42. Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah
sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua
peringkat ahli-ahli Umno perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar
menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud
kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan Umno. Kita tidak
boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca
kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu
memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik
secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal
khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan 'esprit de corps.'
43. Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan
berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat
latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan
pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih ahli menjadi pemimpin
yang mulia. Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul
kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan
tali persaudaraan sesama ahli dan pimpinan.
44. Keduanya, kita mesti mengubah cara Umno menentukan
pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan
kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi
perhimpunan Agung Umno hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri
daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh
perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta
ahli Umno di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba
masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan Umno dari aspek ini agar proses
pemilihan kepimpinan Umno dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua
peringkat.
45. Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik
wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus
kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar
umbi. Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah Umno akan kembali
menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno
menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat. Setiap masalah rakyat yang
berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan
setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat
untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.
Saudara dan saudari,
46. Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal
di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh Umno juga
sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar. Sehubungan
dengan perkembangan ini, Umno bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha
memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah
kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang
berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian.
47. Berdasarkan itu, bahagian-bahagian Umno di bandar perlu
memainkan peranan masing-masing dalam mengetengahkan rintihan golongan Melayu
bandar yang berpendapatan rendah. Nyatanya pun, terbukti sejak sekian lama
rekod kepimpinan Umno telah hampir berjaya membasmi kemiskinan tegar luar
bandar melalui pelbagai rancangan. Sekarang tibalah masanya kita mengulangi
kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks
semasa. Lantas, Umno sebagai parti tonggak pemerintahan akan memastikan agenda
ini diberi keutamaan oleh kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan