Jumaat, 29 Mei 2009

Chin Peng bawa sengsara'

Oleh Adha Ghazali, Nahar Tajri, Khairul Azran Hussin dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my

Raja Muda Perlis kecewa ada pihak mahu bawa musuh pulang

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang berhasrat membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, bertitah, tindakan sedemikian tidak boleh diterima kerana kepulangan Chin Peng akan menyebabkan luka lama yang dialami kesan tindakan PKM berdarah kembali.



"Beta kecewa kerana ada pihak sanggup berusaha termasuk meminta kerajaan menimbangkan hasrat membawa pulang musuh negara seperti Chin Peng. Terlalu banyak sengsara dan derita dialami rakyat dan anggota keluarga pasukan keselamatan yang cedera dan terbunuh ketika darurat dulu.

"Malah, segala pengorbanan dan penderitaan yang dialami demi memastikan negara pada tahap sekarang, bukan mudah dilupakan," titah baginda sempena perasmian Majlis `Walk In Through Snake' di Taman Ular dan Reptilia Perlis (Turp) di sini, semalam.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata keikhlasan Chin Peng untuk kembali ke negara ini boleh dipersoalkan kerana beliau pernah ditawarkan menyerah diri dan tinggal di Tanah Melayu pada 1955.

"Ketika itu, Chin Peng enggan meletakkan senjata kerana yakin dengan kekuatan dan pengaruh PKM. Selepas gagal mencapai persetujuan dalam perjanjian itu, kerajaan mengisytiharkan PKM musuh nombor satu negara dan usaha membanteras ideologi mereka dipergiatkan," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, ada dua isu penting perlu diambil kira dalam melayan desakan pihak tertentu untuk membawa balik Chin Peng.

Katanya, isu pertama yang perlu diberi pertimbangan ialah faktor kemanusiaan terhadap bekas pemimpin PKM itu dan isu kedua pula membabitkan isu kemanusiaan mangsa kekejaman pengganas komunis.

"Kedua-dua isu ini perlu dilihat dari aspek berbeza.. jika kita mahu fikirkan isu kemanusiaan Chin Peng, kita juga perlu lihat isu kemanusiaan rakyat yang terkorban ketika zaman darurat. Semestinya, isu kemanusiaan rakyat ini wajar diberi keutamaan," katanya.

Saranan supaya Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia dibuat Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan dan pemimpin parti DAP dan Parti Keadilan Rakyat selepas usaha terakhir bekas pemimpin PKM itu melalui mahkamah, gagal.

Di ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menyatakan sokongan terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tidak membenarkan bekas pemimpin PKM itu kembali ke tanah air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan