Jumaat, 29 Mei 2009

ISU CHIN PENG



Paparan petikan akhbar Berita Harian dalam minggu ini untuk renungan bersama.

Siapa memulakan :

Datuk Teng Hock Nan Pengerusi Parti GERAKAN P.Pinang.

Siapa Chin Peng :

Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya

Komunisme adalah ideologi politik dan struktur sosio ekonomi yang menggalakkan penubuhan masyarakat yang egalitarian, tanpa kelas, dan tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta secara umumnya. Karl Marx menganjurkan komunisme sebagai peringkat akhir dalam masyarakat manusia, yang boleh dicapai melalui revolusi golongan proletariat. "Komunisme suci" menurut Marx merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Sebagai ideologi politik, komunisme dianggap sebagai satu cabang sosialisme; satu falsafah luas berkenaan ekonomi dan politik yang dipengaruhi oleh pelbagai gerakan politik dan intelektual dengan asalnya dari hasil kerja mereka pada Revolusi Perindustrian dan Revolusi Perancis. Komunisme cuba untuk memberi satu alternatif kepada masalah dalam ekonomi pasaran kapitalisme dan warisan penjajahan dan nasionalisme. Marx menyatakan hanya satu jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini adalah bagi golongan pekerja (proletariat), yang menurut Marx adalah pengeluar utama kekayaan dalam masyarakat yang diekploitasi oleh kelas kapitalis (borjuis), menolak golongan borjuis ini daripada kelas pemerintah bagi menubuhkan masyarakat bebas tanpa pembahagian kelas dan kaum.

Selain Karl Marx, tokoh penting lain adalah Friedrich Engels. Fahaman dominan komunisme seperti Leninisme, Stalinisme, Moisme dan Trotskyisme]] adalah berakar dari Marxisme. Akan tetapi wujud juga fahaman bukan Marxisme dalam komunisme seperti komunisme Kristian. Dalam gunaan zaman moden, komunisme selalu merujuk kepada Bolshevisme atau Marxisme-Leninisme.

Era kegemilangan komunisme ialah antara akhir Perang Dunia II dan tahun 90-an apabila komunisme berkuasa di Kesatuan Soviet. Komunisme juga mempunyai pandangan agama adalah racun yang boleh mengongkong pemikiran rakyat.

Chin Peng tak dibenar pulang


PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, pulang ke Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menjelaskan, keputusan itu dibuat bagi mengelak timbul rasa tidak puas hati di kalangan anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis ketika darurat.

"Kerajaan tidak akan benarkan Chin Peng balik ke Malaysia sebab ia akan menimbulkan rasa tak puas hati terutama kepada ahli keluarga mereka yang terkorban akibat kekejaman komunis pada waktu darurat dulu," katanya selepas mengumumkan pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), di pejabatnya semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar sebelum ini mengenai saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan, supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia.

Pada 30 April lalu, usaha terakhir Chin Peng @ Ong Boon Hua untuk mendapat pengisytiharan kebenaran masuk dan hidup di Malaysia gagal apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya.

Mahkamah turut mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum itu kerana Chin Peng gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri seperti arahan Mahkamah Tinggi bagi membuktikan dia berasal dari Malaysia dan dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 seperti didakwanya.

Saranan supaya Chin Peng kembali ke Malaysia dibantah pelbagai pihak termasuk persatuan bekas anggota tentera yang pernah bertempur dengan komunis ketika darurat termasuk yang kini cacat akibat jerangkap samar yang dipasang pengganas itu.

Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata kerajaan mengesan ada parti politik dan pertubuhan tidak berdaftar cuba menyebarkan ideologi komunis di negara ini dengan cara tersembunyi.

Beliau juga berkata, usaha membawa Chin Peng ke Malaysia perlu ditentang kerana ia akan membangkitkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan keluarga lebih 50,000 anggota tentera dan polis yang terkorban menentang PKM ketika darurat.




DAP, PKR sokong hasrat Ching Peng mahu pulang

Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my

Pembangkang minta diberi peluang atas dasar kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mahu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang ingin kembali ke tanah air diberi peluang berbuat demikian atas dasar kemanusiaan.

Timbalan Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw, berkata walaupun banyak pihak termasuk beliau pernah merasai penderitaan akibat kekejaman komunis, kerajaan boleh memaafkan Chin Peng sekali gus membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang ke Malaysia.

Beliau turut menolak kemungkinan kembalinya Chin Peng menghidupkan kembali ideologi komunis di negara ini kerana ia sudah mengalami transformasi apabila hampir semua penduduk dunia tidak lagi menerima fahaman itu.

"Kita wajar mencontohi sikap bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang masih mampu memberi kemaafan walaupun pernah dikurung dan diseksa selama 27 tahun dengan isteri serta anaknya mati.

"Walaupun kekejaman komunis meninggalkan kesan mendalam kepada banyak pihak termasuk saya apabila pengetua sekolah dibunuh pada 1950-an, Chin Peng sudah tua dan wajar diberi peluang kedua," katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas sebab kemanusiaan. Bagaimanapun, hasrat Chin Peng itu ditentang pelbagai pihak.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula berkata, secara peribadi beliau mengharapkan hasrat Chin Peng itu dapat dipenuhi kerajaan atas dasar kemanusiaan kerana sesiapapun layak mendapat peluang kedua.

Beliau meminta semua pihak menilai kes Chin Peng sambil membuat perbandingan dengan kedatangan rakyat Jepun dan British ke negara ini.

"Adakah kedatangan orang Jepun akan membangkitkan kemarahan masyarakat yang menderita ketika penjajahan negara Matahari Terbit itu atau adakah kedatangan rakyat British akan mengembalikan penjajahan oleh negara berkenaan," katanya.

Tian Chua turut mempertikaikan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ada parti politik dan pertubuhan tidak berdaftar cuba menyebarkan ideologi komunis.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Ronnie Liu, berkata Chin Peng perlu dibenarkan menziarahi ahli keluarga terlebih dulu yang menjadi tradisi kaum Cina sebelum dibenarkan menetap di Malaysia.

Katanya, jangan membuat tanggapan lebih awal sebelum Chin Peng kembali ke tanah air kerana bekas pemimpin komunis itu wajar diberi peluang kerana usianya yang lanjut.

"Kita tidak perlu bimbang kehadirannya di negara ini kononnya akan membangkitkan semula fahaman komunis kerana masyarakat sudah menolak ideologi itu dan menerima sepenuhnya prinsip demokrasi negara, malah ideologi itu sudah lama mati," katanya.


ONJINING (kanan) dan Ahmed menunjukkan kaki palsu selepas kehilangan sebelah kaki akibat terpijak jerangkap samar ketika operasi menentang komunis.

Berkaki palsu 'tanda mata' sertai operasi perangi PKM




KOTA KINABALU: Tiada siapa berhak mempersoalkan luahan kebencian veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Onjining @ Christopher Jopinol, 52, terhadap kekejaman komunis - musuh negara yang memaksanya menggunakan kaki palsu sejak 23 tahun lalu.

"Kaki palsu inilah 'tanda mata' komunis ketika saya menyertai operasi menentang komunis di sempadan Malaysia-Thailand dekat Gubir, Kedah pada Jun 1985.

"Betis kanan saya putus akibat terpijak jerangkap samar dipasang komunis. Tiga bulan saya terlantar di hospital dan kini terpaksa menggunakan kaki palsu untuk berjalan."

Gerakan sebar ideologi komunis dikesan


SUBANG: Kementerian Pertahanan mendedahkan ada parti politik dan pertubuhan yang tidak berdaftar cuba menyebarkan ideologi komunis di negara ini dengan cara tersembunyi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun beliau tidak dapat menyatakannya secara khusus, mengakui ada gerakan yang cuba menghidupkan ideologi itu.

"Atas sebab itu, Kementerian Pertahanan mendapati adanya usaha berbaur komunis yang cuba dihidupkan golongan tertentu.

"Kami sentiasa memantau perkembangan yang boleh menggugat keamanan negara. Sekiranya ada usaha ke arah itu (menyebar ideologi komunis), kami bersama polis akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya selepas lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Udara Subang di sini, semalam.

'Tiada sebab bawa pulang Chin Peng'


SUNGAI MANIK: Adik seorang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) menentang hasrat bekas Setiausaha Agung parti itu, Chin Peng untuk pulang ke tanah air kerana bimbang 'luka lama akan berdarah kembali'.

Datuk Mohd Yusoff Madin, 83, adik kepada Rashid Maidin yang juga bekas Pengerusi PKM berkata, tidak ada sebab kukuh untuk memberi laluan kepada Chin Peng pulang menghabiskan sisa hidupnya di negara ini.

“Saya menentang sekeras-kerasnya usaha membawa balik Chin Peng dan meminta kerajaan tegas menolak permohonannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Desa Chenderong Balai di sini, semalam.

Mohd Yusoff yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik selama tiga penggal (1974-1986) melahirkan rasa bimbang sekiranya Chin Peng dibenarkan pulang ke tanah air akan tercetus kejadian tidak diingini.

“Chin Peng harus sedar dia bukanlah wira negara... kita tidak mahu kehadirannya di negara ini kerana akan timbul perbalahan kaum," katanya.

Beliau berkata, abangnya Rashid Maidin sendiri tidak pernah memohon untuk kembali ke Malaysia selepas PKM dibubarkan sebaliknya beliau memilih menetap dan meninggal dunia di Selatan Thailand pada 2006.

"Abang saya hanya pulang ke tanah air beberapa hari kerana untuk menziarahi anak-anak dan kaum keluarga terdekat selepas mendapat izin Kementerian Dalam Negeri.

"Kali terakhir Abang Rashid pulang ke tanah air ialah pada 2004 dan berada di rumah saya beberapa hari dan tidak lagi datang ke negara ini sehinggalah beliau meninggal dunia di Thailand pada 2006 ketika usia 89 tahun," katanya.

Mohd Yusoff yang mempunyai 10 anak, 26 cucu dan tiga cicit yakin kerajaan tidak akan tunduk kepada rayuan supaya Chin Peng dibenarkan pulang kerana menyifatkannya sebagai pengkhianat negara yang menyebabkan beribu nyawa terkorban.

Sementara itu, anak sulung bekas penentang PKM, Komunis Bintang Tiga Sungai Manik, Normah Sulaiman, 59, turut meminta kerajaan tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini.

Ibunya, Yon Sopi yang meninggal dunia pada 1994 adalah antara wanita yang menentang kezaliman Komunis Bintang Tiga memerintah Sungai Manik selama 15 hari 15 Malam pada 1945.

"Saya banyak mendengar kisah sedih, menyayat hati diceritakan ibu saya yang bangkit berjuang menentang Bintang Tiga ketika ibu belum berkahwin," katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Chikus di sini.

"Kehadiran semula Chin Peng ke negara ini akan menghidupkan semula rasa sakit hati dan benci yang membakar semangat waris mangsa kekejaman komunis," katanya.

Normah yakin sekiranya ibunya masih hidup beliau pasti akan menentang hasrat Chin Peng kembali ke negara ini.

Dosa bekas pemimpin PKM tak boleh dimaaf: Rais


KUALA LUMPUR: Tiada ruang buat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng untuk kembali ke negara ini kerana dosa dilakukannya terhadap pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini tidak boleh dimaafkan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pemimpin yang melahirkan perasaan simpati terhadap Chin Peng perlu mengemukakan pendirian secara jelas tanpa berselindung di sebalik tabir politik kepartian.

“Chin Peng dan komunis yang membunuh rakyat negara ini dan tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat atau bersimpati kepadanya.

“Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini. Kita tidak boleh mendewakan komunis, ribuan yang sudah mati di tangan komunis. Usah mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan pemikiran rakyat,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan kementeriannya di sini, semalam.

Dr Rais berkata, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha memantau dan mengawal perkembangan laman blog yang menyokong komunis serta cuba menanam semangat komunisme di kalangan masyarakat di negara ini.

Katanya, beliau akan mengemukakan kepada Kabinet mengenai kemunculan beberapa laman blog dilihat memberi pujian atau melahirkan nostalgia kepada komunis dan maklumat diperoleh mengenai perkara itu akan disalurkan kepada KDN.

“Mengenai kemunculan blog dilihat menyokong komunis, kami akan cari jalan untuk menanganinya, langkah tak perlu cakap, semuanya sudah diatur dan kesannya nanti saya percaya akan memberi pandangan yang membina supaya komunisme tidak menjadi kegilaan atau diminati mana-mana generasi.

Usaha bawa Chin Peng pulang mesti dihalang


SEREMBAN: Kementerian Pertahanan menentang sebarang usaha membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, kembali ke negara ini kerana tindakan itu akan menghiris perasaan anggota pasukan keselamatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu juga akan membangkitkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota keluarga lebih 50,000 anggota tentera dan polis yang terkorban menentang PKM ketika zaman darurat.

"Jika diberi pengiktirafan terhadapnya (membenarkannya kembali), rasa terhiris dan kelukaan itu pasti akan lebih dirasai. Ini bukan sentimen perkauman, tetapi rasa patriotisme yang tertanam dalam jiwa anggota tentera yang sudah bersara atau masih bertugas.

Usah layan desakan benar Chin Peng pulang'

JASIN: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Melaka meminta kerajaan mengenepikan desakan Parti Gerakan Pulau Pinang supaya bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia atas sebab kemanusiaan.

Desakan itu seolah-olah mahu mencabar sikap keterbukaan kerajaan selain jelas membelakangkan aspirasi dan kepentingan Barisan Nasional (BN) selaku parti yang memerintah negara ini.

Sambil menyatakan rasa kecewa dengan desakan terbabit, Yang Dipertua PBTM Cawangan Melaka, Datuk Wira Ahmad Hamzah, mahu kerajaan tidak melayan desakan seperti itu yang seolah-olah merestui tindakan jahat Chin Peng terhadap rakyat di negara ini pada tahun 50-an.


Chin Peng bawa sengsara'

Oleh Adha Ghazali, Nahar Tajri, Khairul Azran Hussin dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my

Raja Muda Perlis kecewa ada pihak mahu bawa musuh pulang

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang berhasrat membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, bertitah, tindakan sedemikian tidak boleh diterima kerana kepulangan Chin Peng akan menyebabkan luka lama yang dialami kesan tindakan PKM berdarah kembali.



"Beta kecewa kerana ada pihak sanggup berusaha termasuk meminta kerajaan menimbangkan hasrat membawa pulang musuh negara seperti Chin Peng. Terlalu banyak sengsara dan derita dialami rakyat dan anggota keluarga pasukan keselamatan yang cedera dan terbunuh ketika darurat dulu.

"Malah, segala pengorbanan dan penderitaan yang dialami demi memastikan negara pada tahap sekarang, bukan mudah dilupakan," titah baginda sempena perasmian Majlis `Walk In Through Snake' di Taman Ular dan Reptilia Perlis (Turp) di sini, semalam.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata keikhlasan Chin Peng untuk kembali ke negara ini boleh dipersoalkan kerana beliau pernah ditawarkan menyerah diri dan tinggal di Tanah Melayu pada 1955.

"Ketika itu, Chin Peng enggan meletakkan senjata kerana yakin dengan kekuatan dan pengaruh PKM. Selepas gagal mencapai persetujuan dalam perjanjian itu, kerajaan mengisytiharkan PKM musuh nombor satu negara dan usaha membanteras ideologi mereka dipergiatkan," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, ada dua isu penting perlu diambil kira dalam melayan desakan pihak tertentu untuk membawa balik Chin Peng.

Katanya, isu pertama yang perlu diberi pertimbangan ialah faktor kemanusiaan terhadap bekas pemimpin PKM itu dan isu kedua pula membabitkan isu kemanusiaan mangsa kekejaman pengganas komunis.

"Kedua-dua isu ini perlu dilihat dari aspek berbeza.. jika kita mahu fikirkan isu kemanusiaan Chin Peng, kita juga perlu lihat isu kemanusiaan rakyat yang terkorban ketika zaman darurat. Semestinya, isu kemanusiaan rakyat ini wajar diberi keutamaan," katanya.

Saranan supaya Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia dibuat Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan dan pemimpin parti DAP dan Parti Keadilan Rakyat selepas usaha terakhir bekas pemimpin PKM itu melalui mahkamah, gagal.

Di ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menyatakan sokongan terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tidak membenarkan bekas pemimpin PKM itu kembali ke tanah air.