'Tiada sebab bawa pulang Chin Peng'
SUNGAI MANIK: Adik seorang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) menentang hasrat bekas Setiausaha Agung parti itu, Chin Peng untuk pulang ke tanah air kerana bimbang 'luka lama akan berdarah kembali'.
Datuk Mohd Yusoff Madin, 83, adik kepada Rashid Maidin yang juga bekas Pengerusi PKM berkata, tidak ada sebab kukuh untuk memberi laluan kepada Chin Peng pulang menghabiskan sisa hidupnya di negara ini.
“Saya menentang sekeras-kerasnya usaha membawa balik Chin Peng dan meminta kerajaan tegas menolak permohonannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Desa Chenderong Balai di sini, semalam.
Mohd Yusoff yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik selama tiga penggal (1974-1986) melahirkan rasa bimbang sekiranya Chin Peng dibenarkan pulang ke tanah air akan tercetus kejadian tidak diingini.
“Chin Peng harus sedar dia bukanlah wira negara... kita tidak mahu kehadirannya di negara ini kerana akan timbul perbalahan kaum," katanya.
Beliau berkata, abangnya Rashid Maidin sendiri tidak pernah memohon untuk kembali ke Malaysia selepas PKM dibubarkan sebaliknya beliau memilih menetap dan meninggal dunia di Selatan Thailand pada 2006.
"Abang saya hanya pulang ke tanah air beberapa hari kerana untuk menziarahi anak-anak dan kaum keluarga terdekat selepas mendapat izin Kementerian Dalam Negeri.
"Kali terakhir Abang Rashid pulang ke tanah air ialah pada 2004 dan berada di rumah saya beberapa hari dan tidak lagi datang ke negara ini sehinggalah beliau meninggal dunia di Thailand pada 2006 ketika usia 89 tahun," katanya.
Mohd Yusoff yang mempunyai 10 anak, 26 cucu dan tiga cicit yakin kerajaan tidak akan tunduk kepada rayuan supaya Chin Peng dibenarkan pulang kerana menyifatkannya sebagai pengkhianat negara yang menyebabkan beribu nyawa terkorban.
Sementara itu, anak sulung bekas penentang PKM, Komunis Bintang Tiga Sungai Manik, Normah Sulaiman, 59, turut meminta kerajaan tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini.
Ibunya, Yon Sopi yang meninggal dunia pada 1994 adalah antara wanita yang menentang kezaliman Komunis Bintang Tiga memerintah Sungai Manik selama 15 hari 15 Malam pada 1945.
"Saya banyak mendengar kisah sedih, menyayat hati diceritakan ibu saya yang bangkit berjuang menentang Bintang Tiga ketika ibu belum berkahwin," katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Chikus di sini.
"Kehadiran semula Chin Peng ke negara ini akan menghidupkan semula rasa sakit hati dan benci yang membakar semangat waris mangsa kekejaman komunis," katanya.
Normah yakin sekiranya ibunya masih hidup beliau pasti akan menentang hasrat Chin Peng kembali ke negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan