Selasa, 25 Ogos 2009

UMNO TETAP UMNO



Petikan sebahagian Ucapan Tun Mahathir Mohamad selaku Presiden UMNO.
Diperhimpunan Agung UMNO pada 28 hb. Oktober 1988.

UMNO adalah parti politik. Tetapi wujudnya UMNO bukan kerana hendak berpolitik semata-mata.UMNO ditubuhkan kerana kita tahu bahawa melauli politik kita boleh mempertahankan hak dan memperbaiki nasib oerang-orang Melayu, agama Islam dan negara kita Malaysia. UMNO dan perjuangan politiknya adalah sebagai instrumen dan jentera untuk mencapai matlamat yang kita rancangkan itu.

Kita perlu kepada kuasa politik, kerana kuasa politik boleh menentukan pencapaian matalamat kita. Lebih kuat kuasa politik kita, lebih mudah kita mencapai matalamat yang kita tentukan. Sekiranya kuasa politik kita lemah, maka sukarlah kita mencapai matlamat kita. Jika kuasa politik kita lumpuh, maka segala cita-cita orang Melayu akan menjadi angan-angan semata-mata.

Dalam negara kita yang berasaskan demokrasi kuasa datang daripada rakyat. Lebih ramai sokongan rakyat, lebih teguhlah kuasa kita dan lebih mampulah kita melaksanakan rancangan murni kita untuk rakyat, untuk agama dan untuk negara.

Orang Melayu masih menjadi kaum yang ketinggalan di negara berbilang kaum ini. Kita bernasib baik tidak menjadi kaum yang tertindas atau oppressed race seperti kulit hitam di Afrika Selatan. Kita telah dikejutkan oleh British dengan rancangan Malayan Union mereka. Dalam ketakutan, kita telah bersatu dan memberanikan diri menentang British. Kita berjaya. Dengan itu orang-orang Melayu mendapat tempat yang tinggi, sama seperti orang-orang yang pernah menjajah kita. Dan dengan itu juga bermulalah rebutan tempat dan kedudukan oleh yang berkepentingan diri.

Hari ini kita sudah sampai kepada satu tahap yang bahaya. Matlamat perjuangan orang-orang Melayu belum tercapai. Tetapi kerana perpecahan dikalangan orang-orang Melayu, orang-orang lain sudah berpeluang menangguk di air yang keruh ini.

Kepimpinan UMNO sekarang tidak mahu perpecahan diteruskan. UMNO tidak mahu orang-orang Melayu menjadi lemah. UMNO tidak mahu orang-orang Melayu diperalatkan untuk menggagalkan orang-orang Melayu sendiri. UMNO mahu orang-orang Melayu bersatu.

Kita percaya, bahkan kita yakin, perpaduan dan kekuatan politik orang-orang Melayu adalah penting untuk menstabilkan negara dan menjayakannya. Nasib orang-orang bukan Melayu juga bergantung kepada kekuatan politik orang-orang Melayu. Jika kita bertanggungjawab kepada negara dan semua penduduknya, segala usaha kita mestilah dibuat untuk mengukuhkan lagi kuasa politik orang-orang Melayu.

Justeru itu, UMNO sedia menerima sesiapa sahaja yang ingin menjadi ahli UMNO, sama ada ianya bekas ahli UMNO, atau pun bukan. UMNO sedia berunding dengan sesiapa sahaja bagi menyatupadukan orang Melayu. UMNO sedia menerima ahli-ahli PSRM atau ahli-ahli PAS atau ahli-ahli DAP dan sesiapa juga yang terdiri daripada orang-orang Melayu sekiranya mereka memohon dan bersedia menghayati dasar dan perjuangan UMNO.

Semua orang yang menyertai UMNO akan mempuyai hak yang sama mengikut Perlembagaan UMNO. Tetapi hak ini mestilah disertai dengan perasaan penuh tanggungjawab. Hanya yang kita minta, yang kita rayu, ialah hentikanlah pecah-belah yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu sekarang ini.

Orang-orang Melayu belum lagi terselamat dari bahaya. Kita belum lagi mencapai kemajuan yang memuaskan. Kita masih menghadapi perjuangan yang besar untuk menjadikan orang-orang Melayu satu bangsa yang terhormat dan dihormati di dunia yang penuh pancaroba ini.

Allah berfirman dalam Surah A-li'Imraan Ayat 103:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan