.

Janganlah kerana terlalu mengikut emosi yang meluap-luap, ada di antara kita yang sanggup menghancurkan negara hanya kerana berpegang kepada perjuangan biarlah 'sama-sama hancur'.

Jika sikap ini yang dipegang, perjuangan itu samalah seperti 'Menang jadi abu, kalah jadi arang'. Akhirnya yang menerima nasib malang adalah orang Melayu seperti mana yang menimpa umat Islam di Indonesia.