Ucapan Presiden UMNO
Dato’ Seri Dr.Mahathir Mohamad
Di Perhimpunan Agung UMNO
Di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra,
Kuala Lumpur
Jumaat, 28hb. Oktober 1988 8.30 Pagi.
UMNO TETAP UMNO
Sebenarnya UMNO yang bersidang pada hari ini, dari segi semangatnya, dari segi perjuangan, dari segi perlembagaannya, dari segi keahliannya adalah UMNO yang ditubuhkan pada 11Mei, 1946, di Istana Besar, Johor Bahru. UMNO ini ialah UMNO, parti yang mewakili orang-orang Melayu semenjak tahun 1946, yang berjuang melawan Malayan Union, yang berjuang mencapai kemerdekaan, yang berjuang untuk mengisi kemerdekaan itu dengan semua keperluan dan hak satu bangsa yang merdeka, yang berjuang untuk meletakkan orang-orang Melayu khususnya sebagai bumiputera yang mempunyai tempat tertentu dalam negara Malaya dan kemudianya Malaysia. UMNOlah yang menjadi tulang belakang Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Hukuman bahawa UMNO tidak sah adalah perkara teknikal. Pembatalan pendaftaran UMNO juga adalah teknikal.Dan pendaftarannya semula menjadi perkara teknikal juga. UMNO sebagai instrument perjuangan orang-orang Melayu tidak pernah tidak wujud.
UMNO sebagai sebuah badan yang hidup telah melalui evolusi mengikut perkembangan dalam negara dan peredaran zaman. Pada peringkat awal pertubuhannya, UMNO hanya menumpukan perhatian kepada kegitan-kegiatan memupuk perpaduan orang-orang Melayu dalam usaha menentang Malayan Union. Di waktu itu UMNO dipimpin oleh Allahyarham Dato’ Onn Jaafar dan telah berjaya dalam usaha ini.
Kemudian Dato’ Onn mencadang menjadikan UMNO, parti orang-orang Melayu, sebagai parti semua kaum. Ini telah menyimpang daripada asas dan semangat UMNO. Cadangan Dato Onn bercanggah dengan selera politik orang-orang Melayu. Oleh itu UMNO telah menolak kepimpinan Dato Onn dan orang-orang yang sependapat dengannya.
Selepas itu Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dijemput oleh Allahyaarham Tun Razak dan rakan-rakan yang setia kepada perjuangan UMNO untuk memimpin UMNO. Tunku bukan sahaja telah meningkatkan perjuangan UMNO kepada pencapaian kemerdekaan tetapi juga Perlembagaan UMNO telah dipinda supaya kuasa Presiden diperkukuhkan untuk menjayakan perjuangan parti.
Kali pertama pindaan dibuat ialah untuk mengubah komposisi Majlis Kerja Tertinggi UMNO supaya Setiausaha, Bendahari dan lima orang ahli MKT dilantik oleh Presiden bagi menentukan pentadbiran UMNO Pusat dikuasai oleh Presiden dan mudah bagi Presiden mendapat sokongan majoriti dalam MKT.
Kali yang kedua Perlembagaan UMNO dipinda ialah untuk menguatkan lagi kuasa UMNO Pusat. Pada ketika itu setiap negeri mempunyai UMNO Negeri yang menguasai semua bahagian UMNO di negeri berkenaan. Pindaan yang dibuat menghapuskan UMNO Negeri. Ini digantikan dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri tanpa sebarang kuasa eksekkutif. Bahagian-bahagian UMNO berhubung terus dan dikuasai terus oleh UMNO Pusat. Badan Perhubungan Negeri hanya menyelaraskan kegiatan bahagian-bahagian sahaja. Perwakilan ke Perhimpunan Agung tidak lagi terdiri daripada wakil negeri-negeri tetapi wakil bahagian-bahagian.
Dari masa Dato Onn sehingga sekarang, berbagai-bagai pindaan telah dibuat berkali-kali kepada Perlembagaan UMNO. Tetapi pindaan-pindaan ini tidak mengubah asas, semangat, cita-cita dan perjuangan UMNO. UMNO tetap UMNO, parti yang ulung yang mewakili semangat, cita-cita dan perjuangan orang-orang Melayu. Sepertimana peninggalan Dato Onn dan penyokong-penyokongnya tidak menjejaskan kekuatan dan perjuangan UMNO untuk orang-orang Melayu, begitu juga penyingkiran beberapa tokoh UMNO oleh Presiden Parti dan lain-lain pemimpin tidak menjejaskan UMNO. Diantara tokoh-tokoh UMNO yang dipecat ialah Encik Aziz Ishak, seorang Menteri Kabinet ketika itu (kerana ingin membuat kilang kertas dan kilang baja), Allahyarhamah Khatijah Sidek (Ketua kaum ibu), dan beberapa tokoh terkemuka yang lain.
Saya juga dipecat daripada menjadi ahli MT dan UMNO bukan kerana tidak menyokong UMNO tetapi kerana mengkritik kepimpinan Kerajaan semasa itu.
Jelas dilihat bahawa pindaan-pindaan kepada Perlembagaan UMNO dibuat oleh Majlis Tertinggi dari semasa ke semasa untuk memenuhi perjuangan UMNO. Tetapi tiada siapa yang berkata UMNO selepas pindaan Perlembagaan atau pemecatan ahli tidak menjadi UMNO lagi. Ahli-ahli UMNO, orang-orang Melayu, parti-parti kawan dan lawan dan rakyat keseluruhannya telah mengakui dan menerima UMNO, sebelum dan selepas apa-apa perubahan atau tindakan yang diambil oleh UMNO sendiri.
UMNO DICEMAR DI MAHKAMAH
Mengheret UMNO ke mahkamah dan mencemarkan parti kita ialah satu perkara yang dahulunya tidak pernah terlintas di hati sanubari ahli-ahli UMNO. Keputusan mahkamah yang menyatakan bahawa UMNO tidak sah adalah perkara yang terasing daripada UMNO. Ini bukan pilihan UMNO. Ia bukanlah hajat UMNO walaupun ia mungkin menjadi niat segelitir ahli-ahli UMNO yang mempunyai kepentingan peribadi. UMNO sememangnya mempunyai cawangan-cawangan yang tidak sah daripada segi undang-undang semejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Tetapi ini tidak menimbulkan masalah kerana ahli-ahli UMNO setia kepada parti dan perjuangannya. Mereka menyelesaikan masalah pencabulan perlembagaan parti melalui jentera parti, khususnya Biro Disiplin dan Majlis Tertinggi. Walau apa pun perselisihan faham, mereka tidak bertindak di luar UMNO kerana ini akan memburukkan UMNO.
Apabila Parti UMNO diseludupi oleh orang-orang yang berkepentingan diri, yang tidak setia kepada parti, yang tidak bersemangat Melayu, maka berlakulah kegiatan mengheret UMNO ke mahkamah. Mereka membelakangkan parti kerana bagi mereka yang utama ialah kepentingan politik diri mereka. Walaupun parti akan menjadi porak peranda, menjadi lemah, bahkan diharamkan oleh nahkamah, ini tidak menjadi hal bagi kumpulan ini. Bagi mereka, yang penting ialah mereka berpeluang merebut kepimpinan parti.
Sebab itulah usaha Majlis Tertinggi dengan melantik sebuah jawatankusa yang terdiri daripada 5 orang ahli Majlis Tertinggi untuk menyelesaikan masalah ahli-ahli UMNO secara rundingan, dan diluar makahmah telah tidak berjaya. Amaran telah diberi oleh Jaawatankusa Majlis Tertinggi ini kapada mereka yang membawa UMNO ke mahkamah, bahawa tindakan mereka membawa UMNO ke mahkamah akan menyebabkan seluruh Pertubuhan UMNO diharamkan.Amaran ini tidak dihiraukan oleh mereka. Yang penting bagi mereka ialah memaksa supaya diadakan pemilihan Majlis Tertinggi sekali lagi. Hakikat bahawa pemilihan pada 24 April 1987 telahpun menjejaskan perpaduan UMNO tidak dipedulikan. Pemilihan sekali lagi hanya akan menyebabkan pertandingan yang lebih sengit dan memburukkan lagi perpaduan dalam UMNO. Hakikat ini juga tidak mempengaruhi mereka supaya tidak meneruskan kes mereka untuk diputuskan oleh mahkamah. Mereka tidak sabar untuk merebut kepimpinan UMNO. Mereka tidak sanggup menunggu hanya dua tahun lagi, iaitu pada tahun 1990, untuk bertanding dalam pemilihan jawatan-jawatan Majlis Tertinggi. Pada waktu itu mereka boleh cuba merebut kepimpinan UMNO sekali lagi.
Akhirnya, mahkamah menghukum seluruh UMNO tidak sah. Mereka dengan mudah menerima keputusan mahkamah ini dan tidak membuat rayuan kepada Mahkamah Agung supaya dibatalkan keputusan ini. Sebaliknya dengan pantas mereka cuba menubuhkan ‘UMNO Malaysia’ untuk mengantikan UMNO yang telah diharamkan. Pada ketika itu tidak adapun sebutan ‘Semangat 46’
Oleh kerana pengharaman UMNO adalah disebabkan perkara teknikal dan bukan kerana kehendak UMNO, maka pemulihannya hendaklah dibuat oleh UMNO sendiri melalui pemimpin-pemimpin UMNO iaitu Majlis Tertinggi UMNO yang wujud di waktu UMNO diharamkan oleh mahkamah. Hanya Majlis Tertinggi ini yang dapat menjamin penerusan perjuangan, cita-cita dan semangat UMNO. Tidak munasabah orang-orang lain mengambil tindakan kecuali pemimpin-pemimpin UMNO sendiri tidak mengambil tindakan pemulihan parti.
Tetapi puak yang telah menyebabkan UMNO didakwa di mahkamah sehingga UMNO diharamkan, membelakangkan Majlis Tertinggi UMNO. Mereka mencari orang yang bukan anggota Majlis Tertinggi untuk mengetuai ‘UMNO Malaysia’ tajaan mereka. Orang-orang yang mereka anggap tidak secocok dengan mereka, termasuk semua yang dipilih oleh Perhimpunan Agung untuk memegang jawatan tertentu dalam Majlis Tertinggi, diketepikan. Perkara ini samalah seperti merampas UMNO atau dalam bahasa Inggeris ‘hijack’ UMNO.
Malang bagi mereka, ‘UMNO Malaysia’ yang mereka anjurkan itu tidak dapat didaftarkan kerana Pejabat Pendaftaran Pertubuhan yang asal. Untuk membatalkan nama UMNO, Pendaftar Pertubuhan dikehendaki memberi notis tunjuk sebab atau ‘show cause’ kepada Setiausaha Agung UMNO mengapa pendaftaran UMNO tidak boleh dibatalkan. Demikian juga ‘UMNO 88’ yang ditaja oleh Majlis Tertinggi UMNO tidak boleh didaftarkan.
UMNO KEKAL
Apabila Setiausaha Agung UMNO menerima surat ‘show cause’ disamping tidak membantah kerana keputusan mahkamah tidak boleh diketepikan oleh Pendaftar Pertubuhan, Setiausaha Agung dan lain-lain ahli Majlis Tertinggi telah membuat permohonan sejurus selepas UMNO hasal dimasuhkan secara rasmi, untuk mendaftar semula UMNO yang diberi nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru) atau UMNO atau United Malays Nasional Organisation. Inilah permohonan yang pertama dan terawal untuk mendaftarsebuah parti dengan nama UMNO yang diterima oleh Pendaftar Pertubuhan selepas ia membatalkan pendaftaran UMNO yang asal mengikut peraturan dan kehendak undang-undang. Oleh itu wajarlah ia didaftarkan dan selepas itu tidak ada lagi parti lain yang boleh didaftarkan dengan nama yang sama.
Pengunaan perkataan (Baru) di hujung perkataan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu adalah hanya untuk menentukan urusan rasmi parti yang baru didaftar ini tidak dikeluarkan dengan UMNO asal yang masih mempunyai harta dan surat-menyurat yang perlu diambilalih oleh Pemegang Amanah Raya. Sebenarnya, setelah UMNO asal dibatalkan pendaftarannya, pertubuhan yang mengantikannya boleh menggunakan nama asal tanpa ditokok-tambah perkataan lain. Tetapi, perbuatan ini akan menyusahkan Pendaftaran Pertubuhan dan Pemegang Amanah Raya sewaktu mereka menguruskan harta dan urusan UMNO asal. Selain daripada keperluan ini, Pertubuhan yang didaftar pada 13hb. Februari, 1988 adalah UMNO yang asal yang menyambung segala dasar, semangat, keahlian dan perjuangan yang ditentukan pada tahu 1946. Pembatalan UMNO oleh mahkamah dan Pendaftaran Pertubuhan adalah perkara teknikal menurut kehendak undang-undang semata-mata. Walaupun daripada segi undang-undang UMNO tidak wujud buat beberapa hari, namun daripada segi perjuangan dan semangat, UMNO tetap wujud.
Sebab itulah, Kerajaan yang didokong oleh UMNO tidakpun terjejas dan ahli-ahli dewan-dewan perundangan terus menjadi ahli dan anggota Kerajaan Barisan Nasional.
Penting diingatkan pembatalan pendaftaran UMNO bukanlah kerana wujudnya cawangan –cawangan yang tidak berdaftar, tetapi kerana ianya dibawa ke mahkamah. Pada tahun 1984, setelah Perhimpunan Agung diadakan, ada ahli UMNO yang membawa UMNO ke mahkamah. Tetapi, mereka tidak meneruskan tindakan mereka sehingga UMNO diharamkan.
Setelah kejadian itu Ibu Pejabat UMNO telah menyemak semua fail cawangan UMNO dan mendapati 5,000 cawangan yang tidak berdaftar. Setelah semua cawangan didaftarkan semula, Setiausaha Agung telah mengarah supaya diadakan mesyuarat penubuhan.
Sebahagian daripada 5,000 cawangan yang didapati tidak berdaftar pada tahun 1984 telah tidak terdaftar semejak tahun 1966. Tetapi UMNO tidak diharamkan semenjak tahun 1966, kerana tidak ada ahli yang membawa UMNO ke mahkamah. Bukanlah ada tau tidaknya cawangan yang tidak berdaftar yang menjadikan UMNO tidak sah, tetapi ada atau tidaknya orang-orang yang tidak sayangkan UMNO sanggup membawa UMNO ke mahkamah.
Dengan terdaftarnya semula UMNO, maka halangan undang-undang telah diatasi dan UMNO terus bergerak seperti sediakala. Tidak wujud badan lain yang berhak mengunakan mana-mana perkataan yang terkandung dalam nama asal UMNO atau nama yang ada sekarang atau nama yang boleh dikelirukan dengan parti kita.
UMNO wujud pada hakikatnya dan tidak ada sesiapa yang boleh membuat fitnah, berpura-pura atau secara rasmi mendakwa UMNO tidak ada dan perlu dihidupkan semula. UMNO tidak mati.
UMNO bukan makhluk yang boleh hidup dan mati seperti makhluk lain. UMNO adalah Pertubuhan yang ditubuhkan mengikut undang-undang. Hanya pendaftarannya sahaja tergugat buat sementara. Segala usaha untuk menghapuskan UMNO gagal.
SERPIHAN UMNO MEMECAH BELAHKAN PERPADUAN MELAYU
Sikap pihak yang kononnya ingin menghidupkan semula UMNO jelas menunjukkan bahawa mereka tidak faham bahawa pendaftaran UMNO sahaja yang dibatalkan. Undang-undang begitu jelas bahawa yang telah dibatalkan tidak boleh disahkan semula. Ia perlu didaftarkan semula mengikut kehendak undang-undang. Ini telah dibuat apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru) atau UMNO (United Malays National Organisation) didaftarkan.
Oleh kerana mereka gagal meyakinkan majoriti ahli UMNO bahawa tindakan-tindakan mereka adalah untuk UMNO dan orang-orang Melayu, atau untuk menyatu-padukan tenaga politik orang-orang Melayu sebab sebenarnya tindakan mereka adalah untuk kepentingan diri mereka, sekarang mereka tidak segan-segan lagi mempamerkan tindakan mereka yang memecah-belah itu. Kalau dahulu mereka cuma bergerak di kalangan orang-orang Melayu untuk memburukkan kepimpinan UMNO supaya mereka boleh mengantikan pemimpin-pemimpin yang ada sekarang, sekarang secara terbuka mereka berpaling tadah menjadi pembangkang Kerajaan Barisan Nasional yang berteraskan UMNO. Mereka sudah menyeberang ke sebelah pihak pembangkang dalam Dewan Rakyat dan satu dua Dewan Undangan Negeri. Mungkin mereka akan mengundi bersama parti pembangkang setiap kali ada pengundian dalam Dewan –Dewan ini. Dalam hal yang demikian, jika ada pilihanraya, undi UMNO akan berpecah. Malahan di kawasan-kawasan tertentu UMNO akan kalah dan mereka pun akan kalah. Hanya parti lawan yang akan menang. Justeru itu DAP dan PAS mempunyai harapan yang baik kerana tindakan kumpulan serpihan ini.
Parti DAP tidak pernah bersimpati dengan imbangan kaum yang menjadi cita-cita orang Melayu dan Dasar Ekonomi Baru. Mereka sepanjang masa mengecam rancangan Kerajaan dan UMNO khususnya. Mereka mempunyai dan mempraktikkan perkauman yang tebal. Pemimpin-pemimpin mereka menghina orang-orang Melayu dan UMNO dan membuat tuduhan-tuduhan melulu terhadap UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Mereka juga mengecam konsep kerjasama antara kaum seperti yang dianjurkan oleh Perikatan dan Barisan Nasional. Pendeknya, mereka adalah musuh ketat kepimpinan Melayu dan UMNO. Mereka mendokong konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang akan membelakangkan orang-orang Melayu. Dengan konsep ini mereka akan menguasai segala-galanya: pelajaran, perniagaan, politik, sosial dan lain-lain. Dan orang-orang Melayu akan diketepikan dan ditekan seperti dimasa orang-orang Melayu dijajah dahulu.
Sekarang kerana perpecahan dikalangan orang-orang Melayu, DAP nampak peluang mereka untuk mencapai dominance sudah muncul. Dengan itu mereka begitu rajin berkerjasama dan memberi sokongan kepada kumpulan serpihan UMNO untuk melemahkan UMNO,Kerajaan Barisan Nasional dan kedudukan orang-orang Melayu.
Kumpulan serpihan UMNO ini adalah kumpulan minoriti. Jika mereka percaya kepada demokrasi sepatutnya mereka patuh kepada keputusan majoriti. Kumpulan majoriti tidak menolak mereka tetapi sifat semulajadi berkehendakkan yang kecil beralah kepada majoriti dan bukan yang majoriti mengikut yang kecil, jika penyatuan hendak dicapai.
Adalah tidak demokratik dan ganjil bagi kumpulan manoriti cuba memaksa kumpulan majoriti menerima kepimpinan mereka. Tetapi oleh kerana mereka gagal memaksa majoriti, mereka sanggup mengasingkan diri daripada majoriti dan memecah-belahkan perpaduan Melayu. Jika terjejas kedudukan dan kekuasaan Melayu sebabnya ialah kumpulan minoriti ini berdegil tidak mahu mengikut majoriti. Demikianlah degilnya mereka sehingga mereka sanggup berkerjasama dengan DAP untuk menghancurkan kedudukan dan kekuasaan Melayu melalui UMNO.
Kata kumpulan serpihan ini, sebabnya mereka tidak menyokong kepimpinan UMNO sekarang ialah kerana apabila mereka kalah dalam pemilihan, mereka digugurkan daripada Kabinet. Apakah ini begitu ganjil? Apabila Allahyarham-allahyarham Dato Onn, Dato Pangglima Bukit Gantang, Dato Zainal Abidin, DatoNik Kamil dan lain-lain pemimpin pengasas UMNO ditolak oleh majoriti UMNO, mereka tidak diterima sebagai anggota Kabinet apabila Malaya merdeka. Sungguhpun Dato Nik Kamil, Dato Panglima Bukit Gantang dan beberapa pemimpin asal UMNO tidak lagi berada dipucuk pimpinan UMNO, mereka terus berkerja keras untuk mencapai kemerdekaan. Apabila Allahyarham Dato Nik Kamil dan Allahyarham Dato CM. Yusuf merujuk balik kepada UMNO, mereka hanya dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Encik Aziz Ishak dan beberapa tokoh lain juga telah disingkirkan. Tun Hussein Onn menjadi anggota Kabinet hanya apabila Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Di masa Tun Razak pun, beberapa tokoh yang tidak secocok dengannya dikeluarkan daripada Kabinet. Dan di masa Tun Hussein, Dato Harun hilang jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor.Janganlah sesiapa berpura-pura kononnya tidak pernah ada penyinkiran dalam UMNO bagi sesiapa yang menghalang kepimpinan majoriti. Sayugia diingatkan bahawa penyingkiran daripada Kerajaan yang dibuat tahun lalu ialah kerana mereka tidak memegang kepada ikrar sumpah mereka dan kerana mereka membocorkan rahsia Kerajaan.
Dalam usaha untuk merebut kepimpinan UMNO, kecaman dibuat hanya kepada seorang pemimpin sahaja. Oleh kerana orang ini memegang jawatan yang tinggi sekali, kumpulan serpihan ini percaya jika ianya digulingkan, dan tempatnya diisikan oleh peminat utamajawatan itu, maka tokoh yang mengambil-alih jawatan itu boleh menggantikan semua pemimpin lain dengan orang-orangnya. Orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia bukanlah begitu jahil sehingga tidak faham muslihat ini. Mereka juga tidak percaya bahawa jika kumpulan serpihan ini berjaya, tidak ada menteri atau timbalan menteri yang akan disingkirkan.
DEMOKRASI ASAS UMNO DAN KERAJAAN
Sekarang ini tuduhan yang dibuat terhadap Kerajaan ialah ianya tidak demokratik. Tuduhan ini malangnya dibuat juga oleh Tunku. Kita tidak mahu menyentuh tentang pentadbiran dan tindakan-tindakan Tunku. Kita menhormati beliau sebagai seorang tokoh negara. Tetapi malangnya Tunku sendiri telah dikeliru dan diseretkan ke dalam permainan politik pihak-pihak tertentu untuk memenuhi kemahuan mereka. Sebenarnya yang tidak demokratik ialah Kerajaan Malaysia yang pertama. Umum mengetahui UMNO, Perikatan dan Kabinet tidak dirunding sama sekali apabila pengumuman dibuat mengenai penubuhan Malaysia di satu majlis di Singapura. Perkara yang sebegini besar sepatutnya diberi peluang kepada semua pihak menyuarakan pendapat mereka jika demokrasi wujud pada ketika itu. Demikian juga dengan pemisahan Singapura dari Malaysia, Dari London, keputusan muktamad dibuat untuk memisahkan Singapura daripada Malaysia. Tun Razak cuma diberitahu tentang keputusan ini.Allahyarham Syed Jaafar Albar, yang kemudian menentang tindakan itu, digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO.
Sebelum Kerajaan yang ada sekarang, kebenaran untuk mengeluarkan suratkhabar atau majalah sukar diperolehi. Kerana mengkritik UMNO, akbar Mingguan Warta yang diterbitkan di Singgapura telah dikeluarkan dari Stesyen Keretapi Johor Bahru dan kemudian dibakar atas arahan Presiden UMNO. Akhbar Utusan Melayu pula diambil-alih oleh UMNO. Akbar Straits Times juga dibeli oleh UMNO. Dengan ini tidak ada akhbar yang mengkritik Kerajaan pada masa itu. Apabila akhbar Cina Press mengkritik Kerajaan, lesennya ditarik balik.
sebaliknya semenjak tahun 1981, permit KDN dikeluarkan dengan mudah untuk sesiapa sahaja, termasuklah mereka yang menentang Kerajaan. Jika disemak, banyak akhbar dan majalah dicetak selepas tahun 1981. Banyak daripada akhbar dan majalah yang mendapat KDN menentang Kerajaan. Hanya jika mereka cuba melaga-lagakan kaum-kaum barulah KDN mereka ditarik balik seperti yang dibuat pada bulan Oktober tahun 1987.
Berkenaan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA pula, lebih daripada dua ribu orang berada dalam tahanan semasa pemerintahan tiga Perdana Menteri dahulu. Bukan sahaja komunis yang dimasukkan kedalam tahanan, tetapi juga anggota-anggota parti PAS, Parti Buruh dan parti DAP ditahan dibawah ISA. Encik Lim Kit Siang dimasukkan kedalam tahanan pada tahun 1969. Encik Aziz Ishak dimasukkan ke dalam tahanan. Saudara Anuar Ibrahim juga dimasukkan kedalam tahanan. Apakah benar dakwaan bahawa hanya komunis sahaja yang dimasukkan ke dalam tahanan dahulu?
Pada penghujung tahun 1968 dan awal tahun 1969, Parti Buruh telah mengadakan perletakan jawatan wakil rakyat mereka seorang demi seorang untuk mengganggu Kerajaan. Apabila tidak ada tindakan yang diambil terhadap mereka? Kepimpinan pada masa itu telah mengutuk tindakan tersebut. Kemudian Perlembagaan telah dipinda di mana sekiranya berlaku kekosongan kerusi di Dewan Rakyat dalam tempoh masa enam bulan sebelum tamat hanya biasa Parlimen, kekosongan itu tidak akan dipenuhi. Mengenai Majlis-Majlis Bandaran pula, pemilihan anggota-anggata Majlis dilantik oleh Kerajaan apabila didapati parti lawan selalu menguasai Majlis Bandaran dan mempolitikkan pentadbiran Bandar-bandar.
Apa yang dibuat oleh Kerajaan sekarang telah dibuat oleh Kerajaan sebelum ini. Bahkan ada tindakan-tindakan Kerajaan pimpinan Perdana-Perdana Menteri dahulu yang lebih tidak demokratik. Apabila ada tindakanoleh Kerajaan untuk mengawal keamanan, hanya parti-parti lawan dan akhbar-akhbar asing sahaja yang membuat tuduhan Kerajaan tidak demokratik.Ahli-ahli UMNO, Perikatan dan Barisan UMNO mengalu-alukan tindakan Kerajaan. Jika disemak catatan perbahasan dalam Dewan Rakyat dan akhbar-akhbar pada masa itu, apa yang diperkatakan ini akan didapati benar.
Jika hari ini terdapat tuduhan yang kerajaan tidak demokratik, sebabnya ialah kerana segelintir bekas ahli UMNO yang kecewa dan ingin memburukkan imej Kerajaan supaya tindakan mereka untuk merebut jawatan parti dan Kerajaan akan disokong oleh pihak-pihak tertentu dan akhbar-akhbar asing. Sebenarnya merekalah yang tidak demokratik. Merekalah yang menolak keputusan ramai. Apabila mereka berkuasa dahulu, mereka bertindak secara kejam, menyinkirkan orang-orang yang mereka tidak suka, bertindak kasar kepada sesiapa yang tidak mahu menurut mereka. Ramai yang tidak bersetuju dengan mereka tidak dicalonkan sebagai wakil rakyat di negeri-negeri yang mereka menjadi ketua perhubungan. Siapakah yang sebenarnya tidak demokratik. Kerajaan-Kerajaan dahulu tau Kerajaan yang ada sekarang.
UNDANG-UNDANG DAN PEMERINTAHAN
Negara kita bukan sahaja demokrati tetapi pemerintah negara ini juga tertakluk kepada dan mendokong kedaulatan undang-undang. Dalam pentadbiran yang diasaskan kepada undang-undang, ada prinsip-prinsip tertentu yang mesti diikuti. Di antara prinsip-prinsip ini ialah tidak ada sesiapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang.
Memang benar Raja-Raja yang memerintah tidak tertakluk kepada undang-undang biasa. Tetapi mereka pun tidak bebas sehingga boleh melakukan sebarang jenayah. Pada hakikatnya kita semua, sama ada kita Perdana Menteri atau buruh kasar, sama ada kita hakim atau pesalah- semuanya tertakluk kepada undang-undang.
Tetapi undang-undang yang kita gunakan secara am adalah undang-undang yang dibentuk oleh kita melalui Dewan-Dewan Undangan mengikut kehendak Perlembagaan Negara. Daripada segi undang-undang, Perlembagaan adalah undang-undang yang tertinggi sekali, yang mengatasi undang-undang lain.
Oleh kerana undang-undang negara kita digubal oleh kita manusia dan bukannya undang-undang Tuhan, kita boleh meminda undang-undang ini jika perlu. Tetapi pindaan ini tertakluk kepada prinsip-prinsip tertentu. Kita tidak boleh meminda undang-undang sehingga keputusan mahkamah di batalkan. Jika kita berbuat demikian, Parlimen akan menjadi mahkamah yang lebih tinggi daripada Mahkamah Agung. Apa yang boleh dibuat oleh Parlimen ialah meminda undang-undang untuk digunakan pada masa hadapan.
Untuk menentukan hakim-hakim bebas daripada tekanan mana-mana pehak, peruntukan khas dibuat dalam perlembagaan supaya hakim tidak mudah disingkirkan. Kerajaan atau rakyat atau raja yang memerintah tidak berkuasa menyinkirkan hakim-hakim. Hanya hakim-hakim sahaja yang berhak menyinkirkan mana-mana hakim melalui prosedur tertentu, iaitu melalui sebuah Tribunal yang dianggotai hanya oleh hakim-hakim. Pihak Raja yang memerintah tertakluk kepada nasihat Tribunal itu. Ahli-ahli politik tidak boleh campurtangan dalam hal ini. Demikian peruntukan Perlembagaan.
Peruntukan ini tidak akan dibuat jika mereka yang menggubal Perlembagaan Malaysia tidak mahu hakim yang bersalah disingkirkan. Bahawa peruntukan ini dibuat dalam Perlembagaan menunjukkan betapa seriusnya pandangan penggubal Perlembagaan terhadap kedudukan hakim dan kebebasan kehakiman. Tetapi mereka juga tahu hakim adalah manusia biasa yang mungkin membuat kesalahan. Oleh itu, dalam situasi yang tertentu, melalui proses tertentu, mereka boleh dipecat.
Ramai daripada penentang Kerajaan yang bercakap tentang ‘Pemerintahan Undang-undang’ atau ‘Rule of Law’ tetapi dimasa yang sama mendesak supaya undang-undang yang sedia ada tidak digunakan bagi orang-orang tertentu, khususnya Ketua Hakim Negara. Apakah maknanya ‘Rule of Law’ jika ada pilih kasih dan diskriminasi pula dalam kegunaannya?
Penyikiran hakim mungkin tidak pernah dibuat di Malaysia. Ini adalah kerana dahulu hakim-hakim tidak melanggar undang-undang.Tetapi di negara-negara lain seperti Kanada, Amerika Syarikat, United Kindom dan India, penyinkiran hakim pernah dibuat. Apakah yang istimewa sangat dengan hakim di Malaysia sehingga mereka dianggap lebih tinggi daripada undang-undang?
Sekarang orang yang bercakap tentang ‘Rule of Law’ dan kononnya berjuang untuk kebebasan kehakiman mahu membawa pindaan undang-undang supaya keputusan mahkamah dibatalkan oleh Parlimen. Apakah benar dakwaan mereka bahawa mereka menjunjung tinggi pemerintahan berasaskan undang-undang atau Rule of Law? Atau adakah kepentingan politik dberita dan kegiatan kumpiri sendiri yang menyebabkan mereka berpendirian demikian terhadap pemecatan hakim?
Segala hasutan dan tindak-tanduk yang membawa perpecahan dalam UMNO dan dikalangan orang-orang Melayu berpunca daripada mereka ini. Mereka yang mencabar kepimpinan. Mereka yang tidak mahu menerima keputusan pemilihan Perhimpunan Agung. Mereka yang membuat dakwaan dimahkamah sehingga UMNO dihukum tidak sah. Mereka yang cuba ‘hijack’ UMNO dengan menaja parti ‘UMNO Malaysia’ yang membelakangkan pemimpin-pemimpin yang telah dipilih oleh Perhimpunan Agung tetapi yang mereka tidak setuju. Mereka yang berkempen dan menghasut di merata-rata tempat untuk memecah-belahkan UMNO. Mereka yang meletakkan jawatan dan memaksa pilihanraya kecil diadakan sehingga orang-orang Melayu terkeliru dan berpecah. Mereka yang menyeberang Dewan dan menyertai kumpulan pembangkang. Semua ini dan bermacam-macam tindakan buruk diambil oleh mereka, tetapi mereka menuduh kita pihak majoriti yang menyebabkan segala-galanya. Sebenarnya, kita pihak majoriti hanya mempertahankan diri daripada tohmahan fitnah dan tindakan mereka.
Tindakan mereka ini disokong dan digalakkan oleh akhbar-akhbar dan majalah-majalah asing tertentu dan kumpulan pembangkang dalam negeri. Sokongan daripada media asing tertentu ini bukanlah kerana mereka sayang kepada kumpulan serpihan ini. Tujuan mereka ailah supaya kestabilan dan kemajuan Malaysia terjejas dan orang-orang Melayu dilumpuhkan.
ANCAMAN TERHADAP PEMBANGUNAN NEGARA
Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia sudah mencapaikan kemajuan yang pesat dalam bidang telah dapat bersaing dengan negara-negara yang sudah maju. Ada pihak-pihak di negara-negara maju yang tidak senang dengan kejayaan ini dan mereka amat gembira jika pembangunan negara membangun seperti Malaysia tergugat oleh politik yang menjejaskan kestabilan. Sebab itulah apabila ada sahaja golongan kecil yang boleh mencetuskan kekacauan, mereka membesar-besarkan berita dan kegiatan kumpulan kecil ini. Ada media asing yang sengaja tidak melaporkan apa yang benar tetapi membuat ramalan yang memburukkan keadaan serta menggalakkan kumpulan-kumpulan kecil ini untuk bertindak dengan lebih berani dan dengan lebih tidak bertanggungjawab.
Ada media asing yang sering mengecam Malaysia sebagai tidak demokratik bukan sahaja sekarang ini tetapi juga semenjak negara kita mencapai kemerdekaan lagi. Sekarang mereka mendakwa bahawa kononnya Malaysia dimasa dahulu adalah contoh negara membangun yang demokratik. Tetapi jikalau dibaca balik laporan-laporan mereka dahulu, dakwa Malaysia tidak demokratik dan mendiskriminasi antara kaum telah dibuat bertalu-talu dimasa pemerintahan Tunku, Tun Razak dan Tun Hussein. Sekarang mereka cuba melaporkan seolah-olah dahulu mereka tidak pernah berkata yang Malaysia tidak demokratik atau mengamalkan diskriminasi antara kaum.
Tujuan media asing dan kumpulan-kumpulan tertentu ini ialah untuk menjejaskan kestabilan dan pembagunan Malaysia. Ada juga unsur-unsur anti-Islam dalam sikap mereka. Ada juga perasaan bahawa orang-orang tempatan terutamanya orang-orang Melayu dan Islam tidak mampu memerintah diri sendiri, jauh sekali mencapai kemajuan. Oleh itu sesiapa sahaja yang menentang kestabilan dan menimbulkan masalah kepada negara akan mendapat sokongan mereka. Dalam hal ini, kumpulan serpihan UMNO telah diperalatankan oleh media asing untuk menjejaskan pembangunan Malaysia. Tetapi kumpulan ini rela diperalatkan kerana bagi mereka adalah lebih baik Malaysia kucar-kacir dan tidak maju asalkan mereka mendapat sokongan pihak asing untuk kepentingan diri mereka. Jika orang-orang Melayu menjadi lemah dan mundur, itupun tidak mengapa kerana ini juga akan menolong mereka mendapat sokongan.
Walaupun kumpulan minoriti ini meneruskan tindak-tanduk mereka, Parti UMNO dan Kerajaan akan terus berusaha untuk memajukan negara. Matlamat kita ialah keadilan sosial, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik. Kita ingin menentukan bahawa kaum-kaum yang ada di Malaysia akan mendapat habuan atau bahagian masing-masing secara adil. Oleh kerana kaum bumiputera dan orang-orang Melayu khususnya masih lagi ketingalan, usaha-usaha membantu mereka akan diteruskan supaya mereka mendapat bahagian-bahagian yang adil. Disamping itu, kita tidak akan merebut apa yang telah ditentukan untuk bukan bumiputera.
DASAR EKONOMI BARU DAN EKONOMI NEGARA
Pada tahun 1990 Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan diulangkaji. Matlamat kaum bumiputera belum dicapai sepenuhnya. Walau bagaimanapun, kita telah dapat mengenal-pasti kelemahan-kelemahan DEB. Pemberian peluang, kemudahan, modal dan tenaga oleh Kerajaan tidak mencukupi untuk menjayakan perniagaan dan perusahaan yang diberi milik kepada bumiputera, sama ada secara lansung atau melalui badan-badan kepentingan bumiputera. Dalam hal ini, kecekapan pengurusan adalah perkara yang amat penting, dan ini sukar terdapat dikalangan bumiputera.
Justeru itu, hanya melanjutkan DEB tidak akan memberi faedah sepenuhnya kepada bumiputera. Untuk menjayakan usaha mengimbangakan bumiputera dengan bukan bumiputera, pengetahuan dan pengalaman bumiputera mesti dipertingkatkan melalui berbagai-bagai cara. Antara cara yang berkesan sekali ialah dengan menjadi apprentice kepada orang yang cekap dalam bidang pengurusan. Disini kaum lain, sama ada rakyat Malaysia atau asing, dikehendaki memainkan peranan penting. Kaum-kaum lain mestilah faham bahawa lebih cepat mereka menolong bumiputera memperolehi kecekapan yang diperlukan, lebih cepat pengimbangan antara bumiputera dengan bukan bumiputera dapat dicapai. Selagi bumiputera tidak diberi pertolongan dalam bidang pengurusan sehingga mereka mampu bersaing,selagi itulah pencapaian DEB tidak akan memuaskan. Dalam menjayakan usaha ini bumiputera tidak boleh menunggu sahaja. Mereka mesti membetulkan kesalahan dan kelemahan diri mereka.
Kerajaan akan memberi galakan kepada usahasama bumiputera dengan bukan bumiputera asalkan bumiputera memainkan peranan yang bermakna dalam pengurusan. Kita tidak akan membelakangkan syarikat yang berkebolehan, tetapi kita harus sedar bilangan mereka tidak banyak dan mereka mungkin tidak berupaya dengan sendiri mengambilalih 30% saham syarikat yang ditentukan untuk bumiputera. Memberikan sesuatu projek kepada sesuatu syarikat yang 100% dimiliki oleh bumiputera hanya kerana ianya 100% bumiputera, sedangkan ia tidak berupaya menguruskan projek itu adalah perbuatan yang mengkhianati matlamat kita untuk menolong bumiputera. Bilangan bumiputera yang dahulu tidak ada masalah kewangan, tetapi sekarang diserang oleh bank dan menjadi muflis telah meningkat kerana cuba melaksanakan bilangan projek yang lebih dari kemampuan, kurang kecekapan pengurusan dan tidak berupaya mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda dunia. Justeru itu kerajaan akan meneliti kemampuan mereka secara mendalam sebelum memberikan sesuatu projek kepada bumiputera.
Kerajaan sedar pengkritiknya akan menjadi perkara-perkara ini sebagai isu politik. Sebenarnya ramai daripada pengikut-pengikut kumpulan tertentu terdiri daripada orang-orang yang mempunyai masalah kewangan kerana mereka telah menyalahgunakan pinjaman-pinjaman yang telah diperolehi dan sekarang ini tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut. Kita tidak akan gentar dengan ancaman kumpulan ini.
Kita tidak berniat menjadikan peniaga dan pengusaha Melayu muflis supaya mereka akan bergantung kepada kita. Kita ingin menjadikan orang-orang Melayu usahawan dan peniaga yang cekap, yang berdikari dan mampu bersaing dengan sesiapa sahaja dengan jayanya.
Matlamat ekonomi kita ialah menegakkan asas yang kukuh untuk Malaysia membangun sehingga sampai ke tahap negara yang maju. Matlamat ini bukan mustahil dicapai. Banyak negara-negara maju dan negara-negara industri baru atau NICs adalah dahulunya negara-negara pertanian yang mundur. Tetapi oleh kerana mereka memasuki bidang perindustrian dengan bersungguh-sunguh hari ini mereka maju.
Ada yang berpendapat bahawa kita terlalu bercita-cita tinggi. Pendapat ini adalah pendapat orang yang mudah mengaku kalah atau ‘defeatist’ hasil sikap kurang percaya kepada diri sendiri. Sebenarnya kita bukan sahaja mampu tetapi kita tidak ada pilihan. Walaupun bidang pertanian merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang penting, namun demikian pertanian tidak mungkin mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi puluhan ribu lulusan sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi setiap tahun. Lagi pula pengunaan jentera dan teknologi moden akan mengurangkan lagi pengunaan para pekerja ladang. Hanya sector industri sahaja yang boleh menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi dan mewujudkan kekayaan yang boleh mengimbangi antara bumiputera dengan bukan bumiputera, dan antara negara kita dengan negara-negara lain.
PERINDUTRIAN DAN TEKNOLOGI MODEN
Kita hidup di zaman persaingan. Apa yang boleh dibuat oleh kita boleh juga dibuat oleh orang lain dan sebaliknya. Sebenarnya tidak ada barangan buatan yang tidak boleh kita buat. Yang akan menentukan jaya atau tidaknya barangan buatan kita itu ialah kos dan mutunya. Disini kita perlu kepada pengurusan yang cekap, pengurusan yang tahu mengawal kewangan dan kos, yang faham akan cara dan kegunaan jentera serta teknologi pengeluaran yang terbaik untuk sesuatu industri.
Tidak kurang pentingnya bagi pertumbuhan ekonomi ialah mutu perkhidmatan dan hasil usaha kita. Jika kita terkenal dengan perkhidmatan yang buruk dan barang buatan kita tidak bermutu, maka pertumbuhan industri, dan dengan itu pertumbuhan ekonomi juga akan terjejas.Sebaliknya jika perkhidmatan kita baik dan hasil kerja kita bermutu, bukan sahaja para pelabur akan melabur di negara kita, tetapi juga ramai para pelawat dan pelancong akan berkunjung ke Malaysia dan akan membelanjakan wang dengan banyaknya. Ini bukan sahaja akan menambahkan peluang-peluang pekerjaan tetapi juga meningkatkan pendapatan para pekerja. Sebenarnya, barangan atau perkhidmatan yang bermutu tinggi tidak sukar dipasarkan dengan harga yang juga tinggi dan lebih menguntungkan. Harga yang murah untuk yang tidak bermutu tidak menjaminkan penjualan yang laris di pasaran moden ini.
Disini kita perlukan sikap berbangga atau ‘pride’ dengan apa juga hasil kerja kita. Perkhidmatan dan barangan yang bermutu tinggi hasil usaha kita bukan sahaja akan memberi pendapatan yang lumayan, tetapi juga akan memberi kepuasan kepada kita. Masyarakat pula harus menghargai dan menyanjung tinggi mereka yang mengeluarkan barangan yang bermutu atau perkhidmatan yang baik. Kualiti hendaklah menjadi salah satu nilai yang dikejar oleh masyarakat Malaysia dan mereka yang mencapai kualiti yang tinggi harus diiktiraf dan disanjung tinggi dan diberi tempat yang istimewa dalam masyarakat.
Mengapa kita hendak sangat mengejar taraf negara maju ini? Hasrat kita bukanlah semata-mata untuk mendapatkan pendapatan yang lebih supaya boleh hidup mewah, boleh berehat dan melancong ke sana sini.
Hasrat kita ialah supaya negara dan masyarakat kita dihormati, disegani dan diterima sebagai setaraf dengan mereka yang sudah maju. Hasrat kita ialah supaya kita tidak perlu bergantung kepada sesiapa. Hasrat kita ialah supaya kita tidak perlu mengukit telunjuk orang. Kesimpulannya ialah supaya kita bebas dalam segala-galanya.
Untuk mencapai taraf ini, kita perlu mendapat pendapatan per kapita yang sama dengan pendapatan per kapita yang sama dengan pendapatan per kapita negara maju.Banyak negara membangun sudah mempunyai angka per kapita yang sekali ganda lebih tinggi daripada negara maju tetapi masih ditakrif sebagai negara membangun. Untuk mencapai taraf negara maju, kita memerlukan peningkatan pengetahuan dalam semua bidang sehingga setaraf atau lebih daripada taraf pengetahuan penduduk negara maju.
Pengetahuan yang dimaksudkan bukan semata-mata daripada segi memperolehi ijazah tetapi pengetahuan dan kebolehan mencipta, merekabentuk, membuat barangan buatan yang bermutu dan sofistikated dengan mengunakan segala jenis logam, bahan mentah semula jadi dan bahan-bahan tiruan seperti plastik, carbon fibre, composites dan lain-lain lagi. Kita mesti berkebolehan mengunakan elektronik dan laser dalam barangan buatan dan ciptaan kita.
Kita tidak mungkin membuat semua barangan buatan yang ada. Banyak yang tidak dapat tidak, mesri didapati daripada punca luar negeri. Tetapi kita perlu tahu akan cara membuatnya. Bagi kita, tumpuan akan diberikan kepada beberapa bidang mengikut keutamaan yang ditentukan oleh kita.
Malaysia mestilah juga mempunyai rakyat yang cekap dan berpengetahuan dalam bidang pengurusan. Mereka peril tahu selok-belok perniagaan dan boleh berniaga dengan jayanya. Setiap rakyat Malaysia mesti tahu bahawa kerja mereka, di samping memberi pendapatan kepada mereka sendiri, juga mesti menambah kekayaan negara. Mereka harus ingat bahawa yang memberi peluang dan pendapatan kepada mereka ialah negara Malaysia ini.
Untuk mencapai semua ini, rakyat Malaysia dikehendaki mempunyai nilai-nilai hidup dan etika kerja yang mulia. Kita mahu sampai ketahap dimana rakyat Malaysia terkenal bukan sahaja kerana kecekapan tetapi juga kerana mereka jujur dan tidak mungkir janji, kerana mereka tidak menipu dan mereka rajin serta setia kepada negara.
SEJARAH SEBAGAI PEDOMAN
Dalam sejarah manusia terdapat banyak negara yang mudur tetapi kemudiannya telah menjadi maju, kaya dan kuat. Tetapi setelah itu prestasi mereka merosot semula sehingga mereka hilang ditelan zaman. Demikianlah dengan negara Parsi lama, Yunani, Roma, Cina di zaman Kublai Khan dan Genghis Khan, Sri Vijaya, Majapahit, dan Egypt di zaman Firaun. Demikian juga dengan Empayar Islam yang pada satu ketika dahulu menjadi Empayar yang terbesar sekali di dunia, meliputi Sepanyol di Barat hingga ke Cina di Timur. Di zaman moden, Empayar British juga mengalami nasib yang sama.
Jelas daripada contoh-contoh ini bahawa kemajuan sesebuah negara kekal. Oleh itu mungkin ada yang bertanya apa gunanya kita mengejar kemajuan? Tidakkah lebih baik jika kita berpuas hati dengan yang sedikit yang ada pada kita dan sebaliknya kita mengejar ketenangan jiwaa sebelum kita kembali ke Rahmatullah?
Yang pertama, masalahnya dalam dunia moden ini ialah kita tidak akan dibenarkan hidup sempurna, dan kita tidak boleh mendapat ketenangan jiwa jikalau kita tidak maju dan tidak boleh mempertahankan diri kita. Yang keduanya, menumpukan kepada ketenangan jiwa untuk diri sendiri sahaja adalah sifat yang tamak, yang bercanggah dengan ajaraan agama kita, agama Islam. Kita mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan agama.
Kejatuhan setengah-setengah negara yang maju adalah disebabkan keruntuhan akhlak atau kehilangan pedoman agama. Apabila pemimpin-pemimpin Empayar Islam lupa kepada ajaran Islam dan mereka asyik dengan keseronokan hidup, maka Empayar mereka pun merosot. Terdapat Sultan-Sultan dan ketua-ketua negara-negara Islam di masa dahulu yang menyalah-gunakan kedudukan mereka semasa negara mereka maju. Wang negara dibelanjakan untuk diri sendiri. Kemiskinan dan penderitaan rakyat tidak dihiraukan. Ajaran Islam ditafsirkan mengikut nafsu sendiri.
Akibatnya kemajuan negara mereka merosot. Mereka tidak lagi sanggup dan sedia mempertahankan negara mereka seperti yang dituntut oleh agama Islam. Mereka tidak memberi perhatian kepada pembangunan pengetahuan dan teknologi. Sementara musuh mereka mencipta alat-alat perang dan lain-lain yang meningkatkan kekuatan dan keupayaan mereka, pemimpin-pemimpin Islam bukan sahaja asyik melaungkan sejarah kegemilangan mereka dahulu, tetapi membuat tafsiran-tafsiran agama yang menghalang kemajuan. Mereka lebih menitikberatkan perkara remeh-temeh daripada perkara kemajuan dan penigkatan kemampuan negara. Larangan terhadap lukisan sebarang gambar umpamanya dianggap sebagai begitu utama sedangkan suruhan Tuhan supaya bersedia menentang musuh diketepikan.
Layanan terhadap rakyat yang bukan sebangsa dengan pemerintah,sama ada Islam atau bukan Islam, amatlah kejam dan menghina. Dengan itu berbagai suku bangsa bersubahat dengan musuh Empayar Islam dengan niat menjatuhkannya. Akhirnya, hancurlah Empayar Islam.
Demikian juga dengan lain-lain empayar dan negara yang maju dan kuat. Apabila sahaja maju, maka pemimpin dan rakyat lupa akan tanggungjawab mereka, asyik dengan kemewahan dan kemudiannya menjadi lemah. Maka komplot-komplot pun tumbuh seperti cendawan untuk merebut kuasa. Akhirnya, kemajuan merosot dan mereka kembali menjadi mundur.
ISLAM
Memandang akan gejala-gejala yang menimpa negara-negara maju, maka amatlah penting bagi kita menanam dengan kuat ajaran Islam yang sebenar supaya terbentuk peribadi bangsa dan individu yang tidak akan lupa daratan. Sementara kita berusaha membangunkan bangsa Melayu khususnya sehingga ketahap bangsa yang maju, agama tidak boleh diabaikan.
Tekanan perlu diberi bukan kepada rupa bentuk yang dikatakan Islam tetapi kepada amalan nilai-nilai yang mencerminkan peribadi Islam yang sebenar. Orang-orang Melayu yang akan maju kerana pengetahuan dan kecekapan mestilah mempunyai nilai-nilai mulia seperti keikhlasan, kejujuran, beramanah, bertanggungjawab, keberanian dan lain-lain sifat yang mulia supaya pengetahuan dan kecekapan mereka tidak disalahgunakan.
Mungkin ada yang akan berkata ini adalah terlalu idealistik dan sukar dicapai. Bagic setengah orang Islam lebih mudah dicapai rupabentuk yang dikatakan Islam daripada apa sebenarnya dituntut oleh Islam. Jika orang-orang Melayu berpegang kepada ajaran Islam, mereka harus cuba mengamalkan nilai-nilai Islam yang sebenar dan yang mulia ini. Kita telah melihat bagaimana kemewahan sebelum resessi baru-baru ini telah menjadikan ramai rakyat Malaysia termasuk orang-orang Melayu begitu tamak sehingga yang sudah kaya pun sanggup menipu dan menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka. Perasaan tamak juga telah membawa kepada perpecahan di kalangan orang-orang Melayu dan kepada percubaan merebut kuasa kerana kepentingan diri. Oleh itu ada yang berpendapat mungkin lebih baik jika kita tidak mengejar kemajuan dan sebaliknya kekal dengan kemunduran kita.
Tetapi sekali lagi perlu ditekankan, kita tidak mempunyai pilihan. Jika kita mundur kita akan dihina dan ditindas oleh orang-orang lain. Kita mungkin dikuasai oleh negara-negara dan orang-orang bukan Islam yang maju. Bahkan kita mungkin dipisahkan daripada agama Islam. Oleh itu, kita harus cuba menerapkan nilai-nilai yang unggul atau ideal walaupun kita tidak mungkin berjaya sepenuhnya. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai orang-orang Islam yang bermaruah dan berhemah tinggi. Memandangkan kepada hakikat ini, maka Kerajaan akan menumpukan perhatian yang khusus dan memberikan peruntukan yang wajar kepada pelajaran agama, dakwah Islamiah dan latihan rohaniah supaya pegangan kepada agama Islam akan menjadi benteng kepada orang-orang Melayu dan orang-orang Islam yang lain, dalam kita mengejar kemajuan. Tekanan akan diberi kepada pembentukan peribadi yang benar-benar Islam.
Dalam usaha ini, imbangan akan diberikan kepada ilmu-ilmu duniawi dengan bekalan untuk akhirat. Inbangan ini dituntut oleh agama Islam. Seperti mana kita tidak mahu orang-orang Islam yang tamak,mementingkan diri sendiri dan yang semata-mata memikirkan kepentingan mereka di akhirat, begitu juga kita tidak mahu orang-orang Islam yang terlalu taksub dengan kemajuan didunia sehingga mereka lupa akan akhirat. Untuk maksud ini, para pendidik agama perlu memberi penjelasan dan tekanan terhadap imbangan antara dunia dan akhirat.
Gerakan dakwah akan diberi perhatian yang lebih oleh Kerajaan. Peruntukan serta kakitangan yang lebih akan diadakan untuk tujuang ini. Kurikulum dakwah tidak sepatutnya terserah semata-mata kepada budi bicara dan kefahaman individu-individu yang mungkin mengelirukan dan memesongkan akidah umat Islam.
Sumbangan dan kekesanan institusi-institusi pelajaran agama, daripada taman-taman asuahan sehinggalah ke universiti-universiti, kepada pembentukan umat islam yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam akan dikaji semula supaya sesuai dengan kehendak agama Islam yang sebenar dan bukan kehendak kumpulan-kumpulan tertentu. Penyelewengan yang sedang berlaku mesti dihapuskan.
Tugas mengembangkan kefahaman agama yang betul dan benar serta usaha membangunkan negara adalah sebahagian daripada ibadat yang wajid ditunaikan oleh semua umat Islam di Malaysia. Kerajaan akan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai sebahagian daripada ibadat kepimpinan Kerajaan, sebagai satu fardu kifayah. Kita mesti berusaha menentukan bahawa walaupun kemajuan dicapai, orang-orang Melayu akan terus insaf dan sedar dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Dengan itu kita tidak akan dilanda dengan masalah tertentu seperti yang dialami oleh beberapa buah negara yang maju.
PERANAN PENDIDIKAN
Dalam usaha membangunkan bangsa dan negara, pendidikan memainkan peranan yang amat penting. Dalam hal ini, peranan pendidikan perlu dikaji dari semasa kesemasa dan tekanan diberi kepada kaitan ilmu yang dipelajari dengan kerja yang akan dilaksanakan. Ijazah dari institusi pengajian tinggi tidak bermakna semua kerja boleh dibuat oleh pemegangnya. Demikian juga keperluan negara dalam zaman teknologi. Kegunaan teknologi moden secara praktik mestilah diberi perhatian yang sewajarnya di sekolah-sekolah dan universiti-universiti. Sementara kita perlu memberi tempat kepada sastera demi pembentukan peribadi bangsa, kita harus ingat bahawa pertumbuhan industri memerlukan mereka yang bukan sahaja tahu bagaimana alatan moden berfungsi, tetapi perlu tahu secara praktik atau ‘hand on’ bagaimana mengeluarkan barangan-barangan buatan, penggunaan bahan-bahan baru, dan menguruskan kerja-kerja yang perlu dalam proses perkilangan.
Kita tidak mahu jurutera yang berkolar putih, yang duduk dalam bilik berhawa dingin dan berfungsi sebagai pentadbir. Kita tidak mahu para professional yang mengejar ijazah seumur hidup tanpa mengunakan pengetahuannya dalam kehidupan diri dan masyarakat. Kita tidak mahu terlalu ramai yang mengejar ilmu hanya untuk mengembangkan ilmu itu secara teori sahaja. Yang kita kehendaki ialah mereka yang setelah lulus ijazah pertama akan mengunakan pengetahuan itu secara praktikal. Setelah jelas ilmunya berguna dan ia mampu menghasilkan sesuatu, dan setelah beberapa tahun belalu, barulah ia harus diberi peluang mengejar ijazah yang lebih tinggi. Selepas itu, sekali lagi ilmu yang diperolehi digunakan secara praktikal. Hanya apabila seseorang itu terlatih dalam jurusan tertentu,mempunyai pengalaman yang luas dan umurnya telah meningkat, barulah seseorang itu diberi tempat sebagai pentadbir atau sebagai pengembang ilmu. Dan sebagai pentadbir mereka akan mendapat tempat dan peluang yang sama dengan pihak pentadbir yang lain.
Ringkasnya, pendidikan diadakan dengan tujuan penggunaan ilmu secara praktikal, supaya proses industrialisasi negara dapat dipertingkatkan. Dalam usaha ini, ijazah tidak harus diberikan penilaian otomatis. Yang tidak berijazah tetapi nyata cekap dan berpengalaman akan mendapat peluang, kenaikan pangkat dan gaji yang sama dengan yang berijazah.
Dalam sesebuah negara yang pesat membangun, belajar kerana semata-mata ingin belajar tidak harus mendapat penilaian yang tinggi jika dibandingkan dengan belajar dengan tujuan mengunakan ilmu pengetahuan itu bagi kemajuan masyarakat dan negara.
HASIL KERJA YANG BERNILAI TINGGI
Di Malaysia kita biasanya menganggap sesuatu kerja itu sebagai cara mendapat pendapatan dan sara hidup sahaja. Ini wajar. Tetapi hasil kerja juga perlu diberikan tempat yang tinggi dalam penilaian kita. Kerja yang menghasilkan sesuatu yang baik dan bermutu tinggi mestilah dihargai dan dibanggakan.
Jika kita ingin maju, terutama dalam bidang pengurusan dan pembuatan, apa yang dihasilkan daripada kerja kita amat mustahak. Tidak ada gunanya kita mengurus tetapi tidak mendapat keuntungan. Tidak ada gunanya kita berusaha tetapi hasilnya ialah barangan yang tidak bermutu, yang tidak boleh diguna dan dipasarkan. Kualiti yang tinggi dan kos yang rendah mestilah menjadi tumpuan dan matlamat setiap pekerja, sama ada buruh atau pengurus atau pengarah, sama ada dalam Kerajaan atau swasta.
Penghargaan juga perlu diberikan kepada pekerja-pekerja kolar biru. Pekerja-pekerja kolar biru yang menghasilkan barangan, membina atau mencipta sesuatu atau memperbaiki alatan dengan cekap tidak boleh dianggap kurang penting. Mereka mestilah dilayan sekurang-kurangnya sama dengan pekerja-pekerja kolar putih dari segi gaji, peluang naik pangkat dan lain-lain keistimewaan jika mereka menghasilkan barangan yang bermutu dalam proses industrialisasi kita.
Di masa dahulu barangan buatan dikeluarkan oleh negara-negara maju semata-mata. Kita hanya mengeluarkan barangan mentah yang kita jual dengan harga yang ditentukan oleh pembeli. Tetapi sekarang jelas kita juga mampu mengeluarkan berbagai-bagai jenis barangan buatan.
Oleh kerana sara hidup kita rendah, maka kos barangan buatan kita juga rendah dan kita mampu bersaingan di pasaran dunia dengan barangan buatan daripada negara-negara maju. Ini menyebabkan pengusaha-pengusaha dan pekerja-pekerja di negara-negara maju khuatir nasib dan taraf hidup tinggi mereka akan terancam.
Pengusaha-pengusaha di negara-negara maju cuba menggatasi saingan daripada negara-negara membagun dengan memindahkan industri-industri mereka ke negara-negara membangun. Ini menyebabkan industri-industri tidak tumbuh dengan pesat seperti dahulu di negara-negara maju. Pekerja-pekerja di negara-negara maju tidak lagi dapat menuntut kenaikan gaji yang tinggi sepanjang masa. Kita bersimpati dengan para pekerja di negara-negara maju tetapi apakah pekerja-pekerja kita harus menganggur supaya pekerja-pekerja negara-negara maju hidup mewah dan semakin mewah? Kita juga berhak mendapat pekerjaan dan pendapatan yang kian meningkat dan taraf hidup yang tinggi.
Untuk mencapai tujuan ini, Kerajaan menggalakkan pelaburan asing melalui insentif-insentif cukai yang dibantu dengan paras gaji yang berpatutan berbanding dengan negara-negara maju, walaupun paras gaji ini tinggi jika di bandingkan dengan negara-negara jiran. Strategi ini berjaya menarik para pelabur asing dan industri-industri baru yang mewujudkan ribuan peluang pekerjaan-pekerjaan bagi rakyat Malaysia. Harus diingat bahawa walaupun pendapatan kita rendah, kos sara hidup kita juga rendah. Rumah murah yang kita jual dengan harga $25,000 di Malaysia berharga hamper sepuluh kali ganda di beberapa negara maju. Di Jepun, semangkuk mi berharga $25 ringgit. Apakah gunanya pendapatan yang tinggi jika kos keperluan kita begitu tinggi.
Memandang akan kejayaan strategi pelaburan kita, kesatua-kesatuan sekerja di negara-negara maju cuba menghasut pekerja-pekerja kita menuntut kenaikan gaji sehingga kos pengeluaran kita meningkat dan barangan keluaran kita tidak lagi dapat bersaing di pasaran dunia. Mereka juga menimbulkan soal hak asasi manusia dan ‘workers right’ untuk menghapuskan GSP kita. Tindakan mereka sebenarnya ialah kerana mereka lebih suka kita menganggur daripada kita bersaing dengan mereka. Hak asasi manusia dan hak pekerja adalah alasan sahaja. Sebenarnya hak pekerja tidak bermakna jika kita menggangur.
Kerajaan tidak berniat untuk menyekat peningkatan pendapatan pekerja-pekerja negara ini. Sekarang ini pun pendapatan para pekerja sudah meningkat berbanding dengan dahulu kerana pertunbuhan ekonomi hasil berbagai usaha Kerajaan. Tetapi jika kita inginkan taraf hidup yang lebih tinggi dan mengurangkan penganguran, kenaikan gaji hendaklah jangan terlalu mendadak sehingga menakutkan para pelabur. Juga, janganlah kita mudah mengugut dan mengambil tindakan perusahaan tanpa mengambil-kira kesan jangka panjang kepada negara dan kepada yang menganggur.
Kita harus yakin bahawa satu hari kelak pendapatan para pekerja di Malaysia tidak akan jauh kurangnya daripada pendapatan para pekerja di negara-negara maju. Tetapi produktiviti kita mestilah tinggi dan mutu kerja kita tinggi supaya kita boleh terus bersaing dengan jayanya dipasaran dunia. Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi pendapatan para pekerja tanpa menjejaskan iklim pelaburan. Adalah mustahil para pekerja di negara-negara maju lebih sayang dan bersimpati dengan pekerja-pekerja Malaysia daripada Kerajaan Malaysia sendiri. Dahulu, di waktu kita cuma mengeluarkan getah dan biji timah dan kita tidak bersaing dengan mereka, para pekerja negara-negara maju sedikitpun tidak menghiraukan nasib kita. Mengapakah sekarang mereka begitu kuat hendak mempertahankan hak pekerja-pekerja kita? Adakah desakan AFL-CIO supaya GSP kita dihentikan satu tanda kesanyangan mereka kepada pekerja-pekerja kita? Janganlah kita mudah terpengaruh dengan kata-kata manis mereka. Sebenarnya ada udang di sebalik batu.
POLITIK KESTABILAN
UMNO adalah parti politik. Tetapi wujudnya UMNO bukan kerana hendak berpolitik semata-mata. UMNO ditubuhkan kerana kita tahu bahawa melalui politik kita boleh mempertahankan hak dan memperbaiki nasib orang-orang Melayu, agama Islam dan negara kita Malaysia. UMNO dan perjuangan politiknya adalah sebagai instrument dan jentera untuk mencapai matlamat yang telah kita rancangkan itu.
Kita perlu kepada kuasa politik, kerana kuasa politik boleh menentukan pencapaian matlamat kita. Lebih kuat kuasa politik kita, lebih mudah kita mencapai matlamat yang telah kita tentukan. Sekiranya kuasa politik kita lemah, maka sukarlah kita mencapai matlamat kita. Jika kuasa politik kita lumpuh, maka segala cita-cita orang-orang Melayu akan menjadi angan-angan semata-mata.
Dalam negara kita yang berasaskan demokrasi kuasa datang daripada rakyat. Lebih ramai sokongan rakyat, lebih teguhlah kuasa kita dan lebih mampulah kita melaksanakan rancangan murni kita untuk rakyat, untuk agama dan untuk negara.
Orang-orang Melayu masih menjadi kaum yang ketinggalan di negara berbilang kaum ini. Kita bernasib baik tidak menjadi kaum yang tertindas atau oppressed race seperti orang-orang kulit hitam di Afrika Selatan. Kita telah dikejutkan oleh British dengan rancangan Malayan Union mereka. Dalam ketakutan kita telah bersatu dan memberanikan diri menentang British. Kita berjaya. Dengan itu orang-orang Melayu mendapat tempat yang tinggi, sama seperti orang-orang yang pernah menjajah kita. Dan dengan itu juga bermulalah rebutan tempat dan kedudukan oleh yang berkepentingan diri.
Hari ini kita telah sampai kepada satu tahap yang bahaya. Matlamat perjuangan orang Melayu belum tercapai. Tetapi kerana perpecahan di kalangan orang-orang Melayu, orang-orang lain sudah berpeluang menangguk di air yang keruh ini.
Kepimpinan UMNO sekarang tidak mahu perpecahan diteruskan. UMNO tidak mahu orang-orang Melayu menjadi lemah. UMNO tidak mahu orang-orang Melayu diperalatkan untuk mengagalkan orang-orang Melayu sendiri. UMNO mahu orang-orang Melayu bersatu.
Kita percaya, bahkan kita yakin, perpaduan dan kekuatan politik orang-orang Melayu adalah penting untuk menstabilkan negara dan menjayakannya. nasib orang-orang bukan Melayu juga bergantung kepada kekuatan politik orang-orang Melayu. Jika kita bertangungjawab kepada negara dan semua penduduknya, segala usaha kita mestilah di buat untuk mengukuhkan lagi kuasa politik orang-orang Melayu.
Justeru itu, UMNO sedia menerima sesiapa sahaja yang ingin menjadi ahli UMNO, sama ada ianya bekas ahli UMNO, atau pun bukan. UMNO sedia berunding dengan sesiapa sahaja bagi menyatupadukan orang-orang Melayu. UMNO sedia menerima ahli-ahli PSRM atau ahli-ahli PAS atau ahli-ahli DAP dan sesiapa juga yang terdiri daripada orang-orang Melayu sekiranya mereka memohon dan bersedia menghayati dasar dan perjuangan UMNO.
Semua orang yang menyertai UMNO akan mempunyai hak yang sama mengikut Perlembagaan UMNO. Tetapi hak ini mestilah disertai dengan perasaan penuh tanggungjawab. Hanya yang kita minta, yang kita rayu, ialah hentikanlah pecah-belah yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu sekarang ini.
Orang-orang Melayu belum lagi terselamat dari bahaya. Kita belum lagi mencapai kemajuan yang memuaskan. Kita masih menghadapi perjuangan yang besar untuk menjadikan orang-orang Melayu satu bangsa yang terhormat dan dihormati di dunia yang penuh pancaroba ini.
Allah berfirman dalam Surah A-Li’Imraan Ayat 103 yang bemaksud:
‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai’.
Para perwakilan sekalian, kepada Allah SWT kita berdoa.
Ya Allah, Ya Tuhanku.
Berikanlah petunjuk kepada hamba-hamba Mu yang daif ini.
Restuilah Perhimpunan kami ini.
Tunjukkanlah kami kejalan yang benar.
Mudah-mudahan akan terpeliharalah agama Mu.
Amin Ya Rabbal A’lamin.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan