Ahad, 31 Mei 2009

SIAPA CHIN PENG




Chin Peng
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Chin Peng

Chin Peng (lahir 21 Oktober 1924) ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis Malaya.

Bukan berasal dari China sebagaimana sangkaan ramai, Chin Peng adalah seorang Cina Kantonis yang dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal , di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930.

Buku memoirnya bertajuk "Chin Peng: Sejarah dari sebelahku" ("Chin Peng: My Side of history") diterbitkan di Singapura.


Kisah hidupnya

Semasa kecil Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shek dan Mao Zedong. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung.

Semasa berumur 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Zedong mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.

Pada tahun 1940, beliau diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun.

Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army, sebuah pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.

Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal dalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British. Mereka turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal dalam MPAJA turut cuba merampas pentakbiran terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Tindakan puak yang didakwa radikal tidak pernah disekat oleh MPAJA. Ini kemungkinannya MPAJA sebenarnya sedang menilai kejayaan tindakan sedemikian. Membiarkan tindakan ahlinya bermaharajalela membunuh dan menyeksa penduduk sekali gus menunjukkan tindakan tersebut mendapat sokongan tersembunyi dari para pemimpin MPAJA.

Tindakan puak radikal dalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindak balas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.

Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak di dalam kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka [perlu petikan]. Kelompok Melayu elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh di dalam urusan politik tempatan. Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.

Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.

Memimpin Parti Komunis Malaya

Ketika berumur 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya .

Di bawah pimpinannya Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.

Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. [perlu petikan] Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di Tanah Melayu pada waktu itu ialah mereka mengamalkan prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh PKM iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama Islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan[perlu petikan]. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.

Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit dengan melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ke tangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya. Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti apabila mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan pertumpahan darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.

Perjanjian Damai

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.

Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari Malaysia khususnya di sempadan Malaysia-Thailand.

Kemerosotan Komunis

Setelah keruntuhan komunis di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.

Selepas 1989, tiada ada lagi perjuangan bersenjata . Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Walau bagaimanapun, pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin hanya dibenarkan menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.

Kembali ke Malaysia

Chin Peng sedang membawa kesnya di mahkamah Pulau Pinang agar dia diterima pulang ke Malaysia. Penerimaan Chin Peng kembali ke Malaysia ditentang hebat oleh ramai sanak saudara mangsa kekejaman Parti Komunis Malaya termasuk polis dan tentera yang cedera dan terkorban. Ini disebabkan Chin Peng merupakan orang yang bertanggung jawab dengan kegagalan Rundingan Baling dengan berkeras menuntut agar Parti Komunis Malaya diterima sebagai sebuah parti politik, walaupun telah ditawarkan pengampunan sebelumnya.

Jumaat, 29 Mei 2009

ISU CHIN PENG



Paparan petikan akhbar Berita Harian dalam minggu ini untuk renungan bersama.

Siapa memulakan :

Datuk Teng Hock Nan Pengerusi Parti GERAKAN P.Pinang.

Siapa Chin Peng :

Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya

Komunisme adalah ideologi politik dan struktur sosio ekonomi yang menggalakkan penubuhan masyarakat yang egalitarian, tanpa kelas, dan tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta secara umumnya. Karl Marx menganjurkan komunisme sebagai peringkat akhir dalam masyarakat manusia, yang boleh dicapai melalui revolusi golongan proletariat. "Komunisme suci" menurut Marx merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Sebagai ideologi politik, komunisme dianggap sebagai satu cabang sosialisme; satu falsafah luas berkenaan ekonomi dan politik yang dipengaruhi oleh pelbagai gerakan politik dan intelektual dengan asalnya dari hasil kerja mereka pada Revolusi Perindustrian dan Revolusi Perancis. Komunisme cuba untuk memberi satu alternatif kepada masalah dalam ekonomi pasaran kapitalisme dan warisan penjajahan dan nasionalisme. Marx menyatakan hanya satu jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini adalah bagi golongan pekerja (proletariat), yang menurut Marx adalah pengeluar utama kekayaan dalam masyarakat yang diekploitasi oleh kelas kapitalis (borjuis), menolak golongan borjuis ini daripada kelas pemerintah bagi menubuhkan masyarakat bebas tanpa pembahagian kelas dan kaum.

Selain Karl Marx, tokoh penting lain adalah Friedrich Engels. Fahaman dominan komunisme seperti Leninisme, Stalinisme, Moisme dan Trotskyisme]] adalah berakar dari Marxisme. Akan tetapi wujud juga fahaman bukan Marxisme dalam komunisme seperti komunisme Kristian. Dalam gunaan zaman moden, komunisme selalu merujuk kepada Bolshevisme atau Marxisme-Leninisme.

Era kegemilangan komunisme ialah antara akhir Perang Dunia II dan tahun 90-an apabila komunisme berkuasa di Kesatuan Soviet. Komunisme juga mempunyai pandangan agama adalah racun yang boleh mengongkong pemikiran rakyat.

Chin Peng tak dibenar pulang


PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, pulang ke Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menjelaskan, keputusan itu dibuat bagi mengelak timbul rasa tidak puas hati di kalangan anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis ketika darurat.

"Kerajaan tidak akan benarkan Chin Peng balik ke Malaysia sebab ia akan menimbulkan rasa tak puas hati terutama kepada ahli keluarga mereka yang terkorban akibat kekejaman komunis pada waktu darurat dulu," katanya selepas mengumumkan pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), di pejabatnya semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar sebelum ini mengenai saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan, supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia.

Pada 30 April lalu, usaha terakhir Chin Peng @ Ong Boon Hua untuk mendapat pengisytiharan kebenaran masuk dan hidup di Malaysia gagal apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya.

Mahkamah turut mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum itu kerana Chin Peng gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri seperti arahan Mahkamah Tinggi bagi membuktikan dia berasal dari Malaysia dan dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 seperti didakwanya.

Saranan supaya Chin Peng kembali ke Malaysia dibantah pelbagai pihak termasuk persatuan bekas anggota tentera yang pernah bertempur dengan komunis ketika darurat termasuk yang kini cacat akibat jerangkap samar yang dipasang pengganas itu.

Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata kerajaan mengesan ada parti politik dan pertubuhan tidak berdaftar cuba menyebarkan ideologi komunis di negara ini dengan cara tersembunyi.

Beliau juga berkata, usaha membawa Chin Peng ke Malaysia perlu ditentang kerana ia akan membangkitkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan keluarga lebih 50,000 anggota tentera dan polis yang terkorban menentang PKM ketika darurat.




DAP, PKR sokong hasrat Ching Peng mahu pulang

Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my

Pembangkang minta diberi peluang atas dasar kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mahu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang ingin kembali ke tanah air diberi peluang berbuat demikian atas dasar kemanusiaan.

Timbalan Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw, berkata walaupun banyak pihak termasuk beliau pernah merasai penderitaan akibat kekejaman komunis, kerajaan boleh memaafkan Chin Peng sekali gus membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang ke Malaysia.

Beliau turut menolak kemungkinan kembalinya Chin Peng menghidupkan kembali ideologi komunis di negara ini kerana ia sudah mengalami transformasi apabila hampir semua penduduk dunia tidak lagi menerima fahaman itu.

"Kita wajar mencontohi sikap bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang masih mampu memberi kemaafan walaupun pernah dikurung dan diseksa selama 27 tahun dengan isteri serta anaknya mati.

"Walaupun kekejaman komunis meninggalkan kesan mendalam kepada banyak pihak termasuk saya apabila pengetua sekolah dibunuh pada 1950-an, Chin Peng sudah tua dan wajar diberi peluang kedua," katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas sebab kemanusiaan. Bagaimanapun, hasrat Chin Peng itu ditentang pelbagai pihak.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula berkata, secara peribadi beliau mengharapkan hasrat Chin Peng itu dapat dipenuhi kerajaan atas dasar kemanusiaan kerana sesiapapun layak mendapat peluang kedua.

Beliau meminta semua pihak menilai kes Chin Peng sambil membuat perbandingan dengan kedatangan rakyat Jepun dan British ke negara ini.

"Adakah kedatangan orang Jepun akan membangkitkan kemarahan masyarakat yang menderita ketika penjajahan negara Matahari Terbit itu atau adakah kedatangan rakyat British akan mengembalikan penjajahan oleh negara berkenaan," katanya.

Tian Chua turut mempertikaikan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ada parti politik dan pertubuhan tidak berdaftar cuba menyebarkan ideologi komunis.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Ronnie Liu, berkata Chin Peng perlu dibenarkan menziarahi ahli keluarga terlebih dulu yang menjadi tradisi kaum Cina sebelum dibenarkan menetap di Malaysia.

Katanya, jangan membuat tanggapan lebih awal sebelum Chin Peng kembali ke tanah air kerana bekas pemimpin komunis itu wajar diberi peluang kerana usianya yang lanjut.

"Kita tidak perlu bimbang kehadirannya di negara ini kononnya akan membangkitkan semula fahaman komunis kerana masyarakat sudah menolak ideologi itu dan menerima sepenuhnya prinsip demokrasi negara, malah ideologi itu sudah lama mati," katanya.


ONJINING (kanan) dan Ahmed menunjukkan kaki palsu selepas kehilangan sebelah kaki akibat terpijak jerangkap samar ketika operasi menentang komunis.

Berkaki palsu 'tanda mata' sertai operasi perangi PKM




KOTA KINABALU: Tiada siapa berhak mempersoalkan luahan kebencian veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Onjining @ Christopher Jopinol, 52, terhadap kekejaman komunis - musuh negara yang memaksanya menggunakan kaki palsu sejak 23 tahun lalu.

"Kaki palsu inilah 'tanda mata' komunis ketika saya menyertai operasi menentang komunis di sempadan Malaysia-Thailand dekat Gubir, Kedah pada Jun 1985.

"Betis kanan saya putus akibat terpijak jerangkap samar dipasang komunis. Tiga bulan saya terlantar di hospital dan kini terpaksa menggunakan kaki palsu untuk berjalan."

Gerakan sebar ideologi komunis dikesan


SUBANG: Kementerian Pertahanan mendedahkan ada parti politik dan pertubuhan yang tidak berdaftar cuba menyebarkan ideologi komunis di negara ini dengan cara tersembunyi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun beliau tidak dapat menyatakannya secara khusus, mengakui ada gerakan yang cuba menghidupkan ideologi itu.

"Atas sebab itu, Kementerian Pertahanan mendapati adanya usaha berbaur komunis yang cuba dihidupkan golongan tertentu.

"Kami sentiasa memantau perkembangan yang boleh menggugat keamanan negara. Sekiranya ada usaha ke arah itu (menyebar ideologi komunis), kami bersama polis akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya selepas lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Udara Subang di sini, semalam.

'Tiada sebab bawa pulang Chin Peng'


SUNGAI MANIK: Adik seorang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) menentang hasrat bekas Setiausaha Agung parti itu, Chin Peng untuk pulang ke tanah air kerana bimbang 'luka lama akan berdarah kembali'.

Datuk Mohd Yusoff Madin, 83, adik kepada Rashid Maidin yang juga bekas Pengerusi PKM berkata, tidak ada sebab kukuh untuk memberi laluan kepada Chin Peng pulang menghabiskan sisa hidupnya di negara ini.

“Saya menentang sekeras-kerasnya usaha membawa balik Chin Peng dan meminta kerajaan tegas menolak permohonannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Desa Chenderong Balai di sini, semalam.

Mohd Yusoff yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik selama tiga penggal (1974-1986) melahirkan rasa bimbang sekiranya Chin Peng dibenarkan pulang ke tanah air akan tercetus kejadian tidak diingini.

“Chin Peng harus sedar dia bukanlah wira negara... kita tidak mahu kehadirannya di negara ini kerana akan timbul perbalahan kaum," katanya.

Beliau berkata, abangnya Rashid Maidin sendiri tidak pernah memohon untuk kembali ke Malaysia selepas PKM dibubarkan sebaliknya beliau memilih menetap dan meninggal dunia di Selatan Thailand pada 2006.

"Abang saya hanya pulang ke tanah air beberapa hari kerana untuk menziarahi anak-anak dan kaum keluarga terdekat selepas mendapat izin Kementerian Dalam Negeri.

"Kali terakhir Abang Rashid pulang ke tanah air ialah pada 2004 dan berada di rumah saya beberapa hari dan tidak lagi datang ke negara ini sehinggalah beliau meninggal dunia di Thailand pada 2006 ketika usia 89 tahun," katanya.

Mohd Yusoff yang mempunyai 10 anak, 26 cucu dan tiga cicit yakin kerajaan tidak akan tunduk kepada rayuan supaya Chin Peng dibenarkan pulang kerana menyifatkannya sebagai pengkhianat negara yang menyebabkan beribu nyawa terkorban.

Sementara itu, anak sulung bekas penentang PKM, Komunis Bintang Tiga Sungai Manik, Normah Sulaiman, 59, turut meminta kerajaan tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini.

Ibunya, Yon Sopi yang meninggal dunia pada 1994 adalah antara wanita yang menentang kezaliman Komunis Bintang Tiga memerintah Sungai Manik selama 15 hari 15 Malam pada 1945.

"Saya banyak mendengar kisah sedih, menyayat hati diceritakan ibu saya yang bangkit berjuang menentang Bintang Tiga ketika ibu belum berkahwin," katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Chikus di sini.

"Kehadiran semula Chin Peng ke negara ini akan menghidupkan semula rasa sakit hati dan benci yang membakar semangat waris mangsa kekejaman komunis," katanya.

Normah yakin sekiranya ibunya masih hidup beliau pasti akan menentang hasrat Chin Peng kembali ke negara ini.

Dosa bekas pemimpin PKM tak boleh dimaaf: Rais


KUALA LUMPUR: Tiada ruang buat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng untuk kembali ke negara ini kerana dosa dilakukannya terhadap pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini tidak boleh dimaafkan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pemimpin yang melahirkan perasaan simpati terhadap Chin Peng perlu mengemukakan pendirian secara jelas tanpa berselindung di sebalik tabir politik kepartian.

“Chin Peng dan komunis yang membunuh rakyat negara ini dan tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat atau bersimpati kepadanya.

“Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini. Kita tidak boleh mendewakan komunis, ribuan yang sudah mati di tangan komunis. Usah mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan pemikiran rakyat,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan kementeriannya di sini, semalam.

Dr Rais berkata, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha memantau dan mengawal perkembangan laman blog yang menyokong komunis serta cuba menanam semangat komunisme di kalangan masyarakat di negara ini.

Katanya, beliau akan mengemukakan kepada Kabinet mengenai kemunculan beberapa laman blog dilihat memberi pujian atau melahirkan nostalgia kepada komunis dan maklumat diperoleh mengenai perkara itu akan disalurkan kepada KDN.

“Mengenai kemunculan blog dilihat menyokong komunis, kami akan cari jalan untuk menanganinya, langkah tak perlu cakap, semuanya sudah diatur dan kesannya nanti saya percaya akan memberi pandangan yang membina supaya komunisme tidak menjadi kegilaan atau diminati mana-mana generasi.