Sabtu, 5 September 2009

Definisi Melayu Cina India Dalam Perlembagaan.


Warisan Melayu.
Agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Raja Berpelembagaan

ORANG ASLI merupakan Oborigin di Semenanjong Malaysia.


Penduduk Sabah Dan Serawak.
Penduduk Sabah dan Serawak merupakan Peribumi di Malaysia juga di panggil Native.


MELAYU
Melayu merupakan kaum terbanyak di Malaysia yang bertaraf Bumiputera@Native'





CINA
Kaum Cina merupakan kaum kedua terbesar di Malaysia yang yang bertaraf Warganegara.






INDIA
Kaum India merupakan kaum yang datang daripada benua lain yang datang ka Tanah Melayu dan menjadi Warganegara Malaysia.





MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN


Menarik untuk di catitkan wawancara Mingguan Malaysia dengan Datuk Mohd Noor Abdullah Bekas Hakim Rayuan yang di siarkan pada Ahad 23 Ogos 2004 berkaitan Melayu Dalam Perlembagaan.

Dalam wawancara tersebut beliau menyatakan:-

"Saya bercakap mengikut perlembagaan dan jika menganggap teras negara ini terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India itu adalah salah. Dimana definisi Cina dan India dalam Perlembagaan."

Dalam huraiaan berkaitan kedudukan Melayu dalam Perlembagaan, beliau menyatakan:-

1. Negara ini perlu dikenali dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan nama Malaysia.

- Malaysia asalnya Malaya
- Malaya mengikut perlembagaan adalah Persekutuan Tanah Melayu juga dikenali dunia sebagai
Tanah Melayu.
- Malaysia adalah Semenanjong Tanah Melayu Sabah Serawak

Contoh : -Orang Asli hanya terdapat di Semenanjong, seperti orang Senoi, Jakun dan Nagrita
-Orang Asli adalah ABORIGIN bagi Semenanjong.

-Penduduk di Sabah dan Serawak dipanggil NATIVE(Bumiputera) begitu juga Melayu.

-Native diistilahkan Indigenous People.

-Orang yang datang kemudian di panggil IMIGRAN

-Semua 86 suku kaum di Sabah dan Serawak termasuk Iban, Penan, Dayak adalah NATIVE
dahulu NATIVE ini di kenali sebagai ANAK NEGERI sekarang di panggil BUMIPUTERA.


Perbezaan INDIGENOUS dan ABORIGIN dalam Perlembagaan :-

Dalam perkara berkaitan ada 2 perbezaan besar dalam Perlembagaan.

1. ABORIGIN adalah penduduk asli negara ini.
2. INDIGENOUS adalah Peribumi.

Oleh itu kedudukan Melayu jelas adalah sebagai Peribumi dan NATIVE di Sabah dan Serawak.
(Bumiputera adalah terjemahan kapada Native)

"Oleh itu jangan kata orang yang lahir di sini adalah bumiputera tetapi sebenarnya tidak, begitu juga orang Cina dan India yang lahir di sini, mereka bukan Bumiputera."

"Ini kerana Bumiputera bukan sahaja lahir di sini tetapi keadaan hidupnya adalah bersesuaian dengan keadaan sekelilingnya."

Dalam mengkelaskan secara lebih tepat Melayu, Cina dan India di negara ini dalam konteks perlembagaan beliau menyatakan :-

Kesilapan besar kita ialah hanya mengenali bangsa sebagai Melayu, Cina dan India.

Apakah kerana,

Orang Melayu datang dahulu kemudian orang Cina dan di ikuti orang India ?

atau kerana,

Orang Melayu paling ramai kemudian Cina dan India?

"Beritahu saya manakah negara yang tidak ada bangsa sama ada bangsa itu Intergral iaitu ada bangsa lain yang menumpang tetapi masih lagi disebut sebagai bangsa."

seperti,

Bangsa Indonesia, bangsa Filipina, bangsa British, Prancis, Jerman dan sebagainya.

Bangsa Malaysia terdiri daripada 5 kaum, Kaum Melayu sebagai teras negara ini dan kita ajak kaum lain untuk berkerjasama sebagai bangsa Malaysia.

5 KAUM MENGIKUT PERLEMBAGAAN

1. Orang Asli
2. Orang Melayu
3. Kaum bumiputera Serawak
4. Kaum bukiputera Sabah
5. Kaum-kaum Lain.

Apabila menurunkan taraf orang Melayu kepada kaum, orang Cina dan India juga di turunkan taraf kepada "kaum-kaum lain"

Jika kita menganggap teras negara ini terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India itu adalah salah.

Dimana definasi Cina dan India didalam Perlembagaan?

Dalam perlembagaan ada disebut orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Serawak.

Macamana hendak definasikan Cina dan India di negara ini jika sudah terdapat negara asal mereka dan keturunan mereka di sana.

Dalam komen berkaitan ada pehak menyatakan Melayu juga pendatang kerana penduduk asal adalah orang Asli beliau menyatakan:-

"Semasa empayar Cina dahulu kalau berpindah dari Han ke Cina atau dari Beijing pergi ke Selatan hingga ka Mongolia adakah mereka berpindah dari satu negeri ke satu negeri?, mereka tidak berpindah tetapi hanya bergerak sekitar empayarnya."

"Begitu juga orang Melayu hanya berada di alam Melayu sejak kerajaan Sri Wijaya dahulu kita pernah mempuyai satu empayar agung yang meliputi Indonesia, Brunai, Filipina sebagai satu dunia Melayu."

"Oleh itu kita tidak berpindah hanya bergerak sekitar dunia Melayu."

Namun apa yang berlaku sekarang ini adalah akibat penjajah Barat yang memecahkan dunia Melayu.

- Indonesia diberi kepada Belanda
- Tanah Melayu diberi kepada Inggeris

jika tidak di pecahkan,

dunia Melayu bersatu,

tetapi,

akibat penjajahan Barat ini kita berpecah belah.

Jadi kenapa ada pehak berkata Melayu datang dari luar?

Melayu hanya bergerak berkelompok di sekitar dunia Melayu ini.

- yang pasti orang Cina dan India bukan dari kelompok itu

Jika mereka berkata Melayu seperti mereka, itu tidak benar.

Orang Melayu di sini kita gunakan istilah Nusantara.

HAK ORANG MELAYU:

1. Warisan orang Melayu:
i) Raja Berperlembagaan
ii) Agama Islam
iii)Bahasa Melayu

2. Definisi Melayu
i) Beragama Islam
ii)Bertutur dalam bahasa Melayu
iii)Mengamalkan adat Melayu yang mewakili Raja-Raja Melayu

3. Pusaka Melayu
i) Askar Melayu
ii)Tanah Rezab Melayu
iii)Kedudukan Istimewa orang Melayu.

Ini di namakan pusaka kerana ini merupakan peninggalan pemimpin kita dahulu.

Oleh itu semua usaha mempertahankan perlu di teruskan dan di pertahankan oleh semua orang Melayu.

Ahad, 30 Ogos 2009

DETIK 31 OGOS


Oleh:Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris

Sejarah peradapan manusia
Tidak pernah seperti air danau meriak tenang
Tidak semerdu siulan unggas menari di hujung dahan
Tidak selunak tiupan angin di nyiur malambai
Tidak sesegar hembusan bayu dingin di fajar menyising

Demikian pulalah peradapan bangsa Melayu
Merakamkan detik-detik perjuangan anak peribumi
Meniti keagungan di puncak jaya
Meratap meraong sedih hanyut gelombang sejarah

Zaman lampau bukan lagi untuk di tangisi
Air mata tidak perlu mengukir sumpah untuk merelakan
Rebah bangun dengan keyakinan
Jatuh runtuh bersama perjuangan
Kegemilangan zaman lampau bukan lagi untuk diagungkan semata
Hidup bukan lagi kerana doa
Mati bukan lagi kerana sumpah

Sekadar untuk mengingatkan
Betapa gemilangnya zaman lampau dan zaman bahari
Bangsa Melayu telah mengukir sejarah keagungannya
Abad ketiga telah-tegak, megah, Kerajaan Melayu Seri Wijaya
Dari Pelembang hingga ke Kemboja
Telah bangkit Langkasuka dengan Merung Mahawangsanya
Kerajaan Majapahit dalam abad Ketigabelas
Muncul menyinar Kerajaan Islam Pasai
Dan lahirlah pula kerajaan Melayu Melaka
Dengan segala keagungannya-dalam abad ke 15

Melaka telah mengembalikan semua
Sejarah kegemilangan Seri Wijaya-dengan Perameswaranya
Melaka telah mengibarkan panji-panji kemegahan bangsa Melayu
Dari benua Rom di barat, hingga ke Benua Cina di timur
Merakamkan sengketa pilu Tun Perak dan Tun Ali
Merakamkan pertikaman sedih Tuah dan Jebat
Merakamkan pembunuhan Seri Maharaja Tun Mutahir
Merakamkan peminangan Puteri Gunung Ledang

24 Ogos 1511 awan mendong, menitiskan hujan darah
Membasahi bumi Melaka
Padamlah ubur suci kebebasan
Panji-panji kebesaran tidak berkibar lagi
Melaka telah diperkosa oleh penjajah barat
Dan pengkianatan dari dalam
Maka berakhirlah satu era keagungan
Kerajaan Melayu yang tiada tolok bandingan

Tangisan tidak bererti lagi
Titisan air mata bukan lagi untuk mengalir kepiluan
Hangat air mata akan membakar sejarah perjuangan
Kita tidak menangisi sejarah lagi
Biarlah mengisi perjuangan anak peribumi

Sejarah perjuangan bangsa Melayu, tidak akan berakhir
Selagi denyut nadi masih bergerak
Selagi hangat nafas tetap semarak
Selagi getar jantung berdetak segar
Kita akan melahirkan ramai lagi
Bahaman-Mat Kilau-Tok Gajah-Maharajalela-Dol Said-
Siamang Gagap-Tok Janggut- dan banyak lagi pahlawan-pahlawan berjasa

Kita akan melahirkan lebih banyak lagi
Syed Sheikh Al Hadi- Sheikh Tahir Jalaluddin
Syed Muhammad bin Akil-Zaaba
Ibunda akan melahirkan lagi Dr.Rizal
Sukarno-Hatta-Datuk Onn Jaafar-Ibrahim Yaakob
Dr.Burhanuddin Al Helmi-Tunku Abdul Rahman Putera-
Tun Abdul Razak-Dr.Ismail-Sardon Jubir
Malah ratusan dan ribuan lagi pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair

Nah! anak-anak muda
Terimalah ini pesaka warisan
Mengukir sejarah mu
Lalu tiupkan seruling rindu cinta
Dendangkan senandung anak pejuangan
Petiklah buah ranumnya
Bajailah perdunya
Agar terus rimbun subur di jembangan
Segar bugar sepanjang zaman

Rama-Rama Sikumbang Jati
Khatib Indah Pulang Berkuda
Patah Tumbuh Hilang Berganti
Pesaka Bergilir Pada Yang Muda

Sabtu, 29 Ogos 2009

TANGGAL 31 OGOS 2009

Tanggal 31 Ogos 2009, genap 52 tahun Malaysia.
Sejarah pembinaan sebuah negara Malaysia pusaka bangsa.

Dalam meniti kemakmuran dan kedamaian, ranjau duri dan berbagai cabaran dilalui.

Walau pun kemerdekaan dimiliki tanpa pertumpahan darah namun sebenarnya banyak halangan dilalui.

Asas pembinaan negara ianya terbentuk di atas kerjasama seluruh rakyat Malaysia, ianya terbentuk dengan jayanya di atas kesepakatan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Kesepakatan ini tidak boleh berhenti setakat ini sahaja, ianya harus diteruskan tanpa ganggu gugat di masa depan.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


Selasa, 25 Ogos 2009

UMNO TETAP UMNO



Petikan sebahagian Ucapan Tun Mahathir Mohamad selaku Presiden UMNO.
Diperhimpunan Agung UMNO pada 28 hb. Oktober 1988.

UMNO adalah parti politik. Tetapi wujudnya UMNO bukan kerana hendak berpolitik semata-mata.UMNO ditubuhkan kerana kita tahu bahawa melauli politik kita boleh mempertahankan hak dan memperbaiki nasib oerang-orang Melayu, agama Islam dan negara kita Malaysia. UMNO dan perjuangan politiknya adalah sebagai instrumen dan jentera untuk mencapai matlamat yang kita rancangkan itu.

Kita perlu kepada kuasa politik, kerana kuasa politik boleh menentukan pencapaian matalamat kita. Lebih kuat kuasa politik kita, lebih mudah kita mencapai matalamat yang kita tentukan. Sekiranya kuasa politik kita lemah, maka sukarlah kita mencapai matlamat kita. Jika kuasa politik kita lumpuh, maka segala cita-cita orang Melayu akan menjadi angan-angan semata-mata.

Dalam negara kita yang berasaskan demokrasi kuasa datang daripada rakyat. Lebih ramai sokongan rakyat, lebih teguhlah kuasa kita dan lebih mampulah kita melaksanakan rancangan murni kita untuk rakyat, untuk agama dan untuk negara.

Orang Melayu masih menjadi kaum yang ketinggalan di negara berbilang kaum ini. Kita bernasib baik tidak menjadi kaum yang tertindas atau oppressed race seperti kulit hitam di Afrika Selatan. Kita telah dikejutkan oleh British dengan rancangan Malayan Union mereka. Dalam ketakutan, kita telah bersatu dan memberanikan diri menentang British. Kita berjaya. Dengan itu orang-orang Melayu mendapat tempat yang tinggi, sama seperti orang-orang yang pernah menjajah kita. Dan dengan itu juga bermulalah rebutan tempat dan kedudukan oleh yang berkepentingan diri.

Hari ini kita sudah sampai kepada satu tahap yang bahaya. Matlamat perjuangan orang-orang Melayu belum tercapai. Tetapi kerana perpecahan dikalangan orang-orang Melayu, orang-orang lain sudah berpeluang menangguk di air yang keruh ini.

Kepimpinan UMNO sekarang tidak mahu perpecahan diteruskan. UMNO tidak mahu orang-orang Melayu menjadi lemah. UMNO tidak mahu orang-orang Melayu diperalatkan untuk menggagalkan orang-orang Melayu sendiri. UMNO mahu orang-orang Melayu bersatu.

Kita percaya, bahkan kita yakin, perpaduan dan kekuatan politik orang-orang Melayu adalah penting untuk menstabilkan negara dan menjayakannya. Nasib orang-orang bukan Melayu juga bergantung kepada kekuatan politik orang-orang Melayu. Jika kita bertanggungjawab kepada negara dan semua penduduknya, segala usaha kita mestilah dibuat untuk mengukuhkan lagi kuasa politik orang-orang Melayu.

Justeru itu, UMNO sedia menerima sesiapa sahaja yang ingin menjadi ahli UMNO, sama ada ianya bekas ahli UMNO, atau pun bukan. UMNO sedia berunding dengan sesiapa sahaja bagi menyatupadukan orang Melayu. UMNO sedia menerima ahli-ahli PSRM atau ahli-ahli PAS atau ahli-ahli DAP dan sesiapa juga yang terdiri daripada orang-orang Melayu sekiranya mereka memohon dan bersedia menghayati dasar dan perjuangan UMNO.

Semua orang yang menyertai UMNO akan mempuyai hak yang sama mengikut Perlembagaan UMNO. Tetapi hak ini mestilah disertai dengan perasaan penuh tanggungjawab. Hanya yang kita minta, yang kita rayu, ialah hentikanlah pecah-belah yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu sekarang ini.

Orang-orang Melayu belum lagi terselamat dari bahaya. Kita belum lagi mencapai kemajuan yang memuaskan. Kita masih menghadapi perjuangan yang besar untuk menjadikan orang-orang Melayu satu bangsa yang terhormat dan dihormati di dunia yang penuh pancaroba ini.

Allah berfirman dalam Surah A-li'Imraan Ayat 103:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai"

Ahad, 23 Ogos 2009

PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN



Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baru
Pengisytiharaan Kemerdekaan
di Bandar Hilir,Melaka pada 20 February 1956

Di padang Bandar Hilir Tuanku Abdul Rahman melafazkan perisytiharaan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu yang disediakan oleh Pejabat Setiausaha Agung UMNO :-

"Bahawa di dalam perjalanan sejarah manusia tidak ada suatu bangsa pun yang boleh menyelamatkan dirinya jikalau bangsa itu berdiam diri memeluk tubuh selama-lamanya. Sudah semestinya bangsa itu harus memilih suatu antara dua arah maju atau undur. Ini terserah kepada kesungguhan dan kesedaran bangsa itu menghadapi perubahan-perubahan dan perkembangan-perkembangan.

Manakala rakyat itu di dalam keadaan berpuas hati dengan taraf dan kedudukannya yang ada maka sentiasalah mereka merasa bimbang atas sebarang perkara yang harus membawa perubahan. Mereka akan merasa curiga terhadap sebarang langkah atau seseorang yang membawa fikiran dan pendapat baru.

Tetapi kerana sejarah manusia adalah sejarah perubahan-perubahan dan kemajuan untuk mencintakan sesuatu yang lebih baik dan sempurna, bangsa yang merasa kepuasan tadi akan tinggal semakin jauh ke belakang dan akhirnya hilang lenyap dan hanya akan timbul kembali oleh ahli-ahli sejarah yang akan datang.

Kita adalah suatu bangsa yang pernah menikmati kebesaran dan mempuyai pusaka kebangsaan yang gilang gemilang. Sesungguhnya perjalanan sejarah telah menukarkan nasib kita daripada suatu bangsa yang merdeka dan agung kapada bangsa yang hina dan terjajah namun kita masih tetap dapat mempertahankan anugerah-anugerah Tuhan yang berupa kebesaran jiwa, rasa kemuliaan, keadilan dan semangat yang tidak dapat dipatahkan, sementara kita tertakluk di bawah penjajahan lebih dari 400 tahun lamanya.Ketahuilah bahawa kita rakyat Malaya adalah bersatu padu dalam maksud kita mencapai kemerdekaan secara perlembagaan dan pada hari ini maksud kita telah kita capaikan.

Dengan itu dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya atas nama rakyat Malaya mengisytiharkan bahawa kemerdekaan penuh Persekutuan Tanah Melayu menurut perjanjian yang telah dicapai di London akan dilaksanakan pada 31 haribulan Ogos 1957. Pohon Allah izinkan."

Sumber Ibu Pejabat UMNO Malaysia