Saudara dan saudari,
25. Umno sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang
anti idea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan
orang muda. Kita adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses
pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka. Kini, 38 peratus
kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Angka
diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50
peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil
semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain. Sebolehnya, kita perlu menawan
imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan
dengan aspirasi mereka.
26. Kita mesti juga memastikan amalan jelek cantas mencantas
dan sekat menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau
tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga. Sikap tercela ini akan
hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan.
Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan
kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara.
27. Selain itu, sama ada kita sedar atau tidak, banyak pihak
hari ini menanggap, terdapat keterpisahan antara aspirasi Umno dan aspirasi
massa. Bagi mereka, cita rasa Umno bukan lagi cita rasa rakyat. Oleh yang
demikian, orang-orang Umno janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan
terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Janganlah begitu teruja dalam
merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti
demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak. Apalah gunanya
kita menduduki jawatan dalam sebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak
menerajui kerajaan?
28. Selanjutnya, kita akui bahawa bukan semua orang Melayu
adalah ahli Umno. Dari itu, percayalah Umno akan kuat jika pintu kemasukan
dibuka seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu dan Umno terus kekal menjadi
parti yang mewakili aspirasi mereka. Umno juga akan menjadi hebat jika budaya
merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan
ahli-ahlinya. Umno akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli Umno berhenti
mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah
sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui Umno.
29. Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta
tanggapan bahawa pimpinan Umno kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat.
Pemimpin Umno mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa yang sebenar sedang
berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita seperti kadok naik junjung
seraya lupa bahawa Umno itu adalah parti akar umbi, lupa akan hakikat Umno itu,
parti yang lahir dari semangat membara rakyat kebanyakan. Insaflah, di jemala
Umno terjunjung amanah membela untung nasib rakyat.
30. Jika benar kita telah menyimpang dari roh dan semangat
asal perjuangan suci Umno, maka haruslah kita berubah dan balik semula ke
pangkal jalan. Kita bawa semula Umno menelusuri landasan sebenar. Untuk itu,
kita perlukan barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang
berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka
pula menerima teguran.
Saudara dan saudari,
31. Sebagai komponen terbesar sayap Umno, pergerakan Wanita
di bawah kepimpinan Tan Sri Rafidah Aziz telah mempamerkan iltizam yang kukuh dalam
apa jua keadaan terutamanya di setiap pilihan raya. Perpaduan pergerakan Wanita
sangat penting untuk Umno. Oleh itu, janganlah disebabkan keghairahan
sementara, kita meruntuhkan pula apa yang terbina selama ini. Kita tidak mahu
melihat wujudnya sebarang perpecahan. Bersatulah, kerana sesungguhnya yang
menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah segala-galanya.
Yang menang hendaklah berjiwa besar dan berlapang dada menerima yang kalah,
manakala yang tewas, hendaklah akur dan menghormati keputusan demi meneruskan
perjuangan parti. Bak kata pepatah apabila biduk berlalu kiambang pun
bertautlah kembali.
32. Kepada Pemuda, saudara semua adalah hulubalang yang
menjadi perisai parti. Pemuda memang terkenal kerana selama ini berada di barisan
hadapan perjuangan. Dekad lampau yang penuh ranjau menyaksikan barisan Pemuda
teguh membentengi parti. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang telah
berjaya mengetuai Pemuda dari era kegetiran kepada era kestabilan, seterusnya
memberi kepimpinan yang komited dalam menyokong aspirasi perjuangan selama
lebih satu dasawarsa.
33. Begitulah juga, Puteri Umno yang ditubuhkan hampir
sedekad lalu, memang, telah berjaya mencetuskan minat golongan wanita muda
untuk membabitkan diri dalam arus politik perdana. Terima kasih diucapkan
kepada Datuk Noraini Ahmad yang telah menjalankan tugas dengan lancar sepanjang
beliau memegang tampuk kepimpinan Puteri Umno. Yang mustahak, kita ingin
melihat Puteri terus bersemangat dan gigih bekerja sebagai elemen yang sentiasa
berupaya menyegarkan perjuangan parti.
Saudara dan saudari,
34. Persidangan kali ini menjadi tanda penyerahan obor
perjuangan kepada generasi kepimpinan baru. Perjuangan lima dekad pertama
selepas kemerdekaan hendaklah menjadi asas kepada perjuangan 50 tahun
mendatang. Oleh itu, untuk Umno terus kekal relevan, generasi kepimpinan baru
wajar menyedari bahawa 50 tahun kedua kemerdekaan amat berbeza dengan apa yang
pernah Umno lalui. Pemimpin-pemimpin Umno seharusnya memastikan parti sentiasa
berada di hadapan kelok pembaruan bukannya penaklid yang mengekor di belakang.
Hal ini menuntut kepada penelitian semula pendekatan, sikap dan sistem nilai
ahli-ahlinya.
35. Contoh yang paling mudah, jika diimbau pada pilihan raya
1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak
acuh pada perkembangan itu. Lima tahun kemudian semasa pilihan raya tahun 2004,
kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif. Kita telah alpa dengan
mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk
menghadapi peperangan alam siber. Natijahnya, semasa pilihan raya Mac tahun
2008, kita telah tersentak dari lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh
media baru.
36. Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan
medium ini sebagai musuh. Generasi muda kepimpinan Umno harus berperanan
sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena. Generasi muda kepimpinan
Umno perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber. Generasi muda
kepimpinan Umno juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai
senjata politik. Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili
bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. Barulah
kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara
parti-parti politik.
Saudara dan saudari,
37. Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah
jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah
dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi
Muhammad SAW marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan
sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah
berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan
menuju sirna ketamadunan.
38. Rasulullah juga semasa berhijrah telah mempersatukan
antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan
Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Semua
ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai
asas kota Madinah ketika itu. Ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan,
kecemerlangan mahupun kebungkaman sesuatu tamadun dan bangsa itu tidaklah
ditentukan oleh faktor fizikal semata-mata. Faktor yang lebih utama adalah
faktor emosional, spiritual serta sistem nilai yang mendasari pegangan juga
amalan masyarakat dan kepimpinannya.
39. Tersenarai antara nilai-nilai utama yang menentukan maju
mundur sesuatu bangsa adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu,
mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan
bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah
sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah
dalam membimbing umat mencapai al-falah.
40. Sejarah turut membuktikan apabila orang-orang Melayu
berpegang teguh kepada amalan Islam kita akan menjadi bangsa yang dihormati.
Menyingkap kecemerlangan tamadun Islam, makanya demi survival, Umno dan
orang-orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaruan
transformasi yang bersifat total dan tuntas. Mengambil iktibar daripada sirah,
dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan
perpaduan di kalangan orang Melayu. Sayangnya, perpaduan Melayu hari ini diasak
dari pelbagai sudut dengan budaya fitnah memfitnah, separuh benar dan
pembohongan yang dahsyat. Hari ini, fitnah bukan sahaja berlaku di kalangan
orang munafik tetapi sudah menjadi permainan golongan yang kononnya, mendakwa
diri mereka sebagai pemimpin Islam dan agamawan.
41. Bertolak dari situ, situasi hari ini menuntut Umno,
sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi
dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk
mentransformasi Umno supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu.
Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2008.
SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN
Menang Besar PRU-13?"
COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR
BN
Created by DAPATKAN
DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan